Monday, April 30, 2007

WARKAH TAZKIRAH BUAT TAN SRI

MENEMUI Tan Sri Khalid Ibrahim dengan segala doa dan limpah kerahmatan dariNya. Tan Sri, Baru agak sebentar Tan Sri cuba untuk berjinak-jinak dengan dunia pembangkang dan Tan Sri sudah dapat merasai pahit gigitannya. Kami sudah puluhan tahun dijeruk dalam tempayan penderaan ini. Cukuplah Allah yang menjadi saksinya.
Usahkan kita nak bercakap soal pembelaan Islam dan umat Islam, membela nasib bangsa Melayu melalui demokrasi sekali pun, kita akan menyaksikan satu laluan berhalang yang teramat sukar.
Apa yang menyayatkan hati lagi ialah ia hampir sah sengaja dilakukan. Ini cukup dapat disaksikan dalam plihan raya kecil di Ijok baru semalam.
Dalam konteks demokrasi, rugi sangatkah jika Dewan Undangan Negeri Selangor memberi ruang kepada minoriti pembangkang? Hatta, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegur tentang ‘tidak betulnya’ sesebuah sistem berkerajaan jika kerajaan yang di pilih(?) itu terlampau-lampau kuat.
Tanpa sebuah kerusi pun yang dibenarkan, maka siapa agaknya yang mampu menyemak parti yang membentuk kerajaan itu dari melakukan kesilapan? Beliau seorang tokoh bergelar Tan Sri dan bukan sebarang budak kampung yang biasa.
Dalam hal ini, mungkin sangat bermanafaat kita merenungi maksud ayat Allah SWT mengenai tiga orang Rasul yang dibunuh oleh kerajaan yang zalim kerana mengamalkan sikap enggan menerima nasihat.
Ini kebenaran sejarah dan tercatat sendiri di dalam al-Quran. Ia berbunyi,

“Utusan-utusan itu berkata: kemalangan itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah sekadar jika kamu diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas." (Surah Yasin Ayat 19).

YBhg. Tan Sri,
Pada saya, pilihan raya kecil Ijok sebenarnya semacam kesempatan. Kesempatan itu semacam diatur oleh Allah SWT untuk memberi peluang kepada pemimpin Umno dan seluruh warga pengundi Ijok untuk memperbaiki semula dasar angkuh Selangor yang menolak Islam dan sekali gus doktrin demokrasi berbunyi “pembangkang sifar”.
Tak bolehkah Ijok sekadar dibiarkan kerusinya untuk pembangkang. Maksud saya, bukan diberi percuma sebegitu tetapi dipertandingkan dengan cara yang sihat.
Ini, sampai membawa bala tentera polis dan FRU yang beribu-ribu. Mengugut pengundi di sana sini. Amalan gangsterisme. Ada tertangkapnya dua bas yang disyaki membawa pengundi hantu dari Perlis.
Curahan peruntukan raksasa yang melebihi RM36 juta. Ini demokrasi atau apa? Tak mungkin Umno tak faham betapa semua amalan ini adalah perbuatan kontra demokrasi yang terkutuk dan hina sehina-hina!
Jika saya dibenarkan menggunakan ‘pisau tumpul’ untuk memotong di ketika ini maka saya akan mengatakan yang pemimpin-pemimpin Umnolah yang selama ini bertanggungjawab mengeraskan hati rakyat Malaysia dari menerima kebenaran Allah.
Jika calon KeADILan kita menang sekali pun, apa sangatlah yang kurangnya Selangor itu. Sehabis kuat, Tan Sri Khalid kita akan hanya bertazkirah, menegur dan berpesan-pesanan darihal kebaikan.
Selaku seorang yang berkepakaran di bidang ekonomi dan korporat, tentu sekali penguasaan ilmu Tan Sri adalah aset yang sangat besar untuk dikongsikan oleh Selangor dalam konteks mendengar pandangan kedua dari arah yang sedikit berlainan.
Ini tentu akan mencetus satu proses ‘check and balance’ yang sihat untuk membela nasib orang Melayu, orang Islam, non-Islam dan umat manusia pada amnya.
Cuba pemimpin Umno buat perbandingan sedikit dengan apa yang sedang berlaku di White House hari ini. Lapan calon Demokrat telah sebulat suara mengutuk Presiden Bush berhubung dasar beliau di Iraq.
Ini berikutan daripada kekalahan pihak Republikan di tangan Demokrat yang semakin menyisihkan Bush.
Bahkan, dalam perbahasan kempen pertama disiarkan menerusi televisyen sebelum pemilihan Presiden 4 November 2008, calon Demokrat membidas pentadbiran Bush kerana terus menghantar beribu-ribu askar AS dan membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk kempen Perang Iraq yang menuju kegagalan.
Berita ini ada dalam semua akhbar pada 28 April 2007. Nah, kita boleh lihat bagaimana berbeda sekali amalan demokrasi di tempat orang berbanding dengan di tempat kita.

Di peringkat ini, saya tidak perlulah menghukum betapa kunonya kita sebab Tan Sri sendiri, seluruh penduduk Ijok dan rakyat Malaysia pada amnya telah sempat menyaksikan segala adegannya. Ia jelas sebuah demokrasi olok-olok di mana Islam diperolok-olokkan.
Jika mulialah apa yang dilakukan kerajaan Umno di Ijok itu, kenapa tidak dibenarkan mana-mana pasukan pemantau pelaksana demokrasi peringkat dunia untuk menjadi saksi.
Sebenarnya, kita telah tersalah memakaikan lencana dacing yang bersimbolkan keadilan dunia dan demokrasi ke dada pemimpin Umno. Rupanya, mereka cuma berwajah demokrasi tetapi berjiwa ‘komunis’.
Mereka boleh dikatakan hampir kering kontang dari segi nilai iman dan hari pembalasan di akhirat. Itulah Tan Sri; apa yang mungkin saya boleh simpulkan.
Pemimpin Umno perlu ingat bahawa segala yang dilakukan di Ijok itu ada divideokan oleh Allah SWT. Jangan ingat, pihak Special Branch (SB) dan polis rahsia Umno sahaja yang membuat rakaman.
Bahkan, mereka perlu di ingatkan dengan ayat Allah yang bermaksud,

“pada hari di ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakan Nya, kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpul (mencatat) amal perbuatan (dan aktiviti) itu, padahal mereka melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.
(Surah Al-Mujadalah Ayat 6).
Tan Sri,
Saya sekadar berpesan kepada Tan Sri. Saya cuma mengambil kesempatan untuk bertazkirah melalui surat terbuka ini untuk dibaca oleh semua. Tahniah jua dari saya di atas keberanian dan ketabahan Tan Sri untuk mengharungi ujian yang getir ini.
Lagi pun, mengikut bacaan, undi di Ijok untuk PKR sudah bertambah sebanyak 471 undi. Syabas saya ucapkan. Sesungguhnya, kerja memikul kebenaran ini adalah satu tugas berat.
Hanya Nabi-Nabi, Rasul-Rasul dan para anbiya’ yang diikuti oleh pejuang-pejuang seperti kita termasuklah seperti Tan Sri yang mampu memikulnya, InsyaAllah. Pantang berundur. Kuatkan semangat. Seorang mukmin adalah seorang yang tidak pernah kenal erti kecewa dan putus asa.

Wallahua’lam.

Oleh Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sunday, April 29, 2007

Alasan Boikot Pilihanraya dijawab di Ijok


Umum telah mengetahui bahawa calon PKR Tan Sri Khalid Ibrahim, telah tewas kepada cikgu hindu yang mentah terang tang tang dengan majority 1850 undi. Semua orang juga telah tahu MIC telah mengalahkan umno mentah-mentah. Namun kita telah berusaha sedaya upaya membantu calon rakan parti kita PKR untuk menghadapi bala tentera BN dan kerajaan. Media pula nampaknya terlebih-lebih kali ini lebih dari biasa. Geng samseng BN jangan cakapla, memang dari dulu, kini dan selamanya samseng.
SPR pula terus memainkan peranannya sebagai sebuah suruhan buatapasaja, janji BN terus berjaya. Najib yang bertindak sebagai ketua bala tentera BN memang bergaya masuk kawasan Ijok sebagai ‘TPM’ dan janganla dok kata dia salahguna kedudukan atau harta kerajaan. Dari dulu lagi kita dengar, pemimpin kerajaan = BN=umno= tak ada yang salah. Maka ramaila pakcik makcik pakat mencium pemimpin tak tau malu ini. Menantu Pak Lah memang dah sah kutu ‘berehaak’, kalau kita nak tunggu kat tv atau akhbar maka tak akan nampak wajah sebenar Naib Ketua Pemuda Umno ini.
Dalam TV semalam kita dapat lihat seorang lelaki yang perawatakannya gagah meronta-ronta agar dilepaskan oleh polis yang mengawal keadaan supaya dapat terus menyerang musuh yang buat hal menyekat kenderaan rombongan TPM dan bas yang didakwa hantu dari Perlis. Nampak gaya macam dok mengacah main ‘toi’ saja, beringat sikit bang ooi, dah kebal sangatkah kita tu?. Di satu sudut lagi puak-puak keling dok gelak tengok kelaku orang melayu yang bergaduh demi seorang cikgu hindu.
Dibeberapa tempat sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil Ijok, tentera kepala merah dan yang beruniform biru gelap lengkap dengan perisai dan water cannon telah berjaya mematahkan gerakan Barisan Alternatif yang berusaha mengadakan program berkempen untuk memenangkan calon PKR. Kalau kita buat ceramah di premis sendiri dikata mengganggu ketenteraman awam dan tidak mendapat permit sedangkan dalam masa berkempen. Apa pula sebab apabila forum perdana yang diadakan didalam tapak markaz pun dikepung tentera kepala merah.
Saya teringat cerita kambing dan harimau yang diceritakan oleh Ustaz Hashim Jasin. Memang sah kambing tetap menjadi mangsa, tapi sampai bila kita nak jadi kambing? Kalau dah pihak berkuasa kerajaan yang perlu ditentang secara terbuka apakah ertinya pilihanraya. Sesungguhnya kisah pilahanraya di Malaysia cukup layak dicatat dalam sejarah sebagai tiada peradaban dan amat memalukan.
Inilah jawapan dan alasan boikot pilihanraya yang diadakan ketika pilihanraya kecil Batu Talam tempoh hari. Perlukah kita terus berlembut walaupun kita percaya pilihanraya adalah cara kita nak dapatkan kuasa untuk mendaulatkan Islam.
Nampaknya kegawatan akhlak dan keadaan ekonomi semasa belum cukup untuk mendesak orang kita bangun membuat perubahan kerana terlalu jarang yang makan kurang dari 2 kali sehari. Amat perlu untuk kita mencari jalan menyatakan segala kepincangan yang ada dalam bentuk yang boleh memberi kesan dan membuat orang kita berfikir.

Friday, April 27, 2007

Sultan Mizan di tabal sebagai Yang Dipertuan Agong Ke 13


DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung Al Watiqu Billah Sultan Mizan Ibni Al Marhum Sultan Zainal Al Muktafi Billah Shah dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung Sultanah Nur Zahirah telah ditabalkan secara rasminya sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung dan Raja Permaisuri Agung dalam satu majlis penuh istiadat dan warna-warni di Istana Negara pada 26 Disember iaitu semalam.
Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 oleh Raja-raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-raja ke-208 di Istana Negara pada 3 Nov 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Dis 2006. Istiadat lafaz sumpah jawatan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 diadakan penuh istiadat di Istana Negara pada 13 Dis 2006 dan jawatan itu berkuatkuasa untuk tempoh lima tahun.
Seluruh lapisan rakyat mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku berdua akan diberikan kekuatan dan hidayah oleh Allah SWT untuk memimpin negara berdasarkan keadilan dan kebenaran sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT dan Rasul Nya SAW.
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Thursday, April 26, 2007

Bicara Hati Pemuda Kedah



Semalam lebih 140 orang pemuda dari 14 kawasan seluruh negeri Kedah telah berkumpul di Sekolah Integrasi Faizin di Guar Cempedak dalam program usrah gabungan yang diberi nama Bicara Hati Perjuangan Pemuda Kedah. Program yang bermula selepas solat Isya' itu telah diserikan dengan pengisian oleh Ustaz Idris Hj Ahmad, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat yang membentangkan satu kertas kerja mengenai kepimpinan dalam perjuangan PAS.

Respon yang cukup hebat dari semua pemuda kawasan-kawasan, mungkin kelainan yang dibuat ini mencetus keinginan semua untuk hadir. Beberapa orang sahabat yang ditemui menyatakan sokongan mereka untuk program seperti ini yang mana DPPNK perlulah mengatur untuk diadakan secara tetap. Ada juga cakap-cakap mengatakan apa salahnya kalau vanue nya diubah atau digilirkan mengikut kawasan, tentu lebih adil bagi pemuda dari kawasan yang agak jauh.

Apa pun tahniah diucapkan kepada DPPNK kerana berjaya membuka lembaran baru walaupun kini telah tiba di hujung sesi.

Sunday, April 22, 2007

Futsal Silaturrahim DPPNK


Perlawanan Futsal antara kawasan seluruh negeri Kedah telah diadakan di Gemilang Futsal, Sungai Lalang pada 21 April lalu. 14 pasukan dari 13 kawasan dan exco DPPNK telah menghantar pasukan untuk bertanding dalam kejohanan ini. Pasukan DPPKM hanya berjaya hingga ke peringkat suku akhir dalam kejohanan yang telah dimenangi oleh DPP Kawasan Padang Serai yang memang hebat walaupun hadir tanpa jersi seperti pasukan lain.
Yang penting komitmen dan semangat kesukanan yang ditunjukan oleh semua pasukan bertanding amat membanggakan dan 'sporting'.
Selepas ini akan diadakan pula satu kejohanan ping pong yang akan dianjurkan DPPK Merbok setelah program sama mendapat sambutan yang menggalakkan dalam edisi 2006 yang telah di adakan di Dewan Hokkien Sungai Petani. Menurut Sdr Fadli selaku Pengerusi Lajnah Sukan dan Kebudayaan DPPKM, kejohanan kali ini akan menarik lebih ramai peserta dan akan diadakan dengan lebih terbuka dan insyaAllah akan mendapat tajaan dari syarikat pengeluar minyak terkenal.

Tuesday, April 17, 2007

Selamat Meneruskan Perjuangan



DPPKM ingin mengucapkan tahniah kepada PAS Kawasan Merbok yang telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Kali Ke 23,14 April lalu di PUTIM yang di rasmikan oleh YB Ustaz Hashim Jasin AJK PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis. Mesyuarat yang berjalan lancar tanpa "aksi panas' dari 'profesional commentator' yang ada di kawasan Merbok, tapi bagi lapisan baru yang mula berjinak terasa agak hambar dengan perbahasan yang kurang menyengat.


Tahniah juga kepada YDP yang sekali lagi terpilih tanpa pertandingan dan kepada mantan Pemangku Ketua Pemuda yang menjadi TYDP kita ucapkan selamat meneruskan perjuangan, usia tidak akan menjadi penghalang.


Terdahulu kedua-dua Dewan Pemuda dan Muslimat juga telah mengadakan pemilihan di mana banyak muka baru yang mengisi tampuk kepimpinan. Dewan Pemuda yang mengadakan Mesyuarat Agungnya 31 Mac lalu menerima kehadiran perwakilan yang memberansangkan. Ustaz Zahir yang tewas pada penggal lalu kini mendapat kepercayaan untuk menerajui semula tampuk kepimpinan sayap kanan PAS merbok ini. Kepada semua AJK baru pemuda Merbok diucapkan syabas atas kejayaan dan pengorbanan anda semua.