Monday, May 21, 2007

BAYI MENINGGAL SETELAH 'HIDUP SEMULA'


JITRA: Bayi perempuan yang disahkan hidup ketika sedang dikafankan tengahari semalam, meninggal dunia di Hospital Jitra, malam tadi.

Bayi seberat 330 gram yang dilahirkan tidak cukup bulan itu disahkan meninggal dunia sebaik dilahirkan oleh ibunya, Nor Dewiyana Din, 28, kira-kira pukul 11 pagi semalam di Hospital Jitra.

Bagaimanapun, bayi itu yang dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Padang didapati bergerak ketika kerja-kerja mengkafankannya dilakukan kira-kira pukul 12 tengahari dan bayi itu terus dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan.

Namun demikian hayat bayi yang hidup semula itu hanya bertahan selama kira-kira lapan jam apabila bayi berkenaan meninggal dunia dalam inkubator pukul 8.40 malam tadi.

Bapa bayi berkenaan, Azmi Masiron, 26, berkata jenazah anak keduanya itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Rahmat pukul 10 pagi ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Hasnah Ismail tidak memberikan jawapan terhadap dakwaan Azmi yang mendedahkan bahawa isterinya terpaksa menunggu lama diluar bilik bersalin sebelum dibenarkan masuk.

Dr Hasnah hanya menjawab berkenaan dakwaan kakitangannya cuai dengan tidak memeriksa bayi tersebut dengan teliti. Dalam jawapannya Dr Hasnah berkata siasatan awal pihaknya mendapati pegawai perubatan yang bertugas telah memeriksa bayi berkenaan selepas dilahirkan dan mendapati tiada tanda-tanda denyutan jantung dan pernafasan.

Selepas sejam 55 minit menunggu, pegawai perubatan itu mengesahkan bayi berkenaan telah meninggal dunia dan perkara itu telah dimaklumkan kepada bapa bayi itu, katanya.

Dr Hasnah berkata sebuah jawatankuasa penyiasat yang terdiri daripada pakar perbidanan dan sakit puan serta pakar kanak-kanak telah ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu.

Beliau turut mengesahkan bahawa Nor Dewiyana telah mengalami keguguran pada kandungan 20 minggu enam hari semasa dimasukkan ke hospital itu.

No comments: