Monday, November 5, 2007

Ihtifal PASTi Merbok 2007 (Delayed)

Majlis Ihtifal PASTI Kawasan merbok telah diadakan pada 3 November lalu bertempat di Dewan PUTIM, Markaz PAS Kawasan Merbok, Pengkalan Kakap. Program tahunan bagi menghargai kecemerlangan pelajar dari 21 buah PASTI seluruh kawasan Merbok telah berlangsung meriah buat kali pertama di dewan yang hampir siap itu.
Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Musoddak Hj Ahmad turut dihadiri oleh YDP PAS Kawasan, Timbalan YDP, Setiausaha dan beberapa AJK. Program yang dikelolakan sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok serta dibantu oleh Majlis Guru PASTI Kawasan telah dihadiri oleh semua pelajar yang mendapat tempat pertama hingga ketiga dari 5 dan 6 tahun bersama guru dan ibu-bapa mereka.
Ustaz Musoddak dalam ucapannya menekan betapa pentingnya pendidikan agama diterapkan kepada anak-anak seawal usia 4 atau 5 tahun. Seterusnya menyarankan dihantar terus ke sekolah-sekolah rendah agama yang sedia ada termasuklah SRIDU dan SAIF.
Majlis itu turut diserikan dengan beberapa persembahan menarik seperti membaca bahasa melayu dan Inggeris, jawi, boria, nasyid dan hafazan doa, ayat kursi serta ayat seribu dinar.
Terdahulu majlis diperdengarkan dengan bacaan alquran dari pelajar Pasti Nur Hidayah, Sungai Layar yang baru berusia 5 tahun yang dapat membaca alquran dengan lancar.

Persembahan yang paling menarik perhatian adalah laungan azan dari adik Mohamad Amirul Munir daripada Pasti Al Ilmi Taman Bandar Baru Sungai Lalang dan amali solat subuh bersama beberapa oeang rakannya. Ramai yang memuji keberanian adik Amirul yang sebelum ini menjuarai acara azan dalam ujibakat peringkat Pasti Pusat di Kelantan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah cemerlang kepada pelajar oleh Ustaz Musoddak dan YDP Pas Kawasan, Tuan Hj Mat Akhir Thalib.

Majlis diakhiri dengan pemberian cenderahati kepada semua guru dan juga perasmi.
Jabatan Pasti Kawasan Merbok mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan majlis ini tidak ketinggalan kepada Pas cawangan Pengkalan Kakap yang menyediakan makanan dan minuman serta kepada semua penaja yang bermurah hati. Seterusnya jutaan maaf dipohon sekiranya berlaku sebarang kekurangan dan ketidaklancaran dalam mengendalikan program yang penuh bermakna ini.

Tahniah adik-adik!



No comments: