Tuesday, May 22, 2007

KENAIKAN GAJI TIADA MAKNA KALAU HARGA BARANGAN NAIK

Kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan kerajaan semalam tidak akan membawa sebarang keistimewaan, jika ia turut mendorong kepada kenaikan harga barang-barang pengguna.

Malah sebelum kenaikan gaji diumumkan lagi harga barang telah dinaikkan. Malangnya kerajaan gagal membendung kenaikan harga barang kerana kelemahan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang tidak melaksanakan tugas pemantauan dan penguatkuasaan dengan bersungguh-sungguh dan berkesan. Akhirnya kenaikan gaji hanya sedap didengar hakikatnya tidak memberi makna yang besar kerana kenaikan itu digunakan untuk membayar harga barangan yang kian naik.

Lebih malang lagi, orang awam dan pekerja swasta yang tidak mendapat apa-apa keistimewaan dengan kenaikan gaji kakitangan awam terus merana kerana berhadapan dengan kenaikan harga barangan.

Beberapa orang ahli ekonomi tempatan melahirkan kebimbangan, sekiranya fenomena kenaikan barangan ini terus berlaku, ia boleh menyebabkan kadar inflasi meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada kehidupan, terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah. Ini juga akan mengujudkan masalah sosial yang lebih serius contohnya kadar jenayah yang meningkat kerana tekanan hidup. Mungkin ada yang sanggup melakukan jenayah semata-mata untuk mendapatkan sesuap nasi menampung kos sara hidup yang kian meningkat.

Pensyarah Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIA, Mohd. Nahar Mohd. Arshad berkata, berita kenaikan gaji kakitangan awam memang perkhabaran yang menggembirakan.

Menurut beliau, bagaimanapun, kenaikan gaji kakitangan awam itu bakal memberi tekanan kepada syarikat swasta apabila kenaikan gaji dalam sektor awam itu akan dijadikan penanda aras oleh pekerja swasta.

Jelas beliau, dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang sederhana, syarikat swasta yang terpaksa mengikut langkah kerajaan menaikkan gaji pekerja mereka, mungkin terpaksa pula meningkatkan harga produk dan perkhidmatan yang mereka tawarkan bagi memenuhi kehendak semasa.

“Maka dalam jangka panjang kita mungkin tidak dapat elak menghadapi kenaikan harga barang kecuali kerajaan dapat mengawal gejala itu secara serius,” katanya kepada Utusan Meloya ketika dihubungi semalam.

No comments: