Monday, May 7, 2007

Kisah Qarun

Peringatan Kepada Golongan Yang Gilakan Dunia (Bahagian: Pertama)
Oleh : Abu Yusri

Siapakah Qarun itu? Qarun ialah seorang manusia yang hidup di zaman Nabi Musa a.s. Beliau ialah seorang yang kaya dan mewah tetapi apa yang ada padanya telah membuatnya melupai Allah s.w.t.
Allah telah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Qassas ayat : 76 hingga 82 yang maksudnya:-
“Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. ( Ingatlah ketika kaumnya berkata kepadanya : ‘Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri.”
Qarun ialah seorang keturunan Bani Israil, iaitu anak kepada bapa saudara Nabi Musa a.s. Menurut ceritanya, ia telah dikurniakan kesenangan dan kemewahan dengan banyak oleh Allah s.w.t. Apa lagi, hak kepunyaannya dan harta bendanya melimpah di sana-sini menjadikannya oleh yang terkemuka dikalangan masyarakatnya ketika itu. Kunci-kunci kepada gudang-gudang miliknya jika dikumpulkan tidak dapat diangkat kesemuanya oleh orang-orang yang muda dan kuat. Bayangkanlah jumlah gudang-gudang yang dimilikinya. Semua orang yang memandangnya akan bercita-cita untuk memiliki kekayaan yang serupa dengannya.

Banyak juga dikalangan orang-orang yang bijaksana dan ahli-ahli pengetahuan yang insaf dan yang takutkan Allah memberi teguran dan nasihat kepadanya dengan peringatan-peringatan terhadap akibat-akibat dan bencana-bancana yang akan menimpa seseorang walaupun bagaimana kebesaran dan kehebatan orang itu sekiranya dia lupa diri dan juga lupakan kepada kaum bangsa dan terhadap pergaulan di dalam masyarakat dan lebih-lebih lagi, lupa kepada syari’at Allah s.w.t. yang diwajibkan kepadanya. Mereka juga menasihatinya supaya jangan ia melakukan kemaksiatan dan kejahatan daripada kekayaannya yang merosakkan masyarakat.
Banyak orang-orang yang berharta menyalahgunakan harta mereka untuk menambahkan kekayaan. Diantara cara-cara mereka ialah dengan membuka banyak pusat-pusat maksiat, kasino-kasino dan menjalankan perniagaan ceti haram (Along). Diperingkat antarabangsa, mereka menjalankan perniagaan pembekalan senjata kepada negara-negara musuh Islam, pengedaran dadah dan sebagainya. Mereka lupa bahawa harta yang Allah kurniakan ialah amanah kepada mereka.
Banyak manusia yang berkata bahawa pangkal kebahagiaan ialah harta yang banyak. Kalau kita tidak memiliki harta, kita tidak akan bahagia. Angan-angan begini tidak diakui oleh agama; tidak diakui oleh kewarasan akal dan ilmu yang betul. Biasanya yang paling banyak terjadi ialah bertambah banyak harta, bertamba jauh lagi ia dari keinsafan. Dia akan menjadi bertambah sombong tetapi bertambah dekat dengan kesengsaraan. Kadang-kadang seseorang yang mempunyai harta yang banyak boleh membukakannya suatu jalan untuk menjalinkan perhubungan yang akrab dengan Iblis dan syaitan yang dilaknat.
Orang-orang seperti Qarun berlumba-lumba memburu harta benda dan kesenangan tetapi yang didapatinya ialah kesusahan. Tenaganya menjadi sia-sia; umurnya habis; kebajikannya kosong dan fikiranya menjadi tumpul. Pada suatu ketika dahulu, pernah terdapat seorang jutawan Arab yang bernama Adnan Kashoogi. Beliau menggunakan kekayaannya bukan ke jalan yang diredhoi Allah. Beliau yang pernah memiliki kekayaan berjumlah tidak kurang dari US$750 juta telah jatuh muflis. Kalau Namrud boleh dikalahkan dengan termasuknya seekor nyamuk kedalam telinganya, begitulah juga jutawan ini yang telah ranapkan oleh isterinya sendiri yang menuntut nafkah harta sepencarian yang bernilai jumlah yang tidak mampu dibayar olehnya. Dia dihinakan lagi apabila cek-ceknya yang diberi kepada orang dikembalikan oleh pihak bank.
Kita tidak mengatakan harta benda itu tidak ada kebaikannya. Terletaklah ditangan kita bagaimana kita hendak menggunakan harta itu. Contohnya senjata api, apabila ianya berada di tangan polis, rakyat menjadi lebih yakin dan selamat tetapi kalau yang memegangnya ialah seorang penjenayah, ia akan menimbulkan ketakutan di dalam hati orang ramai. Kalau harta berada ditangan orang-orang yang berilmu, dunia ini akan dapat dimanfaatkan melalui pembangunan ekonomi dan keperluan-keperluan untuk kesejahteraan rakyat. Tetapi kalau harta itu berlegar dikalangan orang-orang yang bakhil, hasilnya ialah 20% peratus kekayaan negara akan direbut oleh 80% rakyat sementara 80% kekayaan akan dinikmati oleh hanya 20% orang-orang kaya. Ini adalah ekonomi yang songsang dan tidak diterima oleh Islam.
Allah mengurniakan kekayaan kepada sesuatu masyarakat atau negara bukan untuk dibolot kesemuanya oleh golongan-golongan tertentu. Sebaliknya kekayaan itu wajib diagih untuk kemakmuran rakyat jelata. Kita pernah membaca di dalam sejarah tentang kejatuhan empayar-empayar yang kuat dizaman dahulu akibat daripada pentadbiran ekonomi yang songsang. Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin semakin terhimpit dengan kepapaan.

(Bersambung)

No comments: