Thursday, August 16, 2007

Kisah Qarun

Peringatan Kepada Golongan Yang Gilakan Dunia (Bahagian: Kedua)

Oleh Abu Yusri

Allah s.w.t. telah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Qassas Ayat : 77 yang bermaksud:-
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakkan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakkan.”

Orang-orang Bani Israil pernah menasihati Qarun supaya ia segera mendermakan sebahagian hartanya sebagai amanah Tuhan yang tergenggam di tangannya untuk melaksanakan amal-amal kebajikan yang akan mencapai keredhoan Allah dan kebahagiaan di akhirat. Selepas itu, janganlah dilupakan hak kepentingan didunia dalam hal kebersihan agamanya.

Banyak orang agak keliru dengan tafsiran ayat ini semenjak pihak-pihak tertentu memperkenalkan konsep baru dalam kefahaman Islam yang mengatakan bahawa akhirat hendaklah dituntut tetapi janganlah lupakan bahagian kita di dunia seperti bekerja dan mencari wang yang banyak, menjadi kaya dan membina negara. Kalau diikut kitab-kitab tafsir dengan terjemahannya yang amanah, (mengikut bahasa Melayu zaman dahulu yang jelas) ayat ini ditafsirkan begini:-
“Tuntutilah olehmu pada barang yang dikurniakan Allah akan engkau (daripada harta kekayaan) untuk menyelamatkan engkau dengannya pada negeri Akhirat (yakni membelanjakan harta pada jalan Allah) dan tetapi jangan pula engkau lupa pada mencapai kewajipan hidupmu didunia (daripada ketinggian dan kemuliaan di dunia yang diredhoi Allah - Yakni beriman dan mengamalkan cara hidup Islam) kerana dengan harta kekayaan juga perlunya untuk menyokong dan memajukan dalam urusan dunia yang dengannya tercipta nikmat Ilahi di negeri Akhirat (iaitu keimanan yang dibentuk akan mendorongi ia untuk memajukan dunia mengikut acuan Islam, bukan mencari harta untuk menjadi kaya supaya boleh berlagak dengan kemewahan). Oleh itu, segala usaha untuk dunia atau Akhirat adalah untuk kepentingan Akhirat, bukan berusaha dengan urusan dunia untuk kepentingan dunia sahaja dan berusaha dengan urusan Akhirat untuk akhirat sahaja. Itu fahaman Yahudi dari zaman Nabi Isa a.s. sehingga sekarang dan fahaman ini telah menimbulkan amalan mereka yang masyhur iaitu memisahkan agama dengan pentadbiran negara.

Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Qasas Ayat : 78 bermaksud:-
“Qarun berkata : ‘Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku.’ Dan apakah Allah tidak mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu tentang dosa-dosa mereka.”
Qarun juga telah diperingatkan bahawa selain daripada menginfaqkan sebahagian hartanya kejalan Allah s.w.t., dia hendaklah menginsafi bahawa harta banyak yang dikurniakan kepadanya ialah dari bekas-bekas nikmat Allah. Nikmat-nikmat ini sepatutnya tidak dilupakan sehingga ia melalaikan daripada membuat jasa kebaikan terhadap masyarakat umum terutama kepada fakir miskin daripada kalangan hamba-hamba Allah yang wajib diberi pertolongan oleh orang-orang yang berharta. Akan tetapi, segala teguran dan nasihat dari kaumnya tidak masuk langsung ke telinganya dan hatinya terkunci daripada segala ajaran-ajaran mereka. Malah ia sendiri mengatakan kepada kaumnya bahawa harta yang ada disisinya datang dari kepandaiannya sendiri. Banyak kerajaan-kerajaan yang angkuh mempunyai pendirian begitu. Mereka berkempen semasa pilihanraya supaya mereka dipilih semula sebab rakyat boleh melihat dan menilai betapa hebatnya mereka membangunkan negara. Sedikitpun mereka tidak menyandarkan kejayaan dan kemajuan mereka kepada nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. Berapa banyak negara yang mempunyai ahli-ahli dalam pembangunan negara tetapi oleh kerana mereka tidak dikurniakan rezeki oleh Allah, negara mereka masih mundur dan rakyat menderita. Mereka (kerajaan-kerajaan yang maju ini) tidak sedar bahawa Allah boleh mencabut semula segala nikmat pembangunan yang mereka ada sehingga negara mereka menjadi padang jarak padang tekukur.

Ahli-ahli tafsir berkata sebabnya Qarun menjadi kaya ialah kerana beliau mengetahui ilmu kimia. Beliau dapat mencipta ubat-ubatan kimia (chemical) yang apabila dicampur ubat itu dengan yang ini dan dituangkan ke atas logam yang rendah mutunya atau ke atas besi buruk, logam itu akan bertukar menjadi emas dan perak yang mempunyai nilai yang tinggi. Dengan cara begitu, sekejap masa sahaja ia boleh mengumpulkan harta yang banyak dari emas dan perak sehingga menjadi hartawan yang masyhur. Tetapi ia lupa bahawa emas dan perak itu tidak dapat memberikannya kebahagiaan yang mutlak dan dapat mencapai keredhoan Allah. Sejarah telah menunjukkan bahawa kaum-kaum yang terdahulu daripadanya yang lebih kaya dan gagah telah dibinasakan oleh Allah dan diazabkan mereka sampai hari Kiamat.

(Bersambung)

No comments: