Friday, September 28, 2007

Kisah Qarun

Peringatan Terhadap Golongan Yang Gilakan Dunia (Bahagian Ketiga)

Oleh : Abu Yusri

Allah s.w.t. telah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Qasas Ayat : 79 yang bermaksud:-
“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: ‘Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar.”
Pernah juga Qarun keluar ke tempat-tempat perhimpunan ramai dengan membentangkan dirinya, cara-cara kemegahan dan kekayaannya dengan menghiasi dirinya dengan hiasan yang indah permai dan menzahirkan perasaan sombong dan bongkak. Beliau keluar diiringi pegawai-pegawainya, hamba-hamba sahayanya dan inang-inang pengasuhnya untuk memperlihatkan kebesarannya. Keadaannya sama dengan seorang penyanyi pop terkenal antarabangsa, Michael Jackson yang apabila setiap kali ia keluar dengan pakaian serba cantik dan lengkap dengan sulaman benang-benang emas pada bajunya, ia akan ditemani oleh hampir 20 atau 30 orang pengawal peribadinya. Pada zahirnya nampak segak tetapi beliau merupakan seorang yang mempunyai banyak tekanan jiwa. Akhirnya dia telah menzalimi dirinya sendiri dengan diseret ke mahkamah kerana menghadapi berbagai-bagai tuduhan salah laku seks, terutama sekali meliwat kanak-kanak.
Kebanyakan kaum Bani Israil akan tercengang dengan kehebatan Qarun. Mereka turut tertipu dan terfitnah dalam mencari harta benda dengan tamak seperti apa yang telah dilakukan oleh Qarun. Mereka tidak mahu berfikir tentang kewajipan hidup di dunia dalam segala perkara saperti hak ugama, ekonomi, kemasyarakatan, akhlak, fakir miskin dan kaum yang melarat. Mereka berkata : “Wahai, apakah kiranya didatangkan bagi kami sebagaimana yang didatangkan kepada Qarun? Sesungguhnya dia mendapat habuan yang sangat besar.”
Mereka pandang bahawa harta benda yang banyak itu sebagai pangkal kebahagiaan di dalam dunia ini. Mereka tidak mahu menghiraukan kepada perkara-perkara yang lain untuk kebaikan manusia kecuali mengumpul harta. Mereka tidak lagi berikhtiar untuk mencari kesempurnaan agama, jiwa dan budi pekerti. Amalan-amalan inilah yang telah dicela oleh para-para hukamak dan golongan cerdik pandai daripada kaum Bani Israil. Mereka menasihatkan kepada kaum yang tamak haloba ini sepertimana firman Allah di dalam Surah Al-Qasas Ayat : 80 yang bermaksud:- “Kecelakaanlah bagi kamu ( pada mengumpul harta benda yang tidak ada tujuan itu ). Oleh itu, ingatlah bahawa balasan yang baik dan pahala dari Allah itulah yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperolehi pahala itu kecuali oleh orang-orang yang sabar. ”
Dakwah Islam mengajak kita kepada nilai kemanusiaan yang tinggi dan tidak pernah terkandung di dalam ajaran itu supaya menghilangkan atau menghapuskan sama sekali segi kebendaan. Tidak bermakna juga menghapuskan keghairahan mengumpulkan harta benda dan membelakangkannya.
Islam menegaskan dan menetapkan bahawa, harta benda itu ialah perhiasan bagi manusia di dalam kehidupan dunia ini. Menggunakan harta benda itu dibolehkan bagi sesiapa saja umat Islam di dunia ini. Dalam hal ini, Allah mencabar sesiapa sahaja yang berani mengharamkan mata benda seperti firman-Nya di dalam Al-Quran Surah Al-A’raf Ayat : 28 yang bermaksud:-
“Katakanlah, siapa yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-Nya, dan ( siapa pula yang mengharamkan ) rezeki yang baik? Katakan: Semua itu ( disediakan ) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus ( untuk mereka sahaja ) di hari Kiamat. Demikianlah kami jelaskan ayat-ayat itu bagi orang yang mengetahui.”

No comments: