Wednesday, October 31, 2007

Baju kuning Bang Mat


Haji Mohamad Sabu, selaku Pengerusi Bersih mempromosikan baju yang akan dipakai pada perhimpunan 10 Nov 2007 di Dataran Merdeka nanti.....

Friday, October 26, 2007

Kisah Qarun Bahagian Keempat

Peringatan Kepada Golongan Yang Gilakan Dunia
Oleh : Abu Yusri

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:-
“Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri Cina”

Negeri Cina mempunyai ketamaddunan yang cukup tua dan mereka telah membuktikan bahawa mereka ialah suatu bangsa yang berjaya semenjak dahulu. Pada zaman Rasulullah SAW., negeri Cina telah berjaya membangunkan industri kejuruteraannya terutama sekali sistem tali air dan perusahaan kertas. Hadis ini menunjukkan kepentingan untuk meningkatkan ilmu dalam pembangunan material yang tidak dilarang oleh Islam.
Dakwah Islam kepada nilai-nilai kemanusiaan tidaklah mengandungi ajaran yang menyuruh melupakan dan melalaikan masalah kekuatan material (kebendaan). Al-Quran telah menunjukkan bahawa besi itu sebagai suatu sumber kekuatan dan mempunyai berbagai-bagai manfaat di dalam kehidupan manusia. Al-Quran telah menjadikan besi sebagai pemberian Allah SWT kepada manusia sebagaimana pemberian kitab sebagai hidayat (petunjuk) bagi mereka. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Hadid Ayat : 25 yang bermaksud:-
“Sesungguhnya kami telah mengutuskan Rasul-Rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan neraca (keadilan), supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia (supaya mereka menggunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agamanya) dan Rasul-Rasul-Nya, padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

Dakwah Islam juga mengajak umat manusia untuk menjauhkan diri daripada sikap melampau dan sewenang-wenang serta sikap permusuhan dengan penggunaan benda-benda. Sikap melampau kadang-kadang terlihat di dalam penggunaan harta benda secara berlebih-lebih, iaitu melaksanakan perbuatan keji dan menggunakan untuk menyekutukan Allah s.w.t.
Oleh sebab itu, Al-Quran melarang keras sikap berlebih-lebih di dalam menikmati nikmat-Nya dan bersenang-senang dengan harta benda seperti firman-Nya di dalam Al-Quran Surah Al-A’raf Ayat: 31 yang bermaksud:-
“Hai anak Adam, Pakailah pakaian yang indah pada setiap memasuki masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Al-Quran telah melarang secara langsung terhadap perbuatan kotor dan keji khususnya jenayah sosial seperti zina, mencuri, pembunuhan, kezaliman, pembunuhan dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Surah Al-A’raf Ayat : 33 yang bermaksud:-
“Katakanlah: Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar.”

Allah telah melarang perbuatan menyekutukan-Nya sebagaimana lanjutan ayat tersebut di atas, dalam firman-Nya dalam surah dan ayat yang sama yang bermaksud:-
“….mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan mengada-ada terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.”

Sesiapa yang memahami risalah Tuhan kepada manusia di muka bumi ini adalah mengajak manusia menjauhi kemewahan hidup manusia (mengumpul kekayaan dunia sehingga lupa diri dan lupa Allah), juga tidak menyatakan bahawa harta benda itu adalah najis yang patut dijauhi. Jika ada yang bersikap begitu, bererti salah faham terhadap tuntutan risalah ketuhanan.

Adapun panduan risalah ketuhanan kepada manusia ialah sebagai berikut:-

1. Menjauhkan diri dari sikap melampau dan berlebih-lebihan yakni pemborosan terhadap penggunaan harta benda. Sebaliknya, kebakhilan yang amat sangat atas alasan menjimatkan belanja juga adalah di cela.
2. Menjauhkan diri secara langsung daripada perbuatan keji dan zalim melalui kekuatan benda seperti mengeluarkan perbelanjaan untuk pesta-pesta zina dan kemungkaran-kemungkaran yang lain, mengupah orang untuk merosakkan harta, diri atau keluarga orang lain dan memberi rasuah untuk mendapatkan kepentingan-kepentingan tertentu.
3. Menjauhkan diri daripada perbuatan menyengutukan Allah.
4. Membuka dan melapangkan jalan seluas-luasnya untuk kepentingan manusia keseluruhannya dan memupuk nilai-nilai kemanusiaan di dalam hubungan antara individu dengan yang lain tanpa berasaskan ikatan kebendaan.

Monday, October 22, 2007

Rumah Terbuka Idul Fitri PAS Merbok

Majlis Rumah Terbuka Idul Fitri PAS Kawasan Merbok yang di adakan semalam menerima kunjungan lebih seribu ahli dan penyokong dari seluruh kawasan. Sambutan rumah terbuka ini merupakan gabungan anjuran PAS Kawasan dan Dewan Pemuda dan Muslimat yang dahulunya dibuat berasingan.
Pelbagai juadah disediakan seperti ketupat rendang, kuih muih, sate, laksa, bihun sup, mee kari dan rojak yang turut disediakan oleh cawangan-cawangan mengikut pembahagian kumpulan.

Program yang diadakan di Markaz PAS Kawasan Merbok (PUTIM) itu turut diserikan dengan kehadiraan rombongan Badan Perhubungai PAS Kedah diketuai YB Pesuruhjaya Ustaz Azizan Razak, TPJ Ustaz Hassan Razak dan Setiausaha Hj Yusuf Hussain. Ustaz Azizan yang beberapa kali menyebut bahawa kehadiran kali ini adalah ramai dan amat menggalakkan.



Dewan PUTIM penuh sesak dengan pengunjung yang beratur mengambil hidangan yang ditempatkan dikaunter ditengah-tengah dewan. Tiga buah khemah turut dipasang diluar dewan bagi menampung kehadiran pengunjung yang datang tidak putus-putus walaupun hujan turun dengan lebat.

Dalam majlis itu juga golongan kanak-kanak turut dirai dengan pemberian duit raya.



Majlis yang selesai sekitar jam 5.30 petang turut dikunjungi oleh ahli dan pemimpin PAS dari beberapa kawasan berdekatan.

Thursday, October 11, 2007

Sumbangan Idul Fitri di Hospital Sultan Abdul Halim

Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia telah mengadakan program sumbangan idul fitri kepada pesakit dan kakitangan wad di Hospital Sultan Abdul Halim, Sg Petani. Sebanyak 250 bungkusan kueh raya diedarkan terus ke wad-wad kanak-kanak dan wad sakit puan. Program yang julung kali diadakan ini turut disertai YDP PAS Kawasan Merbok dan rombongan Dewan Muslimat PAS Kawasan Merbok. Pihak hospital telah memberikan kerjasama yang amat baik dan membantu melancarkan penyerahan sumbangan di dalam wad. Turut sama mengiringi rombongan DPPKM ialah Timbalan Pengarah Hospital, Dr Sharif. Ketua Pemuda Kedah Ustaz Musoddak Ahmad yang sempat hadir menyampaikan penghargaan atas kesudian pihak hospital memberi kebenaran kepada Dewan Pemuda untuk memberi sumbangan.