Friday, October 26, 2007

Kisah Qarun Bahagian Keempat

Peringatan Kepada Golongan Yang Gilakan Dunia
Oleh : Abu Yusri

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:-
“Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri Cina”

Negeri Cina mempunyai ketamaddunan yang cukup tua dan mereka telah membuktikan bahawa mereka ialah suatu bangsa yang berjaya semenjak dahulu. Pada zaman Rasulullah SAW., negeri Cina telah berjaya membangunkan industri kejuruteraannya terutama sekali sistem tali air dan perusahaan kertas. Hadis ini menunjukkan kepentingan untuk meningkatkan ilmu dalam pembangunan material yang tidak dilarang oleh Islam.
Dakwah Islam kepada nilai-nilai kemanusiaan tidaklah mengandungi ajaran yang menyuruh melupakan dan melalaikan masalah kekuatan material (kebendaan). Al-Quran telah menunjukkan bahawa besi itu sebagai suatu sumber kekuatan dan mempunyai berbagai-bagai manfaat di dalam kehidupan manusia. Al-Quran telah menjadikan besi sebagai pemberian Allah SWT kepada manusia sebagaimana pemberian kitab sebagai hidayat (petunjuk) bagi mereka. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Hadid Ayat : 25 yang bermaksud:-
“Sesungguhnya kami telah mengutuskan Rasul-Rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan neraca (keadilan), supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia (supaya mereka menggunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agamanya) dan Rasul-Rasul-Nya, padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

Dakwah Islam juga mengajak umat manusia untuk menjauhkan diri daripada sikap melampau dan sewenang-wenang serta sikap permusuhan dengan penggunaan benda-benda. Sikap melampau kadang-kadang terlihat di dalam penggunaan harta benda secara berlebih-lebih, iaitu melaksanakan perbuatan keji dan menggunakan untuk menyekutukan Allah s.w.t.
Oleh sebab itu, Al-Quran melarang keras sikap berlebih-lebih di dalam menikmati nikmat-Nya dan bersenang-senang dengan harta benda seperti firman-Nya di dalam Al-Quran Surah Al-A’raf Ayat: 31 yang bermaksud:-
“Hai anak Adam, Pakailah pakaian yang indah pada setiap memasuki masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Al-Quran telah melarang secara langsung terhadap perbuatan kotor dan keji khususnya jenayah sosial seperti zina, mencuri, pembunuhan, kezaliman, pembunuhan dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Surah Al-A’raf Ayat : 33 yang bermaksud:-
“Katakanlah: Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar.”

Allah telah melarang perbuatan menyekutukan-Nya sebagaimana lanjutan ayat tersebut di atas, dalam firman-Nya dalam surah dan ayat yang sama yang bermaksud:-
“….mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan mengada-ada terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.”

Sesiapa yang memahami risalah Tuhan kepada manusia di muka bumi ini adalah mengajak manusia menjauhi kemewahan hidup manusia (mengumpul kekayaan dunia sehingga lupa diri dan lupa Allah), juga tidak menyatakan bahawa harta benda itu adalah najis yang patut dijauhi. Jika ada yang bersikap begitu, bererti salah faham terhadap tuntutan risalah ketuhanan.

Adapun panduan risalah ketuhanan kepada manusia ialah sebagai berikut:-

1. Menjauhkan diri dari sikap melampau dan berlebih-lebihan yakni pemborosan terhadap penggunaan harta benda. Sebaliknya, kebakhilan yang amat sangat atas alasan menjimatkan belanja juga adalah di cela.
2. Menjauhkan diri secara langsung daripada perbuatan keji dan zalim melalui kekuatan benda seperti mengeluarkan perbelanjaan untuk pesta-pesta zina dan kemungkaran-kemungkaran yang lain, mengupah orang untuk merosakkan harta, diri atau keluarga orang lain dan memberi rasuah untuk mendapatkan kepentingan-kepentingan tertentu.
3. Menjauhkan diri daripada perbuatan menyengutukan Allah.
4. Membuka dan melapangkan jalan seluas-luasnya untuk kepentingan manusia keseluruhannya dan memupuk nilai-nilai kemanusiaan di dalam hubungan antara individu dengan yang lain tanpa berasaskan ikatan kebendaan.

No comments: