Tuesday, November 20, 2007

KISAH QARUN Bahagian Terakhir


Peringatan Kepada Golongan Yang Gilakan Dunia

Oleh : Abu Yusri

Allah s.w.t. berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Qasas Ayat : 81 yang bermaksud:-
“Maka Kami benamkanlah Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah dia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya ).”
Selepas nasihat demi nasihat yang telah disampaikan oleh kaum bijaksana dari orang-orang Bani Israil, Qarun tidak ambil peduli langsung. Dia tidak mahu mengubah sikapnya yang sombong, angkuh dan tamak pada mengumpulkan harta. Akhirnya, Qarun menerima akibat daripada perbuatannya yang sentiasa memerah dan menindas manusia dengan cara tipu daya. Bahkan wujudnya di kalangan mereka itu adalah sebagai racun dan biang keladi dalam masyarakat. Ia berpaling diri daripada mengingati Allah dan mensyukuri nikmat kurniaan-Nya yang banyak maka akhirnya, Allah cabutkan nikmat kekayaan yang ada padanya dengan dikenakan diatasnya azab Allah dan dibinasakan dirinya dan segala harta bendanya. Dia dikenakan suatu kebinasaan sehingga tiada baginya teman rakan dan orang-orangnya yang boleh menolong menyelamatkannya.
Mengikut kitab-kitab tafsir dan sejarah, kisah kebinasaan Qarun bermula apabila pada suatu ketika, Nabi Musa a.s. pernah menuntut zakat yang diwajibkan diatasnya menurut hisab hartanya. Qarun terasa berat untuk mengeluarkan zakatnya. Apabila perkara ini sampai kepada Nabi Musa a.s., baginda sendiri mendapatkan Qarun dan mengarahkan supaya zakatnya dibayar. Dengan kemarahannya kepada Musa a.s., beliau telah mengatur suatu helah untuk menjatuhkan maruah baginda. Dia telah mengupah seorang perempuan murahan dan menyuruh perempuan itu mengaku bahawa Musa a.s. telah berzina dengannya. Pada suatu pagi, pergilah Qarun dengan perempuan itu mendapatkan Musa a.s. Katanya: “Wahai Musa. Bukankah engkau telah menerangkan syari’at kepada seluruh masyarakat Bani Israil bahawa barangsiapa yang melakukan zina, dia hendaklah direjam hingga mati?”
Jawab Musa a.s.: “ Ya, memang benar hukuman itu.”
Kata Qarun : “Kalau begitu, sekarang ini hendaklah engkau serahkan dirimu untuk kami rejamkan engkau, kerana malam tadi, engkau telah berzina dan merogol perempuan itu.”
Apabila diselidiki, didapati akhirnya perempuan itu berbohong dan dia mengaku bahawa dia telah diupah oleh Qarun.
Apabila telah sampai Qarun kepada kemuncak kejahatannya, (yakni menuduh seorang Rasul dengan perbuatan yang tidak layak baginya) maka terbelahlah bumi dengan dahsyatnya dengan disaksikan oleh orang-orang yang pernah menasihatinya dan orang-orang yang gilakan kedudukan sepertinya. Terbenamlah Qarun, rumahnya, gudang-gudang hartanya dan pembantu-pembantunya ke dalam bumi di dalam keadaan yang mengerikan itu.
Allah s.w.t. berfirman di dalam Al-Quran Surah al-Qasas ayat : 82 yang bermaksud:-
“Dan jadilah orang-orang yang mencita-citakan kedudukan Qarun itu berkata: ‘Aduhai, benarlah Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya dan menyempitkan-Nya; kalau Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya atas kita, benar-benar Dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai benarlah, tidak beruntung orang-orang yang mengingkari (nikmat Allah). Seluruh kawasan kemewahan Qarun serta harta miliknya yang telah dibenamkan oleh Allah sekarang telah menjadi sebuah tasik. Orang-orang Mesir menamakan tasik itu Tasik Qarun. Tasik tersebut dikatakan tasik yang terbesar di negara Mesir dan kedudukannya di tengah-tengah negara tersebut, iaitu di wilayah Fayyum, 80 km ke selatan Kota Kaherah. Panjangnya tasik itu dari timur ke barat ialah 40 km, (lebih kurang jarak antara Sungai Petani ke Kepala Batas, Seberang Perai), luasnya 6.7 km dan kedalamannya adalah diantara 4.2 meter hingga 18 meter (kawasan paling dalam). Dengan ukuran yang telah diberikan yang hampir menyamai keluasan sebuah kawasan Parlimen, bayangkanlah betapa besarnya empayar Qarun. Akhirnya, inilah kesudahan seorang yang gilakan dunia yang perlu menjadi iktibar kepada kita semua.
Allah s.w.t. telah berfirman di dalam Al-Quran Surah Yusuf Ayat : 111 yang bermaksud:-
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang di buat-buat (dongeng atau cerita rakyat untuk berseronok-seronok sahaja), akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”

2 comments:

Mohyuddin Ismail 012 466 8493 said...

apasal citer ni tak habis..mana pi kesudahan cerita ni

pmerbok said...

dah edit dah, sori tertinggai ending dia, iklan sikit. Tima kasih baca sampai habis dan beri komen