Sunday, December 2, 2007

Bicara Perjuangan

oleh : Penulis Tamu


"Perjuangan Islam ialah perjuangan yang diciptakan oleh Allah sebagai nikmat-Nya kepada kita. Perjuangan yang menjadi nikmat kepada kita ini, sedikit pun manfaatnya tidak kembali kepada Allah. Tetapi, manfaatnya ialah untuk diri kita sendiri. Sepertilah semua ibadah yang diwajibkan oleh Allah kepada kita, Allah selamanya tidak mengambil manfaat daripada ibadah kita walau sedikit pun. Itulah kehebatan-Nya sebagai Tuhan. Seandainya seluruh isi alam ini berpakat untuk tidak taat kepada-Nya, kedudukan-Nya sebagai Tuhan tidak akan berkurang sedikit jua pun. Dia selamanya tetap sebagai Tuhan. Dia selamanya tetap sebagai Tuhan yang Yang Maha Kaya dan Maha Berkuasa, yang memerintah alam ini. Demikian juga, kalau seluruh makhluk-Nya berpakat untuk menderhakai-Nya, sedikit pun Allah tidak menerima mudharat dari penderhakaan makhluk-Nya. Tetapi yang menerima padah dari penderhakaan itu ialah siapa yang menderhakai-Nya."

"Bukti kita mengambil manfaat dari perjuangan yang maha suci ini, jelas pada setiap pengharapan kita di dalam menggerakkan perjuangan ini. Bila kita berjuang, kita sering mengharapkan kita akan memperolehi menang. Kita sering meminta agar Allah menangkan perjuangan ini dan mengalahkan musuh-musuh kita yang juga merupakan musuh kepada-Nya. Dalam waktu yang sama, Allah yang Maha Berkuasa, sudah menjadi sifat-Nya hanya akan membantu dan memberi pertolongan kepada hamba-hamba-Nya yang telah memenuhi syarat-syarat yang melayakkan mereka untuk mendapat kemenangan. Walhal, Allah boleh memberikan kemenangan sekalipun kita tidak memenuhi syarat dan kelayakan".

"Allah selamanya tidak mengambil manfaat daripada perjuangan yang diciptakan-Nya kepada kita ialah, sekalipun Islam masih belum mencapai kemenangan, Dia tetap juga sebagai Tuhan yang sentiasa menyaksikan setiap pertarungan di antara pejuang-pejuang Islam dan musuh-musuh mereka. Dia menyaksikan setiap kekalahan orang yang berjuang di jalan-Nya, sedangkan Dia berkuasa untuk memberi kemenangan kepada pada tentera-Nya dan mengalahkan musuh-musuh-Nya pada ketika itu juga. Tetapi, Dia tidak berbuat demikian. Dia tidak menolong tentera-Nya yang berjuang di jalan-Nya, justeru mereka belum layak untuk menerima kemenangan".

"Hikmah daripada Allah tidak memberikan kemenangan sebegitu mudah kepada para mujahid yang berjuang di jalan-Nya, melainkan setelah mereka melayakkan diri dengan ciri-ciri mujahid yang layak menerima kemenangan ialah agar setiap orang yang berjuang di jalan-Nya memahami bahawa perjuangan itu ialah ibadah, dan sesuatu ibadah itu tidak akan diterima oleh Allah melainkan apabila ibadah itu telah memenuhi syarat-syarat penerimaannya. Allah itu Maha Suci, dan ia tidak akan menerima sesuatu melainkan suatu yang suci juga".

"Islam yang kita perjuangkan ini, kemenangannya akan diwarisi kepada generasi yang terbaik yang telah memenuhi syarat-syarat mujahid yang dikehendaki oleh Allah. Apabila para mujahid yang berjuang di jalan-Nya ialah hamba-hamba-Nya yang soleh yang dicintai-Nya, Islam yang diperjuangkan oleh mereka pun akan memasuki gerbang kemenangan, sebagai hadiah kepada mereka yang soleh yang dicintai dan dikasihi-Nya".

"Kita selalunya akan memberikan hadiah kepada siapa yang kita cintai. Demikianlah Allah akan mengurniakan hadiah dan penghargaan-Nya kepada siapa yang dicintai-Nya. Oleh itu marilah kita berjuang untuk menjadi hamba-hamba-Nya yang dicintai dan dikasihi-Nya."

"Generasi yang layak untuk menerima anugerah kemenangan oleh Allah itu, kini sedang mempersiapkan diri mereka dengan ciri-ciri mujahid yang selayaknya di jalan Allah. Mereka ialah satu generasi yang sifat mereka ialah sentiasa prihatin dengan tuntutan dan kewajipan mereka terhadap Allah. Perkara yang diwajibkan oleh Allah dilaksanakan oleh mereka dengan penuh kesungguhan, demikian juga sebaliknya pula terhadap perkara yang diharamkan oleh Allah. Perkara yang diharamkan Allah, mereka berusaha meninggalkannya pula dengan bersungguh-sungguh. Dalam waktu yang sama, perkara yang disunatkan-Nya, mereka berusaha untuk melakukannya serta memperbanyakannya. Perkara yang dimakruhkan oleh Allah, mereka berusaha pula untuk meninggalkannya. Sementara perkara yang harus pada syarak, mereka tidak terus menerus membiarkannya dalam statusnya sebagai harus, tetapi mereka jelmakan ia dalam bentuk ibadah".

"Golongan ini, kesolehan mereka telah menjadikan jamaah yang menjadi wadah perjuangan mereka pun semakin baik dan semakin sempurna. Sebagai contoh di dalam perjuangan PAS, dulu adalah suatu yang sensetif untuk membicarakan secara terbuka tentang isu rokok, tetapi sekarang ahli PAS telah berani mempersoalkan tentang kewajaran amalan merokok di kalangan pejuang-pejuang Islam, khususnya di kalangan pimpinan PAS. Isu ini, sekalipun ia adalah isu kecil dan terpencil, tapi ia agak sensetif. Perbincangan isu ini di kalangan ahli adalah wajar dan relevan, dan ia hendaklah dilihat secara positif, kerana ia melibatkan imej PAS sebagai sebuah harakah Islamiah".

"Antara lain yang menjadi bukti bahawa PAS semakin baik ialah permasalahan solat jamaah. Apabila ijtimak-ijtimak PAS sudah kelihatan ahli sudah memberi tumpuan ke arah itu, ia satu lagi bukti bahawa PAS sudah semakin baik. Apabila di dalam ijtimak-ijtimak PAS sudah ada ahli yang mencadangkan agar ijtimak ditangguhkan sementara untuk solat jamaah dapat dilakukan, ia sekali lagi suatu yang amat positif, sekalipun perlaksanaannya dalam bentuk yang praktikal kadang-kadang masih bermasalah".
"Kesimpulannya, apabila praktikal-praktikal amal Islami sudah kelihatan menjadi amalan para petugas PAS, ia memberi mesej bahawa kemenangan yang diimpikan sedang menghampiri kita. Cuma, apa yang menjadi kewajipan penting kita kini ialah tetap terus berkerja dan berjuang, kerana itulah sebenarnya kerja kita. Tetapi untuk memberi kemenangan kepada Islam ia adalah di luar batasan tanggugjawab dan kemampuan kita. Kita tidak mampu memenangkan Islam. Hanya Allah yang Maha Berkuasa untuk memenangkan agama-Nya. Sesungguhnya, secara praktis Islam itu akan menang di tangan generasi yang terbaik. Allahu Akbar!".

2 comments:

Mohyuddin Ismail 012 466 8493 said...

Tulisan yang menarik..syabas!!!

IbnuBakrin said...

Perbanyakan artikel-artikel yang seumpama ini i.e. "Tarbiah Haraki".Pelbagaikan isu-isu hingga menjangkau persoalan pokok dan serius disamping persoalan kosmetik (kosmetik juga penting).Penulis sewajarnya yang amanah dengan ilmu dan istiqamah amalan nya.Semoga Allah s.w.t membalas segala usaha-usaha mulia ini dengan sebaik-baik balasan.Tahniah. Allahuakbar!!!