Wednesday, January 23, 2008

BN akan menang besar lagi

Hari ini dalam akhbar tempatan memaparkan ulasan Bekas PM, Tun Dr Mahathir mengenai peluang kerajaan sedia ada untuk memenangi pilihanraya umum akan datang dengan lebih besar dan ujarnya lagi, sekarang adalah masa yang paling sesuai dan selamat untuk mengadakan pilihanraya. Semasa beliau menjadi PM, pembubaran parlimen akan dilakukan apabila belaiu merasakan keadaan benar-benar selamat untuk kerajaan memenangi pilihanraya.
Beliau menyifatkan bahawa ketika ini kerajaan pimpinan Pak Lah patut membubarkan palimen kerana keadaan semasa memang sesuai. Kedudukan ekonomi yang kukuh katanya adalah faktor paling perlu diambil kira dan ketika ini ekonomi Malaysia dilihat berada balam situasi yang kukuh apabila harga ringgit stabil, pasaran saham meningkat dan harga barang pun turut NAIK.
Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan menyifatkan bahawa peningkatan harga barang adalah petunjuk pengukuhan ekonomi kerana peningkatan kuasa beli rakyat. Kita tertanya-tanya benarkah ini petunjuk kukuhnya ekonomi negara apabila harga barangan disemua sektor naik hingga terlalu menghimpit rakyat. Orang kampung Segantang Garam dan Sungai Pial tentu gembira mendengar perkhabaran ini, walaupun hakikatnya apa yang dihadapi sangat membebankan. Banggakah kita apabila dihidangkan berita ekonomi negara kukuh dan stabil sedangkan dimasa yang sama kehidupan kita terus dicengkam apabila apa yang diperolehi tidak cukup untuk menampung kehidupan seharian. Taraf hidup rakyat tidak naik seperti mana naiknya harga barangan, harga kontrak tidak dapat dinaikkan kerana berlumba menawarkan harga murah untuk memenangi tender tetapi harga besi, simen, kayu dan lain-lain naik 'menyerit'
Kita juga bakal menyaksikan kenaikan lagi pada harga minyak, tepung dan minyak masak. Kita juga baru dihadiahkan pembohongan hebat perdidikan percuma apabila yuran sekolah dimansuhkan terus sebanyak RM4.50 dan dipaksa membayar yuran tambahan beberapa kali ganda. Kena bayar juga!. Seketika rakyat disalahkan kerana membeli minyak masak dalam kuantiti yang banyak yang akhirnya diakui pengeluar yang lebih suka menyeludup ke negara jiran bagi keuntungan yang lebih. Apa lagi yang kita akan kena.
Berbalik kepada isu pilihanraya yang ditunggu-tunggu, ada yang mengatakan kerajaan sekarang gerun dengan gelombang rakyat. Kita pun mendengar kawan-kawan kita yang memperbaharui janji mereka untuk menyokong usaha menukar kerajaan, "kali ni kita mesti tukar punya". Acap kali didengar cuma kali ini pengakuannya tampak lebih meyakinkan walaupun kita tidak tahu betulkah mereka ini akan menyokong atau sekadar meyakinkan sahaja yang mereka tahu.
Kita mengucapkan terima kasih kepada Tun M kerana memberi keyakinan kepada kerajaan yang ada sekarang supaya mengadakan pilihan raya sekarang. Kita tentunya akan penat menunggu buah yang tak tahu bila akan gugurnya. Banyak kesannya jika perkara ini dilengahkan lagi kerana tumpuan kita yang lebih sedikit sekarang ini tentunya memerlukan belanja yang banyak dan semua harga barang meningkat. Mesej jelas yang disampaikan oleh bekas PM itu mengundang sedikit persoalan kerana apa yang ditekan oleh beliau itu agak meragukan kerana apabila beliau berkata "harga barang pun naik" ia seolah-olah memperli kerajaan Pak Lah. Atau pun kondisi kenaikan harga barang yang sudah pun menghimpit ini tentu akan menjadikan keadaan tidak selamat untuk mengadakan pilihanraya kerana semakin hari semakin naik, darah rakyat tentunya turut naik dan mood gembira atas berita ekonomi kukuh itu akan bertukar. Siapa tahu apabila ikan temenung yang sekarang ini dah melewati angka RM10 /kg, ikan tenggiri akan jadi RM40 - 50 /kg dan ayam akan juga naik hingga sepuluh atau berbelas ringgit, ketika itu mungkin akan menggerakkan rakyat dari mimpi indah yang dibuai perdana menteri yang dikatakan kuat tidur itu.
Laratkah kita nak menunggu saat itu, itu pun kalau rakyat mahu sedar, kalau tidak... Negara kebajikan yang dipersembahkan dalam menifesto terbaru pilihanraya kali ini mampukah membuka mata rakyat yang masih kuyu itu.

No comments: