Thursday, January 31, 2008

Calon pembangkang akan hilang deposit di Merbok, kata Zainuddin


SUNGAI PETANI: Calon pembangkang yang mencabar wakil Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen Merbok dalam pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi akan kehilangan wang deposit, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin hari ini.
Zainuddin, iaitu penyandang kerusi Parlimen Merbok, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada jaminan yang diberikan oleh pengundi Merbok bahawa calon pembangkang akan mengalami kekalahan memalukan di tangan BN.
"Kita telah mendapat maklum balas bahawa rakyat di kawasan ini tidak mahu menyokong pembangkang kerana mereka menghargai jasa dan sumbangan kerajaan membantu rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama rakyat di Taman Desa Aman, di sini.
Zainuddin berkata penyokong parti pembangkang kesal dengan sikap pemimpin mereka hanya gemar mengkritik dan mengutuk kerajaan.
Katanya masyarakat India turut berikrar untuk terus menyokong calon BN seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya sebelum ini.
"Mereka menolak Hindu Rights Action Force (Hindraf) kerana pergerakan haram itu menjadi alat kepada pihak tertentu untuk menimbulkan huru-hara.
"Pemimpin parti komponen BN di Merbok berjanji untuk menyokong Umno, MCA, MIC dan Gerakan kerana BN mampu memberikan rakyat kemewahan dan pelajaran," katanya.Pada majlis itu, Zainuddin menyertai penduduk kawasan Taman Desa Aman di sini memasak bubur asyura dan kemudian mengagihagihkannya kepada orang ramai.BERNAMA

No comments: