Sunday, January 13, 2008

ULAMAK DUNIA vs ULAMAK AKHIRAT


Oleh: Ibnu Ibrahim

(Bahagian Pertama)

Perkataan ulamak biasanya dikaitkan dengan orang-orang yang berilmu (tafaqquhu fid din), warak, boleh memberi kepimpinan dan panduan kapada negara dan masyarakat, mengeluarkan fatwa dan lain-lain sifat yang terpuji tetapi olih kerana sestengah golongan yang ingin mengambil kesempatan, maka wujudlah isu “Ulamak Akhirat” dan “Ulamak Dunia”. Siapakah mereka dan apakah kriteria yang membezakan mereka?

Ulamak adalah golongan yang amat berwibawa didalam Islam. Merekalah cermin kapada masyarakat dan tindakan mereka adalah gambaran kapada Islam, jadi sewajarnyalah, mereka ini disifatkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. sebagai pewaris nabi-nabi. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:-
‘Nabi-nabi di kalangan Bani Israel adalah sama dengan ulamak-ulamak dikalangan umatku’.
Nabi-nabi di kalangan Bani Israel terdiri dari orang-orang yang paling terpuji diantara manusia sekelian, apatah lagi mereka tidak lari dari landasan sifat-sifat seperti

i) Siddiq (benar)

ii) Amanah (amanah yakni tidak mengkhianati Allah untuk pangkat dan habuan duniawi)

iii) Fatanah (bijaksana bukan dunggu sehingga boleh di peralatkan oleh pemerintah)

iv) Tabligh (Penyampai ilmu yang benar walaupun pahit didengar oleh orang-orang yang degil saperti raja-raja, penguasa-penguasa dan sesiapa sahaja yang bersifat saperti mereka)


Maka sayugialah ulamak-ulamak dikalangan umat Muhammad s.a.w. sebagai pewaris nabi-nabi tadi mewarisi sifat-sifat ini dan tidak takut kepada kehilangan pangkat, jawatan, kereta kerajaan dan lain-lain kemudahan. Apakah ini perkara yang sebenarnya?
Dalam menjalani kehidupan seharian, terdapat di ntara orang-orang yang berilmu ini menyeleweng dari kehendak Islam. Penyelewengan ini berlaku sama ada disedari atau tidak. Bermulanya penyelewengan ini ialah apabila mereka tidak menunjuk dan membimbing manusia kejalan yang diredai oleh Allah s.w.t. Ya, mereka memberi panduan melalui kuliah-kuliah di mesjid dan surau tentang rukun-rukun dan syarat-syarat sah atau batal segala ibadat-ibadat khusus tetapi mereka tidak berani membangkang perkara-perkara lain yang akan melenyapkan pahala ibadat-ibadat khusus tadi. Maksud penulis, mereka tidak membangkang langkah-langkah pihak-pihak yang tertentu yang menganjurkan pesta-pesta keramaian yang bercanggah dengan hukum-hukum syarak, perhimpunan-perhimpunan yang tidak mengambil kira waktu solat, nyanyian-nyanyian yang mempunyai lirik yang berlawanan dengan suruhan-suruhan ugama. Dari sini terbitnya dua golongan; ulamak dunia dan ulamak akhirat. Ulamak dunia tidak bersungguh untuk membawa umat ka jalan Islam manakala ulamak akhirat bersungguh untuk membawa umat ka arah yang diredai Allah.


Sebenarnya istilah ulamak dunia atau lebih layak dipanggil ulamak jahat ini wujud semenjak zaman nabi-nabi sabelum Muhammad s.a.w. lagi dan perkara ini berterusan sahingga sekarang. Baginda bersabda yang bermaksud:-
“Nerakalah bagi umatku yang menjadi ulamak jahat”.
Al-Imam Al-Ghazali telah menjelaskan pengertian “ulamak jahat” saperti berikut:-
“Yang kami maksudkan dengan ulamak dunia ialah “ulamak su’ ” (jahat) yang tujuannya memperolehi kesenangan duniawi, kemegahan dan kedudukan dengan menggunakan ilmu pengetahuan”.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa mempelajari sesuatu ilmu yang boleh membawa kapada Allah, tetapi dipelajari untuk tujuan kepentingan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di akhirat nanti.”

(Bersambung)

No comments: