Wednesday, April 16, 2008

Biarlah Umno terus hancur

PRU 12 sudah lebih sebulan berlalu dan berbagai rumusan dan ulasan mengenai keputusan luar jangkaan yang diperolehi telah dibuat. Banyak sejarah baru tercipta dari hanya satu negeri yang diperintah parti bukan BN, kini menjadi lima negeri. Tiada sasaran tepat yang diberikan oleh parti pemerintah yang hampir tumbang kini kerana mereka mempunyai banyak pilihan. Kalau dulu mereka hanya ada Kelantan untuk ‘diperangi’ sehabis-habisnya, kini mereka ada Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Nasiblah apa saja target yang muncul dari empat lokasi baru ini pasti akan ditembak secepat mungkin.
Namun begitu dalam keghairahan untuk mencari jalan menghimpit kerajaan-kerajaan negeri yang baru ini, mereka nampaknya lebih terhimpit dan tumpuan lebih terarah kepada perpecahan dalam Umno dan lain-lain parti komponen BN. Tragedi dua bekas menteri besar yang dimurkai sultan masing-masing amat menebalkan muka perdana menteri, apa lagi watikah yang beliau berikan langsung tidak laku.
Beberapa individu yang dulunya menteri diaibkan dengan keputusan pilihanraya dan ada juga menteri yang perdana menteri tunjuk jalan keluar walau pun masih menang. Yang bertuahnya beberapa nama yang semua orang pelik bila diberi jawatan sehingga menteri sedangkan beberapa minggu sebelum itu nama mereka tiada dalam senarai calon pilihanraya. Tidak kurang pelik juga ketika beberapa nama yang tidak berpuas hati dengan pangkat yang diberi, ada juga yang kalah turut mendapat habuan.
Yang terkini mereka sedang bersiap untuk mengambil tindakan ke atas individu dalam umno yang dikatakan telah mensabotaj parti mereka. Kita tunggulah nanti kerana ada di kalangan yang ‘disenatorkan’ untuk diberi pangkat adalah antara individu yang dilaporkan turut berkempen memenangkan parti lawan mereka.


Jaga Parti Sendiri

Setelah dianugerahkan kejayaan yang cemerlang dalam PRU 12 yang lalu, Barisan Alternatif atau kini diperkenalkan sebagai Pakatan Rakyat, tumpuan perlulah lebih terarah kepada usaha memperkemas dan memperkasakan parti. Walaupun ada individu tertentu yang begitu teruja membuat percaturan untuk meraih sokongan dari seberang, tidak perlulah semua terus berangan untuk melihat apa yang dikatakan kejutan terbaru. Jagalah amanah yang sudah diterima kerana jika ia gagal dilaksanakan, cicit kita pun belum tentu dapat merasai nikmat kemenangan seperti yang ada sekarang walaupun sedikit.
Dalam keseronokan kita mentertawakan apa yang dihadapi umno sekarang, kita harus sentiasa berjaga-jaga kerana mereka ini dulunya ketika berkuasa sanggup khianati hak rakyat, sanggup buat apa saja untuk berkuasa dan kini sudah tentulah rela berkorban apa saja untuk menjahanamkan kita.
Lupakan sejenak cerita-cerita rumahtangga umno yang hampir runtuh itu, berhentilah seketika berbincang untuk menguasai sepenuhnya Negara ketika ini dan tumpukan perhatian kepada khidmat kita kepada rakyat. Bagi yang berkesempatan berada hampir dengan wakil-wakil rakyat mungkin telah menemui ‘thrill’nya cabaran yang perlu dihadapi.
Banyak orang yang menyebut ‘ghanimah’ banyak selepas menang. Kalau Kedah yang berhutang sampai RM2.07Billion dengan kerajaan pusat, agaknya ada berapa banyak harta yang ditinggalkan. Apa yang kita cuba rebut akan terus menambah beban yang ada. Selain itu kita juga ada ‘tawanan perang’ dari kalangan kakitangan kerajaan negeri yang kita boleh gunakan ilmu mereka untuk mentadbir negeri, tetapi harus berhati-hati kerana sebahagian mereka adalah musuh dan terus memusuhi. Walaupun mereka kini berkhidmat untuk kerajaan kita tetapi mereka masih ada ‘tuan’ di luar sana.
Banyak benda yang perlu dibuat, banyak strategi perlu disusun, banyak gerakerja perlu diatur dan banyak masalah yang akan dihadapi. Bantuan siapa yang akan kita harapkan selain daripada ahli sendiri, selain dari penyokong sendiri. Apa yang perlu kita lakukan? Jagalah parti sendiri.

1 comment:

Anonymous said...

eleh...ingat hampa kuat sangat ka
ingat la..hampa menang kat tg dawai cuma 79 undi..hamap menang sebab org bn yg belot ja..ewahh nak bagi umno lingkop...silap la...yang Pas tu dok dakap ngan DAP apa cerita..dah terang lagi bersuluh DAP tolak ISLAM...memang dasar mementingkan kuasa la hampa ni.Sanggup tipu pengundi.Nak tanya sikit la..KEDAH ni kaya sanagt ka..Cuba tunjuk mai kat mana sumber kewangan dia..Biasa la berutang..bukan ngan org lain ngan kerajaan.bukan berutang nak pi joli.nak membangun kan negeri..tunggu la hampa perintah plk..nak tengok..hampa berutang ka dak..jangan cakap ja..habuk pun tarak...tong kosong..