Thursday, April 17, 2008

DAP, ORANG MELAYU DAN NEGARA ISLAM


Pak Wan nak sambung celoteh Pak Wan dahulu. Pak Wan rasa elok kita renungkan dan fikir masak-masak apa yang ingin Pak Wan utarakan ini demi menjaga hubungan baik diantara PAS, PKR dan DAP. Maklumlah, BN amat sakit hati dengan ketiga-tiga parti ini. Apa sahaja mereka akan lakukan untuk menghancurkan perpaduan ketiga parti ini, seperti apa yang pernah mereka lakukan terhadap hubungan baik di antara PAS dan Semangat 46 dahulu. Janganlah pisang berbuah dua kali.

Kita hairan, kenapa pemimpin-pemimpin DAP kerap menyuarakan bangkangan mereka terhadap penubuhan negara Islam. Karpal Singh telah bertubi-tubi menghentam usaha PAS walaupun konsep Pakatan Rakyat ( PR ) telah disepakati oleh ketiga-tiga komponen dan walaupun PAS telah menangguhkan dahulu rancangan tersebut. Menteri Besar Kedah telah pun memberi ketetapan bahawa Hukum Hudud tidak ada dalam agenda Kerajaan PAS Negeri Kedah. Menteri Besar Kelantan juga tidak menyebut hal itu, dan jauh lagilah Menteri Besar Perak!

Sebenarnya mereka ( DAP ) tidak mahu perkara yang berlaku pada tahun 1999 berulang. Dari tahun 1998 hingga 1999 (ekoran penubuhan GERAK yang dianggotai oleh PAD, DAP, PRM dan beberapa pihak yang lain selepas peristiwa Dato' Seri Anwar Ibrahim), kepimpinan DAP telah bersetuju dengan konsep Negara Islam seperti yang dicadangkan oleh Al-Marhum Dato' Hj. Fadzil Nor, bekas Presiden PAS. Lim Kit Siang telah mengambil ketetapan untuk menerima cadangan Al-Marhum dan telah membuat suatu kenyataan panjang yang pernah disiarkan dalam akhbar Harakah sebelum pilihan raya 1999 bahawa konsep Negara Islam yang beliau setuju bersama Al-Marhum adalah sesuatu yang bersesuaian dengan keadaan masyarakat majmuk dalam negara kita. Kenyataan Lim itu juga mempunyai rujukan kapada kitab "Al-Ahkam Al-Sultaniyah" karangan Al-Imam Al-Mawardi yang juga membincangkan kelapangan kelapangan dan hak-hak tertentu kapada golongan bukan Islam. Sesuai dengan keadaan di Malaysia, Al-Marhum Dato' Fadzil telah menunjukkan ciri-ciri ketuanan Islam yang tidak membebankan golongan bukan Islam. Ini yang mereka (DAP) berkenan di hati.

Disebabkan hasutan yang bertalu-talu dari pihak-pihak yang tertentu, orang-orang bukan Islam telah menolak DAP dalam pilihanraya ke 10 tahun 1999. Menurut mereka, undi kepada DAP adalah undi kepada PAS untuk menegakkan Negara Islam dan kononnya Negara Islam akan memotong tanganlah dan juga potong itu dan ini!. Walaupun PAS dan masa itu KeAdilan mendapat kemenangan besar pada pilihanraya tersebut sehingga Terengganu terlucut dari tangan BN, DAP yang kalah teruk tidak berpuas hati. Ketua Pemuda DAP ketika itu, Kher Kim Hock telah melatah dengan begitu kuat dan menolak pakatan dengan PAS. Beliau juga menuduh kepimpinan partinya tidak peka dengan kehendak masyarakat bukan Islam dan dan DAP tidak berjaya sebab parti itu ditolak oleh masyarakat tersebut khususnya orang-orang Cina. Mungkin masa tidak cukup panjang untuk DAP menerangkan hasrat mereka kapada penyokong-penyokong mereka tentang pengabungan dalam pakatan yang dinamakan Barisan Alternatif (BA). Penceraian DAP dengan PAS telah disambut dengan sorakan yang gemuruh oleh BN. Parti MCA dan Gerakan telah membuat propaganda bahawa DAP telah ditunggangi oleh PAS. Akhir sekali, yang ditunggangi kalah dan yang menunggangi pula menang. Mereka pura-pura menunjukkan belas kesihan kapada DAP kerana jawatan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang selama ini disandang oleh DAP telah jatuh ke tangan PAS.

Pada tahun 2004 semasa diadakan Pilihanraya ke-11, DAP umumkan bahawa mereka tetap tidak akan berkerjasama dengan PAS. Akibatnya, keputusan pilihanraya menyaksikan DAP dapat meraih kembali kerusi-kerusi yang mereka pernah kuasai dahulu dengan sokongan masyarakat bukan Islam kembali kapada mereka. Selepas itu kedengaran suara-suara yang jahat dari BN yang mengatakan BA tidak lain hanyalah pakatan longgar kumpulan yang terdesak (marriage of convenience). Tetapi yang cantiknya PAS tetap bersabar dan redho dengan keputusan orang ramai, bukan menggila macam parti-parti yang tidak pernah kalah semenjak Merdeka!

Pada tahun 2008, mereka sekali lagi mengulangi pendirian mereka untuk tidak berkerjasama dengan PAS. Walau bagaimanapun, penglibatan dan pengembelingan tenaga pihak-pihak yang mempunyai kebijaksanaan telah membolehkan kedua parti ini menjadi rakan pilihanraya ke-13 bersama PKR, dan masing-masing bersetuju supaya pertandingan menentang BN mestilah atas dasar satu lawan satu. Secara kebetulan, 51 tahun selepas Merdeka, rakyat telah naik bosan dengan BN dan telah pilih untuk memangkah calon-calon pembangkang, walaupun calon yang yang mewakili ialah calon yang berlainan bangsa dan parti.

Semasa PR diisytiharkan, DAP masih ragu dengan sokongan rakyat bila duduk bersama dengan PAS dan PKR. Oleh itu, mereka tetap tegas mengatakan bahawa mereka tidak ada apa-apa hubungan dengan PAS dan akan tetap menentang usaha PAS untuk menegakkan sebuah Negara Islam. Ini ialah taktik mereka untuk meyakinkan masyarakat bukan Islam yang jahil tentang Negara Islam supaya percaya bahawa pakatan yang baru itu bukanlah untuk membentuk sebuah Negara Islam. Tambahan pula PAS telah umum bahawa Negara Islam tiada dalam perancangan, orang ramai telah menerima PR sebagai suatu alternatif.

Tentang penubuhan sesebuah Negara Islam, walaupun ia wajib, sebab bumi dan alam ini milik Allah, ianya tidak ada suatu masa yang tetap seperti kewajipan-kewajipan yang lain seperti solat, puasa, haji dan sebagainya. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa apabila pihak-pihak berkenaan itu bersedia, atau keadaan menjadi sesuai. Bila keadaan tidak mengizinkan seperti sekarang, pihak Islam boleh bermula dengan persediaan. Sekiranya pemimpin-pemimpin Islam tidak sempat menubuhkan Negara Islam semasa hayat mereka, usaha mereka boleh diteruskan oleh pengganti-pengganti mereka. Yang penting sekali keazaman itu mesti wujud dan itu yang akan diambil kira di Akhirat kelak. Sekiranya generasi yang kemudian dapat menubuhkan negara yang di dalamnya tertegak hukum-hukum Allah, generasi pejuang dan pengusaha yang dahulu akan tetap menerima ganjaran pahala disebabkan medan perjuangan yang telah disediakan mereka.

Ada segilintir ahli PAS yang berfahaman 'conventional' (kolot) dan lebih suka melihat parti itu berjuang sendirian supaya keazaman perjuangannya tidak dicemari. Ada yang mengatakan bahawa kalau dulu PAS mengatakan yang UMNO tidak Islamik kerana bersekongkol dengan parti-parti bukan Islam, jadi mengapa sekarang PAS berkerjasama dengan DAP dan PKR dan mungkin beberapa parti bukan Islam lagi yang akan turut serta dalam PR? Ini menunjukkan bahawa PAS juga gilakan kuasa dan sanggup mengenepikan Islam untuk mencapai tujuan kekuasaan. Yang pandai berbahasa Inggeris pula akan mengatakan: "PAS is equally unIslamic!"

Sebenarnya hasrat PAS tetap mahukan Negara Islam. DAP, PKR atau mana-mana parti yang bakal menyertai PR tidak boleh memadamkan cahaya Allah yang telah terpancar dalam perjuangan PAS. Oleh itu, jangan anggap PAS sengaja berdegil. Sekiranya PAS sebagai satu parti sahaja dapat menguasai lebih dari dua pertiga dalam parlimen, PAS akan melaksanakan tuntutan Negara Islam, tidak macam UMNO yang tidak pernah memiliki keazaman ke arah itu. Semasa Mahathir menjadi PM dan Presiden UMNO, beliau pernah mengumumkan bahawa Negara Islam baginya ialah "OUT OF THE QUESTION" (tidak akan dilaksanakan langsung). Beliau juga pernah membuat kenyataan berbau anti agama seperti menghina sunnah-sunnah dan hadis-hadis Nabi, mempermainkan fakta aqidah, memperlekehkan peranan ulamak-ulamak muktabar (sehingga orang-orang alim dalam UMNO tidak berani membantah), mengarah supaya tafsir Al-Quran dikaji semula (mengikut kehendak BN) dan macam-macam lagi sehinggakan orang-orang yang tidak pernah mengaji sekolah ugama pun meluat mendengar pendapat-pendapatnya. Beliau juga menunjukkan kebenciannya kapada peranan sekolah-sekolah agama rakyat dengan memotong subsidi kapita mereka. Pada tahun 1988, kebetulan mesyuarat agung UMNO berlangsung pada Hari Jumaat. Beliau mahu supaya sesiapa yang tak hendak pergi solat Jumaat mengangkat tangan dan beliau sendiri mengangkat kedua belah tangan! UMNO era beliau telah melahirkan banyak ahli-ahli politik, cendiakawan-cendiakawan, usahawan-usahawan dan teknokrat-teknokrat yang angkuh dan tidak ambil berat tentang Islam. Buktinya lihat apa yang diucap oleh calon parlimen Arau semasa PRU 12 apabila beliau bertanding melawan Prof. Dato' Haron Din. Beliau mengatakan Perlis tidak perlu orang alim macam Harun Din sebab orang alim bukan ahli pembangunan negara! Bukankah ini budaya UMNO yang menolak Islam? Perkara yang sama pernah diucapkan oleh budak Kelantan yang teringin nak jadi Menteri Besar sehingga orang kata dia itu Menteri Besar in waiting!, sekarang budak itu tidak langsung mendapat apa-apa. Kerusi DUN terbang dan kerusi Parlimen pun hanyut!

Pernahkah PAS mengajar orang buat macam itu? Pernahkah PAS melatih kader-kadernya bersifat anti agama? Pernahkah PAS terbabas dari matlamat perjuangan Islam?

Ada yang berpendapat PAS ini perlu berjuang 'solo' asalkan matlamat perjuangannya tidak dicemari. Boleh, tapi sampai bila? Sekiranya PAS berjuang bersendirian, mesej Islam akan sentiasa tersekat-sekat dan diganggu-gugat oleh mesej-mesej Islam Hadhari BN yang tak ada makna itu. Orang bukan Islam dalam BN pun dah pandai sebut Islam Hadhari tapi fahamnya tidak. Macam anak-anak Melayu yang pandai menyanyi lagu-lagu Bollywood dan terus hentam sahaja walaupun penyanyi asal itu memuja dewa-dewanya dalam lagu itu! Setidak-tidaknya sekarang, Menteri Besar Kedah, Kelantan dan Perak dapat bersuara lantang dengan mesej Islam yang selama ini kedengaran di ceramah-ceramah umum sahaja. Ceramah-ceramah tersebut selalu diganggu dengan ugutan dan ancaman pihak-pihak berkuasa. Hampir semua majlis ceramah pembangkang akan dihadiri oel tetamu yang tak diundang di dalam kenderaan-kenderaan besar berwarna merah lengkap dengan 'dayang-dayangnya' yang memakai pakaian seragam serba biru memegang cota dan menunggu arahan sahaja untuk mengazabkan orang ramai.

Pernahkah guru-guru dan intelek ugama dalam PAS diberi kebenaran berceramah di masjid-masjid di dalam bandar? Kita pun kadang-kadang sedih dengan sikap sesetengah AJK-AJK masjid yang bodoh yang tidak membenarkan ahli agama membawa isu politik Islam dalam masjid. Politik itu bukan politik yang akan menghancurkan manusia. Politik Islam membina manusia. Bukankah Ibnu Khaldun seorang pakar sains politik Islam pernah mengatakan di dalam kitabnya "Al-Muqaddimah" : 'TEGAKKANLAH AGAMA (ISLAM) ITU DAN PERINTAHLAH DUNIA DENGANNYA'. Jadi, nak jauhkan juga politik Islam dari mesjid, suatu institusi yang fungsinya ialah sebagai ibu pejabat umat Islam setempat untuk beribadat dan menunjukkan ketaatan kapada Allah dengan menjunjung segala suruhannya, termasuk memahami politik Islam yang akan membina manusia dan hak-haknya? Nak biarkan umat Islam buta politik? Sedangkan orang-orang Nepal yang selama ini taat melulu kapada raja mereka dan tak pernah faham politik sekarang dah pandai menggulingkan kerajaan beraja, inikan pula rakyat Malaysia yang telah terdedah kapada perjuangan politik semenjak ratusan tahun. Orang-orang yang mengatakan politik asing dan agama asing dan tidak membenarkan politik dicakapkan di dalam mesjid adalah serupa seperti menyekat umat Islam daripada menjadi lebih sedar dan celik kapada suasana politik Islam yang sebenarnya suatu ibadat dan jihad yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Orang-orang yang berbuat seperti ini samalah seperti orang-orang yang menghalangi ilmu, kelak di Akhirat, Allah akan pakaikan mereka dengan kekang dari api neraka! Demikian menurut hadis.

Akibat dari buta politik Islam, ramai orang Islam juga menolak PAS sebelum PRU-12. Berapa kerusi yang PAS dapat dalam parlimen? Cuma 23 kerusi berbanding DAP-28 dan PKR-31. Sekiranya orang Islam sedar dan celik dengan politik Islam, boleh jadi PAS, parti pembangkang yang tertua sekali di Malaysia akan dapat meraihkan hampir kesemua 67 kerusi yang ditandingi. Oleh sebab orang Melayu buta politik, jumlah kerusi PR dalam parlimen hanya 82 berbanding 138 yang dikuasai BN. UMNO menghasut rakyat di sesetengah tempat dengan menyifatkan orang-orang Melayu dalam PKR sebagai penderhaka dan pengkhianat bangsa! Sebab buta politik, orang-orang melayu di Terengganu tidak sepakat untuk memberi undi yang banyak kapada PAS yang pernah memerintah negeri itu dengan cermat dan berhemah dari 1999 hingga 2004. Mereka beri kapada BN yang membazir wang rakyat melalui aktiviti-aktiviti yang tidak menguntungklan rakyat. Orang Melayu lebih buta di dewan undangan negeri Kijal dengan memberi undi yang banyak kapada Ahmad Said. Pepatah Inggeris ada mengatakan: "In the kingdom of the blind, the one eyed man is the king." (Dalam masyarakat orang yang cacat penglihatan, orang yang celik mata sebelah boleh menjadi raja). Bila Terengganu dikuasai BN, maka orang merekalah yang menjadi Menteri Besar. Pihak istana telah menilik bahawa di dalam raga yang mengandungi buah-buah yang busuk, hanya sebiji buah yang boleh tahan yang namanya Ahmad Said. Oleh itu, dilantiklah beliau untuk jawatan MB. Sekiranya PAS dan PKR menang banyak, pihak istana akan menjadi lebih gembira dan tanpa tangguh atau teragak-agak, mereka akan menitahkan supaya raga buah busuk itu dibuangkan sahaja. Apakah orang Melayu sudah lupa bahawa beliaulah orangnya yang berada di belakang perobohan Masjid Bujal? Adakah orang Melayu sudah lupa betapa buruknya kelaku beliau terhadap peniaga-peniaga Melayu di pasar-pasar daerah Kemaman semasa beliau menjadi Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kemaman? Oleh sebab orang Melayu buta politik jugalah, beberapa orang yang tidak layak memenangi pilihanraya telah diberikan undi dan ada di antara mereka yang dah jadi menteri kabinet.

Di dalam sejarah pilihanraya negara kita semenjak tahun 1955, usah dikatakan dua pertiga, PAS tidak pernah pun memenangi 50 atau 60 kerusi. Bagaimana mungkin hendak menubuhkan Negara Islam? Oleh itu sabar dan tunggu dahulu. Sabar menunggu Rahmat Allah itu adalah suatu ibadat yang mulia. PAS menyertai Pakatan Rakyat. Berkongsi kuasa dengan golongan yang dianggap selamat kini adalah lebih baik dari berjuang solo, sebab seekor kambing yang terkeluar kumpulan dan merayau sendirian akan lebih senang hanyut, sesat atau hilang entah kemana berbanding kambing-kambing yang ada dalam kumpulan.

3 comments:

Anonymous said...

YAHOO..SERONOK LA ORG PAS MACAM HG BOLIH DAKAP KARPAL SINGH TU.TAK LAMA LAGI KEDAH PUN IKUT SAMA LA BUAT KANDANG BABI BAGI BESAQ.DAPAT GAK JANA EKONOMI.ORG UMNO KEBANYAK KAN ORG ISLAM.TAPI DAP TU APA DIA.CUBA HABAQ SAT.BAGUIH BAGUIH....ELOKLA PELUK DAP TU..SAMA MACAM HAMPA JUGA TAIK PEMOHONG TAIK MENGATA..KAKI MAKI HAMUN...ISLAM APA MACAM TU...

Anonymous said...

PEGI MAMPUS LA PAS

pmerbok said...

sesaat sentuh bahu michelle yeoh HARAM, lebih banyak saat lebih BANYAK HARAM, pegang babi pun cuma kena samak, makan baru haram. Kalau orang sanggup buat perkara haram yang banyak, agak2 makan benda haram macamana ya..