Tuesday, April 15, 2008

Mampukah Kerajaan Bertaubat?

- Petikan dari tulisan seorang mufti ..



"Saya ingin katakan bahawa peristiwa pilihanraya yang lepas, perkara yang pertama yang mesti dilakukan oleh pihak pemerintah bagi mengeluarkan diri semua dari krisis dan kegawatan politik yang saban hari mengganggu kita semua adalah dengan cara bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha. Segala kesalahan, ketidakadilan, ketidaktelusan, kecuaian atas tanggunjawab yang Allah amanahkan selama ini hendaklah benar-benar insaf dan memohon ampun daripada Allah.
Kedua; hendaklah berazam untuk tidak mengulanginya lagi pada masa hadapan.

Ketiga: jika ada hak rakyat yang dizalimi, kembalikan hak mereka. Jika ini dilakukan, percayalah kepada rahmat Allah yang akan melimpahi negara dan kepimpinan akan terus dapat keberkatan dalam pemerintahan yang akan diteruskan.

Pasca politik kini adalah ujian untuk kepimpinan negara. Bukan masa untuk menunjukkan ego, atau mencari-cari di mana silap orang lain, tapi melupai dosa-dosa politik yang pernah dilakukan. Masa ini sepatutnya kepimpinan negara di setiap peringkat menunjukkan tadarru’ iatu benar-benar merendah diri kepada Allah dan memohon keampunan daripadanya.

Kita ingin mendengar kepimpinan memohon kemaafan kepada rakyat di atas segala kesilapan yang pernah berlaku sepanjang pentadbiran yang lalu. Inilah yang akan mendatangkan keberkatan dan menimbulkan rasa hormat rakyat

Bertaubatlah, kembalikan hak-hak rakyat, belalah mereka yang teraniaya. Jika orang kaya yang dizalimi, ada peguam yang dapat membawa kesnya ke mahkamah. Si miskin yang susah apabila ditindas, tiada peguam yang mampu dibayar, maka tidak ada mahkamah yang sudi mendengar. Namun esakan dan tangisan itu tetap didengari oleh Allah Yang Maha Mendengar. Rintihan itu sampai ke langit tinggi dan Allah akan membalasnya. Wahai pemimpin! Jika engkau tidak adil, engkau akan didakwa di mahkamah Allah di pandang mahsyar kelak. Juga, jika dosa orang kena zalim itu mustajab di dunia, engkau akan dibalas di dunia dan akhirat.

Hala tuju negara hendaklah digaris dengan jelas. Generasi muda melayu Islam di negara ini dicandukan agar tidak lagi mampu berfikir dengan seimbang. Hiburan-hiburan yang melebihi dari tahap keperluan dan tidak memiliki matlamat yang jelas seakan sengaja dilambakkan untuk hidangan mereka. Inilah yang kelihatan dalam media-media kita sedangkan ketika yang sama gendang ‘Islam Hadhari’ dipalukan. Sebagai tanda restu atau sebaliknya, saya tidak pasti. Lalu anak muda kita dalam khayal dan mabuk, dadah, keruntuhan akhlak dan berbagai.

Terjemahkanlah taubat itu dalam kepimpinan, pengurusan, media dan hati budi pemimpin. Pohonlah kemaafan kepada rakyat, dan kembalikan hak mereka jika ada yang ‘tidak kena’. Demikianlah juga hendaknya sekelian rakyat memohon keampunan dan kembali kepada jalan yang lurus. Inilah jalan keluar yang hakiki dari kemelutkan yang ada.
Jika itu berlaku maka, Allah berfirman: (maksudnya) “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka segala keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah al-‘Araf: 96).



SILA BERI KOMEN IKHLAS ANDA..

No comments: