Monday, April 14, 2008

NEGARA ISLAM ATAU TIDAK

Celoteh Pak Wan kali ini ialah berkenaan dengan apa yang sedang sibuk diperkatakan orang ramai, bahawa PAS terkilan dengan keputusan sekutu-sekutunya dalam Pakatan Rakyat kerana tidak dapat melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (Hudud, Qisas dan Takzir) sebab DAP terang-terang menolak penubuhan negara Islam.

Kita singkap sejarah sedikit. PAS telah ditubuhkan pada tahun 1951 dan semenjak dari masa itu, PAS memang berazam untuk menegakkan sebuah negara yang di dalamnya berjalan hukum-hukum Allah. Perlembagaan parti pun ada termaktub seperti yang disebutkan. Pada tahun 1959, PAS berjaya menubuhkan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu tetapi hasrat menegakkan sebuah negara Islam yang lengkap dengan undang-undang jenayahnya tidak tercapai. Yang boleh buat hanyalah mengIslamkan undang-undang tubuh kerajaan negeri sebaik mungkin.
Pada tahun 1990, sekali lagi PAS menang besar di Kelantan dan pada tahun 1999, diikuti pula oleh 'adindanya' Terengganu. Tapi, syariat Islam yang menjalankan ketiga-tiga cabang hukum jenayah itu tak boleh buat juga. Sebab apa? Sebab undang-undang berkaitan tubuh badan manusia masih berada dalam cengkaman Kerajaan Pusat. Pemimpin-pemimpin BN yang 'samdol' sengaja mengapi-apikan kegagalan PAS di Kelantan dan Terengganu menegakkan hukum-hukum jenayah itu walaupun mereka tahu peraturan di antara kerajaan Negeri dan Pusat.
Sekarang 2008, lima buah negeri tidak berada dalam kekuasaan BN. Kalaupun kelima-lima negeri berada sepenuhnya di bawah PAS, hukum-hukum tadi masih belum boleh lagi dilaksanakan. Tetapi jika PAS (sebagai single party) menguasai lebih dari dua pertiga parlimen, hah, tentu boleh buat. Nak capai keadaan macam itu, terpaksalah PAS melalui suatu perjalanan yang jauh, penuh dengan onak dan duri.
Kita ambil contoh perjuangan para Nabi dan Rasul a.s. untuk menanamkan tauhid di dalam hati kaum atau umat masing-masing. Ada Nabi atau Rasul yang diusir, dicederakan atau dibunuh. Kata-kata nista terhadap mereka tak usah cakaplah! Hari-hari ada. Baginda Rasulullah s.a.w. pun turut diumpat dan dimaki-hamun oleh ahli masyarakatnya sendiri. Walau bagaimanapun mereka telah berusaha menanamkan bibit-bibit iman dan taqwa dan usaha-usaha itu telah membuahkan sedikit sebanyak hasil dalam dunia hari ini. Walaupun demikian, Negara Islam yang ditegakkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. tetap berdiri tegoh di Haramain hingga hari ini. Penulis-penulis Barat juga ramai yang kagum dengan perjuangan Baginda dan walaupun tidak memeluk Islam, mereka telah banyak menulis tentang kebijaksanaan, amanah dan semangat waja Baginda menempuhi kepayahan perjuangan.
Untuk memendekkan cerita, kita masih belum nampak cita-cita itu dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat ini. Yang penting sekali, semangat kita jangan patah dan keazaman kita itu akan diambil kira di Akhirat nanti.

Allah SWT telah mengurniakan RahmatNya dengan kemenangan PAS yang besar di negeri Kelantan dan kemenangan besar PAS-PKR-DAP di empat lagi buah negeri. Pemimpin-pemimpin parti-parti yang menang ini telah duduk semeja dan telah bermuafakat menubuhkan agasan Pakatan Rakyat (PR). Di dalam terma-terma dan polisi-polisi PR terdapat unsur-unsur kepimpinan yang baik (good governance) dan berkualiti, adil dan bebas dari rasuah, salahguna kuasa dan berbagai lagi ciri-ciri negatif. Perkembangan ini telah dipandang baik dan manis oleh semua pemimpin ketiga-tiga parti itu.

Sekarang, beberapa lagi parti seperti MDP dan PRM akan menyertainya dalam masa yang terdekat ini. Banyak penganalisis politik berpendapat bahawa kemungkinan Gerakan dan PPP dari BN dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak juga akan menurut serta.

Menurut Presiden PAS, polisi-polisi yang terdapat dalam PR secucuk dan dekat dengan Islam. Mungkin orang-orang bukan Islam tidak nampak tetapi ada beberapa orang Islam yang beranggapan bahawa polisi-polisi ini akan perlahan-lahan menjurus kapada penubuhan sebuah Negara Islam sepertimana benih-benih rambutan akan menghasilkan pokok-pokok rambutan dan seterusnya sebuah dusun rambutan yang besar. Mungkin ianya tidak akan berlaku pada zaman kita. Mungkin 'dusun' itu akan dapat dinikmati oleh cucu atau cicit kita Insya Allah. Polisi-polisi PR mungkin ada penerimaan yang berbeza dikalangan pemimpin-pemimpin gagasan itu. DAP dan sesetengah pemimpin PKR yang bukan Islam menerimanya sebagai polisi untuk menubuhkan negara adil dan berpentadbiran baik sementara PAS menerimanya sebagai langkah awal penubuhan Negara Islam.
Contohnya macam buah Mangga. Orang Utara menamakannya buah Pelam; orang Pulau Pinang kata buah Mempelam atau Mamplam; orang Selatan kata buah Mangga sementara orang Pantai Timur kata buah Pauh. Namun hakikatnya tidak berubah dari makna Bahasa Inggeris yang disebut 'Mango.'

Kita orang-orang Islam dari PAS janganlah tunjukkan muka masam dengan rakan-rakan kita yang bukan Islam dalam DAP dan PKR mengenai isu ini. Pakatan Rakyat dalam sudut kemasyarakatan perlu bersatu padu dan contoh yang paling baik mesti datang dari orang-orang Islam yang menjadi ahli PAS dan PKR. Tunjukkanlah akhlak Islam yang berkualiti supaya mereka semua kagum dengan kita. Pak Wan harap pemimpin-pemimpin PAS tidak keberatan membenarkan pemimpin-pemimpin DAP atau PKR datang merasmikan meyuarat-mesyuarat Agung PAS peringkat cawangan atau pemuda. Alangkah manisnya mereka melihat kita memulakan mesyuarat dengan Al-Fatihah dan tiap-tiap ucapan bermula dengan Bismillah. Manalah tahu, mereka akan ditawan oleh Rahmat Allah dan menerima Islam. Begitu jugalah pemimpin-pemimpin DAP dan PKR menjemput pemimpin PAS merasmikan mesyuarat-mesyuarat mereka. Ini akan menjalinkan semangat muhibbah dalam PR.
Kata orang, lagi banyak kita berkawan, lagi banyak dapat pengetahuan. Pak Wan pun dah tua. Sebelum Pak Wan menyahut panggilan Ilahi, Pak Wan nak tengok ahli-ahli PR bersatu-padu dan mencapai kekuatan yang lebih baik lagi.

Bagaimana dengan PAS pasca penubuhan PR?. PAS, melalui para aktivis dan ulamaknya akan dapat berhadapan dengan masyarakat Melayu dan bukan Melayu untuk mengikis fahaman Islam yang sempit yang selama ini menghanyutkan minda mereka dari hakikat yang sebenar. Selama dua puloh tujuh tahun, orang Melayu dimabukkan dengan Islam ala Mahathir dan Islam Hadhari ala Badawi. Sebab itulah Pak Wan nasihatkan supaya aktivis-aktivis PAS memainkan peranan yang penting untuk memanifestasikan akhlak Islam keseluruhannya. Bukan perlu pakai serban dan jubah. Cukup dengan perangai yang baik sahaja untuk menarik kasih sayang orang. Sekiranya PAS mengambil sikap sambil lewa dan tidak istiqamah dalam usaha dakwahnya, parti itu akan menjadi sebuah gerakan jumud yang mudah dilapah dan dibaham oleh rakan-rakannya yang lain dalam Pakatan Rakyat.

No comments: