Thursday, May 29, 2008

IKTIBAR DARIPADA PULAU BATU PUTIH (PEDRA BRANCA) DARI PERSPEKTIF SINGAPURA

Semangat dua negara, Malaysia dan Singapura, bagi penyelesaian isu pemilikan pulau kecil yang menampung rumah api, Pedra Branca atau Batu Putih, menampilkan rumusan huraian penting. Penyelesaiannya menamatkan tengkarah yang telah berpanjangan selama 28 tahun dan kerap menegangkan hubungan. Isu ini merupakan antara sekelumit perkara yang masih tersangkak antara dua negara sejak kemerdekaan Singapura ekoran perpisahan daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Namun dengan mengambil pendekatan pragmatik antara perdana menteri Malaysia dan Singapura lebih sedekad lalu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Goh Chok Tong - mendapatkan budi bicara kearifan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) - isu ini telah dapat diselesaikan. Dan rakyat Singapura seluruhnya gembira dengan keputusan yang telah dibuat dalam penghakiman ICJ.

Dengan 12 daripada 16 hakim ICJ menyebelahi hujah Singapura, ternyata kes tuntutan republik ini cukup jelas. Walaupun Middle Rocks diserahkan kepada Malaysia, ICJ kurang jelas dalam menentukan kedudukan South Ledge. Oleh itu, dua negara perlu terus berunding untuk menentukan sempadan milik masing-masing. Tampaknya, suasana di Malaysia dan Singapura tetap muhibah kerana ada lebih banyak kepentingan bersama yang lebih besar perlu dijayakan.

Sebelum ini, pendekatan yang sama telah digunakan untuk menyelesaikan isu tuntutan Malaysia dan Indonesia terhadap dua pulau di timur Sabah iaitu Sipadan dan Ligatan, yang menyebelahi Malaysia. Kedua-dua kes ini boleh dijadikan iktibar oleh negara-negara Asean dalam mengatasi tuntutan pulau seperti di gugusan Paracel dan Spratly. Namun bagi Singapura dan Malaysia khususnya, isu yang masih belum beres seperti soal harga dan bekalan air serta tanah Kereta Api Tanah Melayu, tentulah dapat dihuraikan dengan mengambil iktibar terbaru ini.

Dengan bersikap objektif dan budiman, pucuk pimpinan dan rakyat dua negara dapat bergerak maju untuk meneroka kerjasama yang lebih luas tanpa dirantai oleh bebanan sejarah. Namun, perlu diakui bahawa bukan mudah untuk mengawal emosi apabila isu dua negara dijadikan bahan politik. Penglibatan Singapura secara khusus dalam Iskandar Malaysia di Johor, misalnya, telah ditengkarahkan - kononnya warga Singapura akan mengaup hartanah dan meraih keuntungan besar sehingga meminggirkan rakyat Johor sendiri. Apa yang perlu ditekankan ialah selagi ada perundangan dan mekanisme yang telus serta pelaksanaan tegas, soal kerjasama dua negara tidak perlu diragukan. Yang utama, suasana sama untung perlu dijayakan atas dasar keyakinan demi jangka panjang.
BAGAIMANA SINGAPURA MEMBUKTIKAN PEMILIKAN:

- Dalam 1847, kerajaan Britain di Singapura memutuskan untuk membina rumah api di Pulau Batu Putih (Pedra Branca). Sewaktu meletakkan batu asas di Rumah Api Horsburgh dalam 1851, pulau itu digambarkan sebagai 'bergantung kepada Singapura'.

- Dalam 1952 dan sekali lagi dalam 1974, Ketua Juruukur dan Jabatan Marin Singapura menulis bahawa Singapura berhak ke atas pemilikan laut di sekitar Pulau Batu Putih (Pedra Branca).

- Pada awal 1970-an, Pemerintah Singapura menimbangkan untuk menambak tanah sekitar Pulau Batu Putih (Pedra Branca). Ia juga mengeluarkan tender awam bagi kerja-kerja sedemikian dalam 1978.
- Malaysia tidak memberi respons terhadap langkah-langkah Singapura itu

BAGAIMANA MALAYSIA MELUCUTKAN PEMILIKAN:

- Dalam 1953, hasil respons kepada pertanyaan dari Singapura, kerajaan Johor menyatakan dalam sepucuk surat bahawa 'kerajaan Johor tidak menuntut pemilikan Pulau Batu Putih (Pedra Branca)'.

- Dalam 1962, Persekutuan Malaysia menerbitkan dua peta rasmi yang menganggap Pulau Batu Putih (Pedra Branca) milik Singapura.

- Dalam 1965 dan 1975, Malaysia sekali lagi menerbitkan peta menunjukkan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) sebagai milik Singapura.

Sumber: AF

Wednesday, May 28, 2008

RAMAI MUSLIM ANTARA MANGSA GEMPA BUMI DI CHINA

RIBUAN umat Islam turut terkorban atau cedera, sementara ratusan masjid dan madrasah telah musnah atau rosak akibat gempa bumi di Sichuan, China. Ini didedahkan Pengarah Urusan Nam San Food Manufacturing Pte Ltd, Jaafar Ma Jia Hui, yang sedang melawat China semasa gempa sekuat 7.8 pada Skala Richter itu melanda pada 12 Mei lalu. Beliau, yang juga presiden kehormat Badan Amal Zhang Jia Chuan, berada di sana dari 12 hingga 23 Mei lalu. Gempa itu mengorbankan lebih 67,000 nyawa dan menyebabkan lebih lima juta penduduk hilang tempat tinggal dan Ia turut mencederakan lebih 362,000 penduduk dan memusnahkan lebih 420,000 rumah.

Menurutnya lagi, beribu-ribu penduduk Islam di beberapa perkampungan dan kawasan autonomi Islam (kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam) di Bei Chuan, Wen Chuan, Mau Sien dan Ching Chuan, kesemuanya terletak di Sichuan, terkorban.'Tidak ramai, yang mengetahui bahawa wilayah Sichuan dan Gansu, yang tidak jauh dari pusat gempa itu, mempunyai ramai penduduk Islam. Di Gansu saja lebih 28,000 umat Islam cedera dalam gempa bumi itu, 382 masjid dan 983 madrasah rosak dan lebih 13,284 kediaman penduduk Islam musnah, Menurut Habib Hassan imam masjid Ba’alwie , pihaknya telah menghubungi badan bantuan kemanusiaan Mercy Relief untuk melihat sejauh mana umat Islam di sini dapat menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana itu.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai nasib umat Islam di China yang dilanda bencana itu boleh melayari laman Internet http://www.norislam.com/ atau http://www.zjccharity.org.cn/.

Sumber: AF

Monday, May 26, 2008

Karnival Sukan PASTI Negeri Kedah

PASTI Kawasan Merbok telah menghantar kontinjen ke Karnival Sukan Pasti Negeri Kedah yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Star Kedah pada 24 Mei lalu. Kontinjen terdiri dari pada pasukan bolasepak, bola jaring dan lumba lari didominasi oleh Pasti Al Ilmi, Pasti As Saadah dan Pasti Al Haziq yang mewakili Pasti Merbok setelah menggungguli Sukan Pasti Merbok yang diadakan sebelumnya.
Kerana persediaan yang agak kurang semua penyertaan kontinjen Merbok hanya melalui perlawanan peringkat awal sahaja setelah tewas dalam kebanyakan perlawanan peringkat kumpulan. Apa pun tahniah dan syabas diucapkan kepada guru-guru yang bertungkus lumus melatih dan memberi tunjuk ajar kepada peserta kali ini. InsyaAllah tahun depan kita berharap agar dapan membuat persediaan lebih rapi bagi mengharumkan nama Pasti Merbok.

Saturday, May 24, 2008

Kelab Anak Soleh (KASEH)

Dewan Pemuda Pas Kawasan Merbok telah mengorak langkah bagi memastikan kesinambungan perjuangan PAS mempunyai pelapis dan pewaris dengan melancarkan Kelab Anak Soleh (KASEH). Kelab ini dikhaskan keanggotaannya kepada pelajar berumur 10 hingga 12 tahun dari seluruh kawasan Merbok telah disempurnakan pelancarannya oleh Ustaz Musoddak Hj Ahmad, Ketua Pemuda PAS Kedah di PUTIM, 19 Mei lalu.
Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada Jabatan Pembangunan Pelajar (JPP) Merbok yang bertungkus lumus merealisasikan kewujudan kelab ini. Untuk permulaan kempen setiap cawangan sepuluh orang kanak-kanak didaftarkan sebagai ahli.

InsyaAllah selepas ini kita harap dapat menubuhkan kelab yang sedemikian untuk peringkat remaja pula. Banyak pengisian penting dirancang untuk anggota kelab ini bagi memastikan akan lahir nanti pemimpin-pemimpin yang dapat meneruskan perjuangan PAS terutamanya di kawasan Merbok.


- Berita ini terpaksa diperam kerana banyak bahan-bahan tidak diserahkan kepada admin untuk disiarkan

Thursday, May 22, 2008

Cepat Sebelum Kehabisan - T-Shirt Percuma Sempena Himpunan Pemuda PAS Memelihara Kemenangan


Dapatkan T shirt Pemuda Memelihara Kemenangan yang di sediakan khusus untuk peserta ke Himpunan Memeliharan Kemenangan sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah pada 13 & 14 Jun 2008, jam 8.00 malam di Kompleks PAS Kedah. T Shirt tersebut boleh didapati secara percuma dengan syarat mesti berdaftar sebagai ahli Skim Perlindungan Pemuda (SPP) Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah atau memperbaharui keahlian untuk tahun 2008 sebanyak RM 10.00 .

T shirt akan mula diedarkan kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan pada minggu pertama bulan Jun 2008 ini. Pemuda yang ingin mendapatkan T shirt ini sila daftar sebagai ahli SPP melalui Dewan Pemuda PAS Kawasan masing-masing. Berikut disenaraikan nama dan NO HP Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan seluruh Kedah


1. Langkawi Hakimi 012 5204279

2. Jerlun Abdul Aziz Hatt 013 4077525

3. Kubang Pasu Zabidi Morad 019 4225025

4. Padang Terap Mohd Shukri Ibrahim 013 5074445

5.Pokok Sena Mohd Firdaus Salleh 019 4135523

6. Alor Star Akhyari Ismail 017 4709002

7. Kuala Kedah Fadzil Baharum 019 4004103

8. Pendang Fadhil Noor Sahani 019 4935526

9. Jerai Nizam Noh 019 5586401

10. Merbok Asri Mat Salleh 013 4850518 - Pemuda2 PAS di Kawasan Merbok boleh hubungi S/U DPPKM dengan segera.

11. Sik Fakhrudrizal Mokhtar 019 5062007

12. Sungai Petani Azman Ahmad 019 4730686

13. Baling Ashri Abd. Rahman 013 4219570

14. Padang Serai Zulkarnain Bakar 013 4333911

15. Kulim/Bandar Baharu Pahimi Abdullah 019 4147252

Sunday, May 18, 2008

Ustazah Azizah Syaari Dalam Kenangan

Lebih 18 tahun mencurah bakti mendidik anak bangsa, ustazah merupakan antara guru yang paling berpengalaman yang mengajar di Pasti Pengkalan Iman, Batu Hampar, Merbok. Dalam usia 48 tahun ketika kebanyakan ibu-ibu lain memulakan tugas baru menjadi pengasuh menjaga cucu, beliau masih bertahan menjadi pendidik walaupun habuan yang diperolehi tidak seberapa.
Guru-guru Pasti yang rata-rata dibayar elaun kurang dari RM400 sebulan dan yang masih dibawah RM250 iaitu dibawah di bawah taraf kemiskinan, mempamerkan satu semangat yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Ketika saya mula menerajui Pasti Kawasan Merbok 3 tahun lalu, beliaulah yang menjadi pakar rujuk dan mentor saya. Bukan saja tunjuk ajar dan teguran sahaja yang saya terima, marah beliau juga terpaksa yang hadapi jika ada kehendak Pasti yang saya cuai. Kak Zah yang saya kenali merupakan seorang yang cukup peramah dan sukar membendung percakapannya.
Pernah sekali saya melawat Pasti ketika beliau melatih pasukan bolasepak untuk ke Sukan Pasti Negeri Kedah, dengan berjubah dan tudung yang labuh itulah mengelilingi padang, berteriak dan bertempik memberi arahan kepada anak-anak muridnya bermain bola.
Dalam rasa kagum itu saya malu sendiri dan cuba turut serta beri sedikit tunjuk ajar kepada pemain-pemain yang akan mewakili Pasti Merbok.
Saya kecewa dan bertambah malu apabila adik-adik itu tidak menghiraukan saya dan akan dengar apa yang guru mereka arahkan saja. Rupanya inilah yang dikatakan guru yang mendapat kepercayaan penuh anak-anak muridnya. Tentu ramai yang pernah merasai apa yang kita beritahu kepada anak-anak di rumah, mereka sukar untuk menerima sekiranya berbeza dari apa yang guru mereka ajar di sekolah.
Pengorbanan Kak Zah dihebatkan lagi dengan bantuan suaminya yang saya panggil Abang Li, seorang yang pendiam dan memiliki sebuah van yang selalu menjadi sasaran. Kerap kali program Pasti, Abang Li tidak akan ketinggalan. Apa tidaknya, semua akan sumbat dalam van miliknya. Walau pun diberi sedikit bayaran yang selalu lewat, Abang Li sanggup tidak ke laut semata-mata nak pastikan Kak Zah boleh hadir program Pasti.
Berita pemergian Kak Zah hanya diumumkan setelah mendapat pengesahan dari Hospital Sultan Abdul Halim yang menyebabkan suasana sukan hening seketika. Guru-guru yang menjadi rakan seperjuangan tidak dapat menahan perasaan sebak dan hiba. Suasana yang sungguh mengharukan itu membuatkan fikiran saya bercelaru sama ada hendak menangguh atau meneruskan acara yang masih banyak.
Saya mengambil keputusan mengarahkan semua pengadil pelawanan mempercepatkan acara yang berlangsung dan masa disingkatkan bagi semua acara lain. Alhamdulillah semua berjalan lancar dan padat. Saya juga terpaksa membatalkan acara guru dan acara untuk para waris untuk menjimatkan masa. Program tamat tepat jam 1.15 tengahari dengan upacara penyampaian hadiah turut diringkaskan.

Terkilan pula saya dihari terakhir Kak Zah bersama Pasti Merbok tak sempat nak menyapanya kerana sibuk mengendalikan program sukan tahunan itu. Selalunya ada saja yang dia akan komplen dan bagitau saya kena buat itu dan ini. Tak tahu la selepas ni dengan siapa pula saya nak mengadu hai.

Selamat tinggal dan terima kasih Kak Zah, hanya Allah saja yang dapat membalas jasa dan budi baik Kak Zah. Semoga Kak Zah akan sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada’ dan orang-orang yang beroleh kemenangan.

AlFatihah

Sorotan peristiwa 17 Mei 2008

9.20 pagi : Kak Zah memimpin kontinjen Pasti Pengkalan Iman menyertai acara perbarisan.
9.40 pagi : Kak Zah berada di tengah padang mengatur strategi pasukannya berentap dalam
perlawanan bolasepak.
9.44 pagi : Kak Zah tiba-tiba rebah ditepi padang dan diusung ke tempat teduh oleh beberapa
orang guru Pasti.
9.50 pagi : Dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani
10.25 pagi : Berita sahih pemergian Allahyarham diterima dari guru-guru yang ikut ke Hospital
12.00 tgh : Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di kampong Tempoyak, Merbok
3.00 ptg : Abang Li baru tiba dari Langkawi
6.00 ptg : Jenazah disembahyangkan di Masjig Kampung Tempoyak.
6.10 ptg : Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan disisi pusara Arwah Ibunya

(penulis merupakan Pengerusi Jabatan PASTI Kawasan Merbok)





Pengarah Pasti Negeri Kedah
Ustaz Azam Samat ketika
Menziarahi rumah arwah

Saturday, May 17, 2008

Sukan Pasti Merbok 2008 Padat dan Meriah

Walaupun digemparkan dengan kematian seorang guru Pasti, semua acara dapat dilaksanakan dengan lancar dan meriah. Beberapa acara terpaksa dipercepat dan disingkatkan masa selain acara guru dan acara khas untuk waris yang dibatalkan untuk menjimatkan masa.








Antara acara yang dipertandingkan adalah bolasepak, bola jaring, lumba lari 50 meter, tarik tali, bawa bola pingpong dalam sudu dan kerusi berirama.
Acara bolasepak yang disertai 12 pasukan berjaya menarik minat penonton yang menyaksikan aksi pemain cilik yang amat menghiburkan. Bola jaring yang belangsung serentak turut menerima sorakan walaupun Cuma 5 pasukan yang mengambil bahagian.
Acara tarik tali juga mencuri tumpuan dengan gelagat ibu bapa yang begitu bersemangat memberi sokongan kepada anak-anak mereka beradu tenaga. Acara-acara lain seperti biasa mendapat perhatian semua yang hadir kerana melihat aksi kanak-kanak memang sesuatu yang sungguh menggembirakan.
Program yang dimulakan dengan acara perbarisan diikuti bacaan ikrar dn doa wehdah diketuai oleh wakil pelajar dari Pasti Al Ilmi, Taman Bandar Baru Sg Lalang. Majlis dirasmikan oleh Ustaz Zahir Ghazali, Ketua Pemuda PAS Merbok.





Berikut adalah keputusan penuh Sukan Pasti Merbok 2008,
1. Bola Sepak : Pasti Al Ilmi
2. Bola Jaring : Pasti Al Ilmi
3. Lumba Lari 50 meter
a. Lelaki : Pasti Raudhatul Jannah
b. Perempuan : Pasti Raudhatul Jannah
4. Lari Bawa Bola dalam sudu
a. Lelaki : Pasti Nurul Firdaus
b. Perempuan : Pasti Nurul Firdaus
5. Kerusi Berirama
a. Lelaki : Pasti As Syamil
b. Perempuan : Pasti Al Muslim
6. Tarik Tali : Pasti As Syamil
7. Perbarisan Terbaik : Pasti Nurul Firdaus
8. Juara Keseluruhan : Pasti Al Ilmi

Upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ustaz Zahir Ghazali dan majlis ditamatkan dengan sempurna pada jam 1.15 tengahari.




Jabatan PASTI Kawasan Merbok mengucapkan syabas dan tahniah kepada yang berjaya, dan terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama dan membantu menjayakan Sukan Pasti Kawasan Merbok 2008.

Pasti Merbok Kehilangan Seorang Guru Berpengalaman

Sungai Petani : 17 Mei – Sukan Pasti Kawasan Merbok yang diadakan di Padang Awam Taman Peruda di sini gempar apabila seorang guru Pasti berusia 48 tahun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia. Ustazah Azizah Shaari yang telah berkhidmat di Pasti Pengkalan Iman Merbok sejak lebih 18 tahun menghembuskan nafas terakahir di pangkuan rakan-rakan guru yang membantu Allahyarhamah yang sebelumnya rebah di tepi padang setelah memberi arahan kepada anak-anak muridnya bermain dalam perlawanan bolasepak sempena Sukan Pasti Kawasan Merbok.

Menurut suaminya seorang nalayan di Tanjung Dawai yang ketika kejadian berada di Langkawi atas urusan pembelian bot, Allahyarham isterinya memang mengidapi penyakit paru-paru berair dan lelah. Allahyarham meninggalkan suami dan lima orang anak yang berusia antara 16 dan 28 tahun.

Pemergian beliau diratapi oleh seluruh warga Pasti Merbok yang kini kehilangan antara guru yang paling berpengalaman. Sebelum ini Allahyarham menjadi Pengerusi Majlis Guru Pasti Merbok dan Ahli Jawatankuasa Majlis Guru Pasti Negeri Kedah selama beberapa tahun.

Menurut Pengerusi Pasti Kawasan Merbok, “inilah Tokoh Guru Pasti kami yang berkerja untuk jamaah hingga ke akhir hayat..”.
“Arwah merupakan contoh amilat yang sukar dicari ganti dan beliau pergi ketika sedang berada di medan perjuangan.” Ujar beliau lagi selepas ucapan penutup Sukan Pasti Merbok.

Saturday, May 10, 2008

Sukan PASTI Merbok 2008

SUKAN PASTI KAWASAN MERBOK
17 MEI 2008
9.00 Pagi
Padang Awam Taman Peruda
Sungai Petani, Kedah
Dirasmikan oleh:
YB Dr Hamdan Mohamed Khalib
Exco Belia & Sukan Negeri Kedah

Datanglah beramai-ramai


Friday, May 9, 2008

Kes Murtad

Kalau tak salah dia ni Ahmad Jailani yang pernah dijemput menjadi khatib menyampaikan khutbah jumaat di Masjid Penghulu Him,Sg Petani dan antara yang selalu dijemput menyampaikan ceramah agama di sekitar Sungai Petani. Tentu ramai tertanya-tanya kenapa beliau menjadi pembela Fatimah yang sudah pun dibenarkan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang kembali menganut budha. Kita nak tahu juga apa alasan beliau.

Ibrahim Ali cadang Presiden PAS jadi Perdana Menteri

Dato' Paduka Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dalam ucapan menjunjung Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat mencadangkan agar kerajaan yang mengalami krisis kepimpinan hari ini menukar kepimpinan negara.
"Saya nak cadangkan jika rakyat sokong Yang Amat Berhormat Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya bersungguh.
"Mana tahu berkat doa-doa orang-orang seperti tok guru yang berjuang dan bersih manalah tahu doa mereka ini diterima Allah,"
'Atau dalam masa dua tiga bulan ini pinjamkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ke Putrajaya untuk membersihkan 'tingkat empat' yang menjadi persoalan dalam negara, manalah tahu dengan solat hajat Tok Guru ini boleh membersihkannya," tegasnya.
Beliau berkata, krisis kepimpinan dalam kerajaan dan Umno telah berlaku dan kini rakyat perlu kepada kepimpinan yang berwibawa.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan Dato' Seri Anwar Ibrahim atau sesiapa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi asasnya mereka perlu diterima rakyat, berwibawa dan bersih.
Beliau juga mempersoalkan pelbagai isu yang membabitkan penyelewengan dalam urusan pengagihan kontrak kerajaan, selain rasuah yang berlaku.
Katanya kerajaan sendiri tidak bersungguh dalam membasmi rasuah, katanya.

Thursday, May 8, 2008

Beras Hilang Dalam 'Tali Perut' Umno

Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) ditubuhkan pada 1971 sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Objektif penubuhannya adalah untuk mengekalkan kestabilan dan kesaksamaan harga untuk pesawah dan juga pengguna. Dalam masa yang sama LPN juga ditugaskan untuk menguruskan stok pengimbal bagi menghadapi saat-saat krisis bekalan. Dikatakan semasa hayatnya, LPN berjaya mencapai margin keuntungan 20% dan dalam masa yang sama berjaya mengekalkan kecukupan stok pengimbal. Ia menggunakan keuntungan dari monopoli import beras yang dimilikinya untuk disalurkan sebagai subsidi stok pengimbal yang boleh bertahan antara 3 hingga 6 bulan jumlah keperluan beras domestik. Ketika itu, Malaysia mampu mengeluarkan sehingga melebihi 90% keperluan berasnya. Kini jumlah itu menjunam ke bawah paras 75%. Persoalannya, benarkah ini semua disebabkan oleh fenomena sejagat? Bagaimana pula dengan faktor-faktor dasar dan perlaksanaan? Adakah cerdik pandai dalam rejim Umno tidak dapat menyediakan satu pelan kontijensi untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya krisis bekalan beras global? Tenaga penggerak dan perancang LPN sememangnya diakui mempunyai visi yang gemilang. Tanpa campurtangan politik semasa awal penubuhannya, LPN berjaya menggembirakan semua pihak -pesawah, pengilang mahupun pemborong, harga beras import dikekalkan rendah dan beras tempatan pula dijual pada harga yang terkawal dan mampu dibeli oleh 80% pengguna. Juga diwujudkan 'harga siling' untuk beras dan 'harga lantai' untuk padi yang ditetapkan di bawah peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1973, setiap kali sebelum musim penanaman bermula. Pegawai-pegawai LPN memang faham bahawa beras penting untuk 'perut' rakyat. Bagi rejim Umno pula, keuntungan dan potensi kewangan dari operasi LPN adalah penting untuk 'tali perut' mereka. Ketamakan perasuah-perasuah ini menyebabkan pelbagai campurtangan politik dalam LPN sehingga usaha-usaha murni di awal penubuhannya hilang begitu sahaja. Satu demi satu polisi diperkenalkan dengan tujuan menyalurkan keuntungan dari industri padi dan beras negara ke dalam 'tali perut' perompak-perompak Umno ini. Dasar-dasar inilah yang menyebabkan rakyat terhimpit apabila berlaku krisis bekalan beras global hari ini. Kerajaan Umno yang korup turun-temurun ini telah menghapuskan 'daya tahan' negara untuk berhadapan dengan krisis.Dalam tahun 1970-an, perasuah-perasuah Umno ligat memikirkan bagaimana untuk merompak belanja subsidi padi berjumlah kira-kira RM400juta setahun (kini RM1.5bilion) dan peruntukan RM100juta bagi pembangunan industri padi bagi setiap rancangan 5 tahun (RMK). Dalam keadaan LPN sebagai agensi kerajaan, peluang untuk merompak agak terbatas kerana tertakluk kepada pemantauan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Parlimen. Lagipun perlu dilakukan penyamaran data (disguise) dalam item-item belanjawan negara. Ini membazirkan masa kerana jumlah yang boleh dirompak mungkin tidak melebihi 10% (iaitu hanya RM42juta hasil rompakan setahun). Tiada jalan lain lagi. Apabila ketamakan menguasai diri, LPN dikorporatkan pada 1994 dan kemudiannya diswastakan pada 1996. Turut diwakafkan kepadanya adalah hak tunggal untuk mengimport beras. Dengan cara ini, hasil keuntungan Bernas dari operasinya, dari urusan pembelian padi dari pesawah, dari urusan sebagai orang tengah sebagai pengilang malah keuntungan dari aktiviti pengilangan dapat di'taliperut'kan oleh pemimpin-pemimpin Umno. Apabila Bernas diswastakan, Umno mencanangkan bahawa produktiviti padi dan beras negara akan meningkat mencanak-canak. Dasar ini bagaimanapun menjadi tempang kerana pengenalan kouta dan sekatan jualan (rujuk kisah pesawah di Sekincan) yang diperkenalkan. Kini Malaysia menjadi pengeluar beras yang tidak kompetitif kerana kos pengeluaran melambung tinggi. Jika anda perhatikan di kedai-kedai runcit, harga runcit untuk beras hancur 15% super tempatan telah meningkat harganya melebihi RM1.70/kg berbanding sekitar RM1.07/kg dalam tahun 1996. Kita belum lagi membincangkan di sini kadar harga yang dibayar di luar bandar dan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Mungkin anda akan terperanjat beruk apabila mendapati orang yang lebih miskin dan melarat dari anda membayar sehingga RM3/kg untuk beras gred ini. Dalam masa yang sama, Bernas mengimport beras gred super dari Thailand pada kos RM1/kg dan beras gred super dari Vietnam pada kos 95sen/kg. Beras ini dijual semula pada harga runcit RM3/kg (kawasan bandar). Kegagalan membendung kos pengeluaran beras dalam keadaan kerajaan mendakwa memberi subsidi RM1.5bilion menimbulkan satu persoalan. Kemanakah perginya wang subsidi ini? BPR yang dikuasai oleh Khairy Jamaluddin itu. Mereka boleh memberitahu anda satu-persatu nama perompak-perompak Umno yang telah menyonglap duit rakyat ini. Kegagalan dasar juga menyebabkan jumlah pesawah telah berkurangan dari 300,000 orang dalam tahun 1997 kepada 145,595 dalam tahun 2002. Statistik ini adalah bukti kezaliman besar pemimpin-pemimpin Umno yang telah merompak tanah-tanah sawah dari orang melayu atas alasan pembangunan. Ada yang dirampas menggunakan peruntukan undang-undang, ada melalui penipuan dan ada juga melalui hasutan supaya menjual sawah-sawah kepada tokey-tokey MCA dengan harga rendah. Maka berlambaklah projek-projek perumahan, kilang, pejabat, hotel dan macam-macam bangunan di atas tanah yang pernah diusahakan sebagai sawah padi oleh orang-orang melayu. Apabila Malaysia pada hari ini hanya mampu menyediakan kurang 75% dari keperluan domestiknya, maka pemimpin-pemimpin Umno tidak perlu menuding jari kepada orang lain. Baru-baru ini diumumkan pula peruntukan RM4bilion kononnya untuk tujuan 'food security'. Berdasarkan rekod pemborosan pemimpin-pemimpin Umno sebelum ini yang boleh menghabiskan 80% peruntukan tahunan Parlimen dan Dun dalam masa kurang 3 bulan sebelum PRU12, maka tidak mustahil rekod ini boleh diperbaharui dengan merompak duit RM4 bilion ini dalam masa kurang 6 bulan sebelum AGM Umno Disember ini. Pengilang padi juga telah dirompak Umno melalui Bernas. Bernas membeli padi pada harga 1%-5% lebih tinggi dari harga yang ditawarkan oleh pengilang. Duit subsidi RM1.5bilion itu tadi digunakan untuk tujuan ini. Duit tadi diambil balik dengan menjual balik padi tersebut kepada pengilang melalui orang tengah (yakni umno cawangan). Orang tengah ini pula mengenakan komisyen yang asyik naik sahaja setiap tahun. Nah! Inilah punca kenapa harga beras di Malaysia tidak pernah stabil, setiap tahun mesti naik punya. Teliti semula harga beras pada 1997 dan bandingkannya dengan harganya sekarang. Anda akan dapati harga semua beras pelbagai gred telah naik sehingga melebihi 100%.Dan ini jugalah yang menyebabkan pengilang-pengilang padi melayu gulung tikar. Dari 600 buah kilang dalam tahun 2007, kini hanya tinggal 237 buah kilang dan kebanyakan kilang ini dimiliki oleh kaum bukan melayu, senang cakap 95%. Jumlah pemborong pula merosot dari 1,700 kepada hanya 500 yang masih aktif sehingga April 2008. Bagaimana pula dengan pembukaan pasaran beras negara melalui Afta pada 2010 dan melalui FTA dengan Amerika Syarikat? Bersediakah pesawah kita menghadapi kemungkinan lambakan beras murah dari gred bermutu tinggi yang akan datang dari sana? Bersediakah kita bersaing dengan mereka yang mampu mengeluarkan beras bermutu tinggi hanya dengan kos kira-kira 30sen/kg (3 kali lebih rendah dari Malaysia)? Industri beras mereka bertahan kukuh dan kos efektif kerana dilindungi oleh program subsidi yang efisyen kerana tiada Umno di sana. Kini penyamun-penyamun ini menyuruh kita mengubah cara hidup dalam menghadapi kemungkinan krisis bekalan makanan dunia yang serius. Tetapi harus diingat kita juga mempunyai pilihan untuk mengubah kerajaan yang korup ini. Dengan cara ini sahajalah hasil padi dan beras kita tidak akan hilang lagi di dalam 'tali perut' penyamun-penyamun Umno.

Friday, May 2, 2008

ULAMA' DUNIA vs ULAMA' AKHIRAT

Bahagian: Tiga

Oleh: Ibnu Ibrahim

Ulamak akhirat ialah golongan manusia yang dikasihi dan disayangi oleh Allah s.w.t. dan semua manusia yang beriman. Mereka tidak takut atau gentar kapada sesiapa kecuali kapada Allah Azza Wa Jalla. Di antara sifat-sifat ulamak akhirat ialah:-

1 ) Mementingkan Akhirat

Mereka meyakini bahawa kehidupan akhirat itu lebih penting dan aula dari kehidupan dunia yang bersifat sementara. Dalam kemewahan dunia, mereka mengambil pendekatan sederhana. Mereka tidak mengejar apa-apa pangkat atau kemudahan yang disediakan olih kerajaan. Kerana takutkan Allah, mereka tidak rela amanah mereka denganNya diperkosakan kerana kepentingan duniawi.
Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Surah Ali Imran ayat 199 bermaksud:-
“Mereka khusyuk berkhidmat kepada Allah, tidak menjual ayat-ayatNya dengan harga yang murah”.

Di dalam surah yang sama, Allah berfirman di dalam ayat 110 yang bermaksud:-
“Adalah engkau sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk seluruh manusia, kerana engkau semua memerintah dengan kebaikan dan melarang dari kemungkaran”.

Allah s.w.t. berfirman lagi di dalam Surah Al-Fushilat ayat 30-32 bermaksud:-
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan bahawa Allah adalah Tuhan kita semua, kemudian mereka itu bertindak lurus dan berpendirian teguh, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka dan berkata: ‘Janganlah engkau semua takut dan jangan pula berdukacita dan terimalah berita gembira memperoleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu semua’.
“Kami ( Allah ) menjadi pelindungmu semua dalam kehidupan dunia dan pada hari kemudian. Di situ engkau semua memperoleh apa-apa yang menjadi keinginan hatimu dan di situ pula engkau semua mendapatkan apa saja yang engkau semua minta”.

Dari Abu Said Al-Khudri r.a., katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa di antara engkau semua melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah mengubahnya itu dengan tangannya,(yakni dengan atau kekuasaannya), jika tidak dapat, maka dengan lisannya (berdakwah atau berfatwa), dan jika tidak dapat juga, dengan hatinya (dengan mengingkari serta tidak menyetujui kemungkaran itu). Yang demikian itu (yakni dengan hatinya sahaja) adalah selemah-lemah keimanan. (Riwayat Muslim)

Mengikut kitab Addalilul Falihin (Syarah Bagi Kitab Riyadus Sholihin karangan Imam Nawawi rahimahullah), kemungkaran itu janganlah dibiarkan sahaja merajalela. Penguasa harus diperingatkan supaya menggunakan tangannya (yakni kuasa) agar terhenti kemungkaran itu dengan segera. Bila tidak sanggup, maka dengan lisan, yakni dengan nasihat peringatan atau perkataan yang bersopan-santun, sekalipun ini agak lambat untuk mengubahnya. Tetapi kalau masih juga tidak sanggup, maka cukuplah hati kita tidak terikut-ikut (menyetujui dengan kemungkaran itu dan kerana habuan duniawi, bersekongkol dengan manusia-manusia yang menganjurkan kemungkaran itu) dan menyokong kemungkaran itu. Hanya saja yang terakhir ini adalah suatu tanda bahawa iman kita sangat lemah sekali. Kerana dengan hati itu hanya bermanfaat untuk diri kita sendiri, sedang dengan perbuatan (kuasa pencegahan) atau lisan nasihat dan mengeluarkan fatwa) dapat bermanfaat untuk kita dan masyarakat umum, hingga kemungkaran itu tidak terus menjadi-jadi.


(Bersambung)