Thursday, May 8, 2008

Beras Hilang Dalam 'Tali Perut' Umno

Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) ditubuhkan pada 1971 sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Objektif penubuhannya adalah untuk mengekalkan kestabilan dan kesaksamaan harga untuk pesawah dan juga pengguna. Dalam masa yang sama LPN juga ditugaskan untuk menguruskan stok pengimbal bagi menghadapi saat-saat krisis bekalan. Dikatakan semasa hayatnya, LPN berjaya mencapai margin keuntungan 20% dan dalam masa yang sama berjaya mengekalkan kecukupan stok pengimbal. Ia menggunakan keuntungan dari monopoli import beras yang dimilikinya untuk disalurkan sebagai subsidi stok pengimbal yang boleh bertahan antara 3 hingga 6 bulan jumlah keperluan beras domestik. Ketika itu, Malaysia mampu mengeluarkan sehingga melebihi 90% keperluan berasnya. Kini jumlah itu menjunam ke bawah paras 75%. Persoalannya, benarkah ini semua disebabkan oleh fenomena sejagat? Bagaimana pula dengan faktor-faktor dasar dan perlaksanaan? Adakah cerdik pandai dalam rejim Umno tidak dapat menyediakan satu pelan kontijensi untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya krisis bekalan beras global? Tenaga penggerak dan perancang LPN sememangnya diakui mempunyai visi yang gemilang. Tanpa campurtangan politik semasa awal penubuhannya, LPN berjaya menggembirakan semua pihak -pesawah, pengilang mahupun pemborong, harga beras import dikekalkan rendah dan beras tempatan pula dijual pada harga yang terkawal dan mampu dibeli oleh 80% pengguna. Juga diwujudkan 'harga siling' untuk beras dan 'harga lantai' untuk padi yang ditetapkan di bawah peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1973, setiap kali sebelum musim penanaman bermula. Pegawai-pegawai LPN memang faham bahawa beras penting untuk 'perut' rakyat. Bagi rejim Umno pula, keuntungan dan potensi kewangan dari operasi LPN adalah penting untuk 'tali perut' mereka. Ketamakan perasuah-perasuah ini menyebabkan pelbagai campurtangan politik dalam LPN sehingga usaha-usaha murni di awal penubuhannya hilang begitu sahaja. Satu demi satu polisi diperkenalkan dengan tujuan menyalurkan keuntungan dari industri padi dan beras negara ke dalam 'tali perut' perompak-perompak Umno ini. Dasar-dasar inilah yang menyebabkan rakyat terhimpit apabila berlaku krisis bekalan beras global hari ini. Kerajaan Umno yang korup turun-temurun ini telah menghapuskan 'daya tahan' negara untuk berhadapan dengan krisis.Dalam tahun 1970-an, perasuah-perasuah Umno ligat memikirkan bagaimana untuk merompak belanja subsidi padi berjumlah kira-kira RM400juta setahun (kini RM1.5bilion) dan peruntukan RM100juta bagi pembangunan industri padi bagi setiap rancangan 5 tahun (RMK). Dalam keadaan LPN sebagai agensi kerajaan, peluang untuk merompak agak terbatas kerana tertakluk kepada pemantauan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Parlimen. Lagipun perlu dilakukan penyamaran data (disguise) dalam item-item belanjawan negara. Ini membazirkan masa kerana jumlah yang boleh dirompak mungkin tidak melebihi 10% (iaitu hanya RM42juta hasil rompakan setahun). Tiada jalan lain lagi. Apabila ketamakan menguasai diri, LPN dikorporatkan pada 1994 dan kemudiannya diswastakan pada 1996. Turut diwakafkan kepadanya adalah hak tunggal untuk mengimport beras. Dengan cara ini, hasil keuntungan Bernas dari operasinya, dari urusan pembelian padi dari pesawah, dari urusan sebagai orang tengah sebagai pengilang malah keuntungan dari aktiviti pengilangan dapat di'taliperut'kan oleh pemimpin-pemimpin Umno. Apabila Bernas diswastakan, Umno mencanangkan bahawa produktiviti padi dan beras negara akan meningkat mencanak-canak. Dasar ini bagaimanapun menjadi tempang kerana pengenalan kouta dan sekatan jualan (rujuk kisah pesawah di Sekincan) yang diperkenalkan. Kini Malaysia menjadi pengeluar beras yang tidak kompetitif kerana kos pengeluaran melambung tinggi. Jika anda perhatikan di kedai-kedai runcit, harga runcit untuk beras hancur 15% super tempatan telah meningkat harganya melebihi RM1.70/kg berbanding sekitar RM1.07/kg dalam tahun 1996. Kita belum lagi membincangkan di sini kadar harga yang dibayar di luar bandar dan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Mungkin anda akan terperanjat beruk apabila mendapati orang yang lebih miskin dan melarat dari anda membayar sehingga RM3/kg untuk beras gred ini. Dalam masa yang sama, Bernas mengimport beras gred super dari Thailand pada kos RM1/kg dan beras gred super dari Vietnam pada kos 95sen/kg. Beras ini dijual semula pada harga runcit RM3/kg (kawasan bandar). Kegagalan membendung kos pengeluaran beras dalam keadaan kerajaan mendakwa memberi subsidi RM1.5bilion menimbulkan satu persoalan. Kemanakah perginya wang subsidi ini? BPR yang dikuasai oleh Khairy Jamaluddin itu. Mereka boleh memberitahu anda satu-persatu nama perompak-perompak Umno yang telah menyonglap duit rakyat ini. Kegagalan dasar juga menyebabkan jumlah pesawah telah berkurangan dari 300,000 orang dalam tahun 1997 kepada 145,595 dalam tahun 2002. Statistik ini adalah bukti kezaliman besar pemimpin-pemimpin Umno yang telah merompak tanah-tanah sawah dari orang melayu atas alasan pembangunan. Ada yang dirampas menggunakan peruntukan undang-undang, ada melalui penipuan dan ada juga melalui hasutan supaya menjual sawah-sawah kepada tokey-tokey MCA dengan harga rendah. Maka berlambaklah projek-projek perumahan, kilang, pejabat, hotel dan macam-macam bangunan di atas tanah yang pernah diusahakan sebagai sawah padi oleh orang-orang melayu. Apabila Malaysia pada hari ini hanya mampu menyediakan kurang 75% dari keperluan domestiknya, maka pemimpin-pemimpin Umno tidak perlu menuding jari kepada orang lain. Baru-baru ini diumumkan pula peruntukan RM4bilion kononnya untuk tujuan 'food security'. Berdasarkan rekod pemborosan pemimpin-pemimpin Umno sebelum ini yang boleh menghabiskan 80% peruntukan tahunan Parlimen dan Dun dalam masa kurang 3 bulan sebelum PRU12, maka tidak mustahil rekod ini boleh diperbaharui dengan merompak duit RM4 bilion ini dalam masa kurang 6 bulan sebelum AGM Umno Disember ini. Pengilang padi juga telah dirompak Umno melalui Bernas. Bernas membeli padi pada harga 1%-5% lebih tinggi dari harga yang ditawarkan oleh pengilang. Duit subsidi RM1.5bilion itu tadi digunakan untuk tujuan ini. Duit tadi diambil balik dengan menjual balik padi tersebut kepada pengilang melalui orang tengah (yakni umno cawangan). Orang tengah ini pula mengenakan komisyen yang asyik naik sahaja setiap tahun. Nah! Inilah punca kenapa harga beras di Malaysia tidak pernah stabil, setiap tahun mesti naik punya. Teliti semula harga beras pada 1997 dan bandingkannya dengan harganya sekarang. Anda akan dapati harga semua beras pelbagai gred telah naik sehingga melebihi 100%.Dan ini jugalah yang menyebabkan pengilang-pengilang padi melayu gulung tikar. Dari 600 buah kilang dalam tahun 2007, kini hanya tinggal 237 buah kilang dan kebanyakan kilang ini dimiliki oleh kaum bukan melayu, senang cakap 95%. Jumlah pemborong pula merosot dari 1,700 kepada hanya 500 yang masih aktif sehingga April 2008. Bagaimana pula dengan pembukaan pasaran beras negara melalui Afta pada 2010 dan melalui FTA dengan Amerika Syarikat? Bersediakah pesawah kita menghadapi kemungkinan lambakan beras murah dari gred bermutu tinggi yang akan datang dari sana? Bersediakah kita bersaing dengan mereka yang mampu mengeluarkan beras bermutu tinggi hanya dengan kos kira-kira 30sen/kg (3 kali lebih rendah dari Malaysia)? Industri beras mereka bertahan kukuh dan kos efektif kerana dilindungi oleh program subsidi yang efisyen kerana tiada Umno di sana. Kini penyamun-penyamun ini menyuruh kita mengubah cara hidup dalam menghadapi kemungkinan krisis bekalan makanan dunia yang serius. Tetapi harus diingat kita juga mempunyai pilihan untuk mengubah kerajaan yang korup ini. Dengan cara ini sahajalah hasil padi dan beras kita tidak akan hilang lagi di dalam 'tali perut' penyamun-penyamun Umno.

No comments: