Friday, May 2, 2008

ULAMA' DUNIA vs ULAMA' AKHIRAT

Bahagian: Tiga

Oleh: Ibnu Ibrahim

Ulamak akhirat ialah golongan manusia yang dikasihi dan disayangi oleh Allah s.w.t. dan semua manusia yang beriman. Mereka tidak takut atau gentar kapada sesiapa kecuali kapada Allah Azza Wa Jalla. Di antara sifat-sifat ulamak akhirat ialah:-

1 ) Mementingkan Akhirat

Mereka meyakini bahawa kehidupan akhirat itu lebih penting dan aula dari kehidupan dunia yang bersifat sementara. Dalam kemewahan dunia, mereka mengambil pendekatan sederhana. Mereka tidak mengejar apa-apa pangkat atau kemudahan yang disediakan olih kerajaan. Kerana takutkan Allah, mereka tidak rela amanah mereka denganNya diperkosakan kerana kepentingan duniawi.
Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Surah Ali Imran ayat 199 bermaksud:-
“Mereka khusyuk berkhidmat kepada Allah, tidak menjual ayat-ayatNya dengan harga yang murah”.

Di dalam surah yang sama, Allah berfirman di dalam ayat 110 yang bermaksud:-
“Adalah engkau sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk seluruh manusia, kerana engkau semua memerintah dengan kebaikan dan melarang dari kemungkaran”.

Allah s.w.t. berfirman lagi di dalam Surah Al-Fushilat ayat 30-32 bermaksud:-
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan bahawa Allah adalah Tuhan kita semua, kemudian mereka itu bertindak lurus dan berpendirian teguh, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka dan berkata: ‘Janganlah engkau semua takut dan jangan pula berdukacita dan terimalah berita gembira memperoleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu semua’.
“Kami ( Allah ) menjadi pelindungmu semua dalam kehidupan dunia dan pada hari kemudian. Di situ engkau semua memperoleh apa-apa yang menjadi keinginan hatimu dan di situ pula engkau semua mendapatkan apa saja yang engkau semua minta”.

Dari Abu Said Al-Khudri r.a., katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa di antara engkau semua melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah mengubahnya itu dengan tangannya,(yakni dengan atau kekuasaannya), jika tidak dapat, maka dengan lisannya (berdakwah atau berfatwa), dan jika tidak dapat juga, dengan hatinya (dengan mengingkari serta tidak menyetujui kemungkaran itu). Yang demikian itu (yakni dengan hatinya sahaja) adalah selemah-lemah keimanan. (Riwayat Muslim)

Mengikut kitab Addalilul Falihin (Syarah Bagi Kitab Riyadus Sholihin karangan Imam Nawawi rahimahullah), kemungkaran itu janganlah dibiarkan sahaja merajalela. Penguasa harus diperingatkan supaya menggunakan tangannya (yakni kuasa) agar terhenti kemungkaran itu dengan segera. Bila tidak sanggup, maka dengan lisan, yakni dengan nasihat peringatan atau perkataan yang bersopan-santun, sekalipun ini agak lambat untuk mengubahnya. Tetapi kalau masih juga tidak sanggup, maka cukuplah hati kita tidak terikut-ikut (menyetujui dengan kemungkaran itu dan kerana habuan duniawi, bersekongkol dengan manusia-manusia yang menganjurkan kemungkaran itu) dan menyokong kemungkaran itu. Hanya saja yang terakhir ini adalah suatu tanda bahawa iman kita sangat lemah sekali. Kerana dengan hati itu hanya bermanfaat untuk diri kita sendiri, sedang dengan perbuatan (kuasa pencegahan) atau lisan nasihat dan mengeluarkan fatwa) dapat bermanfaat untuk kita dan masyarakat umum, hingga kemungkaran itu tidak terus menjadi-jadi.


(Bersambung)

No comments: