Sunday, May 18, 2008

Ustazah Azizah Syaari Dalam Kenangan

Lebih 18 tahun mencurah bakti mendidik anak bangsa, ustazah merupakan antara guru yang paling berpengalaman yang mengajar di Pasti Pengkalan Iman, Batu Hampar, Merbok. Dalam usia 48 tahun ketika kebanyakan ibu-ibu lain memulakan tugas baru menjadi pengasuh menjaga cucu, beliau masih bertahan menjadi pendidik walaupun habuan yang diperolehi tidak seberapa.
Guru-guru Pasti yang rata-rata dibayar elaun kurang dari RM400 sebulan dan yang masih dibawah RM250 iaitu dibawah di bawah taraf kemiskinan, mempamerkan satu semangat yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Ketika saya mula menerajui Pasti Kawasan Merbok 3 tahun lalu, beliaulah yang menjadi pakar rujuk dan mentor saya. Bukan saja tunjuk ajar dan teguran sahaja yang saya terima, marah beliau juga terpaksa yang hadapi jika ada kehendak Pasti yang saya cuai. Kak Zah yang saya kenali merupakan seorang yang cukup peramah dan sukar membendung percakapannya.
Pernah sekali saya melawat Pasti ketika beliau melatih pasukan bolasepak untuk ke Sukan Pasti Negeri Kedah, dengan berjubah dan tudung yang labuh itulah mengelilingi padang, berteriak dan bertempik memberi arahan kepada anak-anak muridnya bermain bola.
Dalam rasa kagum itu saya malu sendiri dan cuba turut serta beri sedikit tunjuk ajar kepada pemain-pemain yang akan mewakili Pasti Merbok.
Saya kecewa dan bertambah malu apabila adik-adik itu tidak menghiraukan saya dan akan dengar apa yang guru mereka arahkan saja. Rupanya inilah yang dikatakan guru yang mendapat kepercayaan penuh anak-anak muridnya. Tentu ramai yang pernah merasai apa yang kita beritahu kepada anak-anak di rumah, mereka sukar untuk menerima sekiranya berbeza dari apa yang guru mereka ajar di sekolah.
Pengorbanan Kak Zah dihebatkan lagi dengan bantuan suaminya yang saya panggil Abang Li, seorang yang pendiam dan memiliki sebuah van yang selalu menjadi sasaran. Kerap kali program Pasti, Abang Li tidak akan ketinggalan. Apa tidaknya, semua akan sumbat dalam van miliknya. Walau pun diberi sedikit bayaran yang selalu lewat, Abang Li sanggup tidak ke laut semata-mata nak pastikan Kak Zah boleh hadir program Pasti.
Berita pemergian Kak Zah hanya diumumkan setelah mendapat pengesahan dari Hospital Sultan Abdul Halim yang menyebabkan suasana sukan hening seketika. Guru-guru yang menjadi rakan seperjuangan tidak dapat menahan perasaan sebak dan hiba. Suasana yang sungguh mengharukan itu membuatkan fikiran saya bercelaru sama ada hendak menangguh atau meneruskan acara yang masih banyak.
Saya mengambil keputusan mengarahkan semua pengadil pelawanan mempercepatkan acara yang berlangsung dan masa disingkatkan bagi semua acara lain. Alhamdulillah semua berjalan lancar dan padat. Saya juga terpaksa membatalkan acara guru dan acara untuk para waris untuk menjimatkan masa. Program tamat tepat jam 1.15 tengahari dengan upacara penyampaian hadiah turut diringkaskan.

Terkilan pula saya dihari terakhir Kak Zah bersama Pasti Merbok tak sempat nak menyapanya kerana sibuk mengendalikan program sukan tahunan itu. Selalunya ada saja yang dia akan komplen dan bagitau saya kena buat itu dan ini. Tak tahu la selepas ni dengan siapa pula saya nak mengadu hai.

Selamat tinggal dan terima kasih Kak Zah, hanya Allah saja yang dapat membalas jasa dan budi baik Kak Zah. Semoga Kak Zah akan sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada’ dan orang-orang yang beroleh kemenangan.

AlFatihah

Sorotan peristiwa 17 Mei 2008

9.20 pagi : Kak Zah memimpin kontinjen Pasti Pengkalan Iman menyertai acara perbarisan.
9.40 pagi : Kak Zah berada di tengah padang mengatur strategi pasukannya berentap dalam
perlawanan bolasepak.
9.44 pagi : Kak Zah tiba-tiba rebah ditepi padang dan diusung ke tempat teduh oleh beberapa
orang guru Pasti.
9.50 pagi : Dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani
10.25 pagi : Berita sahih pemergian Allahyarham diterima dari guru-guru yang ikut ke Hospital
12.00 tgh : Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di kampong Tempoyak, Merbok
3.00 ptg : Abang Li baru tiba dari Langkawi
6.00 ptg : Jenazah disembahyangkan di Masjig Kampung Tempoyak.
6.10 ptg : Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan disisi pusara Arwah Ibunya

(penulis merupakan Pengerusi Jabatan PASTI Kawasan Merbok)





Pengarah Pasti Negeri Kedah
Ustaz Azam Samat ketika
Menziarahi rumah arwah

No comments: