Saturday, June 7, 2008

Forum Rakyat

SUNGAI LALANG, 7 Jun – Kerajaan Negeri Kedah sedang menyemak kedudukan bangunan-bangunan dewan orang ramai yang digunamilik oleh sebuah parti politik dan akan mengembalikannya untuk kegunaan aktiviti orang ramai jika terbukti ia milik Kerajaan Negeri.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, YB Tuan Haji Mohamed Taulan Mat Rasul sebagai menjawab pertanyaan hadirin pada majlis Forum Rakyat di Taman Bandar Baru, di sini semalam.

Menurutnya, semakan sedang dibuat dengan Pejabat-pejabat Daerah untuk mengenalpasti pemilik sebenar bangunan berkenaan.

“Jika tanah kerajaan, maka automatik ia menjadi milik kerajaan. Kita akan ambil balik agar rakyat boleh guna untuk bermesyuarat, untuk berkenduri dan boleh guna untuk apa sahaja yang dibenarkan,” maklumnya.

Sementara itu, menjawab soalan berhubung tindakan pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani yang mengenakan notis berhubung kesalahan letak kereta, beliau menjelaskan peraturan tersebut dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, Kerajaan Negeri telah meneliti perkara tersebut dan telah menasihatkan para penguatkuasa agar menjalankan tugas mengikut undang-undang.

“Jangan bebankan rakyat, beri mereka peluang berunding, gunakan budi bicara, jangan gunakan kekerasan,” ujarnya memberikan peringatan disebalik penguatkuasaan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Koperasi, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri, YB Encik Arumugam Vengatarakoo yang turut hadir sebagai panel pada majlis tersebut ketika menjawab persoalan berhubung penggunaan kawasan berhampiran menara Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tujuan lembu meragut rumput menjelaskan bahawa perkara itu mestilah mendapat kebenaran pihak TNB.

Pun begitu, beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau menjelaskan, penggunaan kawasan berkenaan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan antaranya zon jarak aktiviti dan larangan mendirikan sebarang bentuk struktur binaan.

1 comment:

Anonymous said...

53909.....39025