Sunday, June 1, 2008

GELORA SIASAH MALAYSIA

Seluruh dunia menyaksikan Malaysia yang pernah dianggap antara negara contoh majoriti Muslim kini berada dalam gelora siasahnya. Ini berikutan suasana permusuhan antara mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah 22 tahun menjadi penguasa dan memerintah dengan penggantinya yang baru lebih empat tahun berkuasa, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jika disusur, ia bermula tiga tahun lalu selepas Datuk Seri Abdullah menggugurkan pelbagai projek besar pendahulunya untuk memberikan penekanan kepada pembangunan kawasan luar bandar.
Menurut para pengamat, kelembapan pada pemerintahan Datuk Seri Abdullah dan kritikan pedas daripada Dr Mahathir telah menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) yang memerintah dan parti Umno selaku tunjangnya dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Buat pertama kali dalam sejarah perikatan, BN hanya memerintah dengan majoriti mudah. Sebaliknya, pembangkang Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan timbalan perdana menteri yang disingkirkan oleh Dr Mahathir, kian teguh kedudukannya.

Strategi Dr Mahathir untuk keluar daripada Umno dan menggesa para anggota parlimen Umno berbuat serupa mengeruhkan lagi keadaan. Langkah ini sekali gus memang boleh menjejas kewibawaan Datuk Seri Abdullah untuk memerintah.
Isyarat berkecamuk Umno tentu menjejas perpaduan antara parti-parti komponen berbilang kaum dalam BN walaupun setakat ini, ikrar setia diberikan oleh majoriti pemimpin dan ahli Umno kepada Datuk Abdullah. Dikhuatiri jika kekeruhan ini tidak dibendung, sukar bagi Umno mengadakan perhimpunan agung yang mulus bagi pemilihan pucuk pimpinannya pada hujung tahun ini.

Kini timbul gesaan agar Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam mewujudkan semacam gencatan antara Dr Mahathir dan Datuk Abdullah. Hakikatnya, Datuk Abdullah lebih banyak berdiam dan menyerahkan bidasan oleh para menterinya, termasuk timbalannya Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Rentetan peristiwa termasuk siasatan ke atas video peguam terkenal, V.K. Lingam, kian menuding ke arah Dr Mahathir. Bahkan, dikatakan banyak kesilapan di sebalik kemajuan era Dr Mahathir yang boleh disiasat dan ini boleh dijadikan alat untuk meminggirkannya. Potensi Malaysia pasti terjejas oleh ketidaktentuan suasana siasah. Ia akan mencemaskan para pelabur dan mengelirukan rakyat. Oleh itu, Datuk Abdullah dan pasukannya perlu bijaksana dalam membetulkan keadaan dengan segera.

Sumbangan : AF

No comments: