Thursday, May 29, 2008

IKTIBAR DARIPADA PULAU BATU PUTIH (PEDRA BRANCA) DARI PERSPEKTIF SINGAPURA

Semangat dua negara, Malaysia dan Singapura, bagi penyelesaian isu pemilikan pulau kecil yang menampung rumah api, Pedra Branca atau Batu Putih, menampilkan rumusan huraian penting. Penyelesaiannya menamatkan tengkarah yang telah berpanjangan selama 28 tahun dan kerap menegangkan hubungan. Isu ini merupakan antara sekelumit perkara yang masih tersangkak antara dua negara sejak kemerdekaan Singapura ekoran perpisahan daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Namun dengan mengambil pendekatan pragmatik antara perdana menteri Malaysia dan Singapura lebih sedekad lalu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Goh Chok Tong - mendapatkan budi bicara kearifan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) - isu ini telah dapat diselesaikan. Dan rakyat Singapura seluruhnya gembira dengan keputusan yang telah dibuat dalam penghakiman ICJ.

Dengan 12 daripada 16 hakim ICJ menyebelahi hujah Singapura, ternyata kes tuntutan republik ini cukup jelas. Walaupun Middle Rocks diserahkan kepada Malaysia, ICJ kurang jelas dalam menentukan kedudukan South Ledge. Oleh itu, dua negara perlu terus berunding untuk menentukan sempadan milik masing-masing. Tampaknya, suasana di Malaysia dan Singapura tetap muhibah kerana ada lebih banyak kepentingan bersama yang lebih besar perlu dijayakan.

Sebelum ini, pendekatan yang sama telah digunakan untuk menyelesaikan isu tuntutan Malaysia dan Indonesia terhadap dua pulau di timur Sabah iaitu Sipadan dan Ligatan, yang menyebelahi Malaysia. Kedua-dua kes ini boleh dijadikan iktibar oleh negara-negara Asean dalam mengatasi tuntutan pulau seperti di gugusan Paracel dan Spratly. Namun bagi Singapura dan Malaysia khususnya, isu yang masih belum beres seperti soal harga dan bekalan air serta tanah Kereta Api Tanah Melayu, tentulah dapat dihuraikan dengan mengambil iktibar terbaru ini.

Dengan bersikap objektif dan budiman, pucuk pimpinan dan rakyat dua negara dapat bergerak maju untuk meneroka kerjasama yang lebih luas tanpa dirantai oleh bebanan sejarah. Namun, perlu diakui bahawa bukan mudah untuk mengawal emosi apabila isu dua negara dijadikan bahan politik. Penglibatan Singapura secara khusus dalam Iskandar Malaysia di Johor, misalnya, telah ditengkarahkan - kononnya warga Singapura akan mengaup hartanah dan meraih keuntungan besar sehingga meminggirkan rakyat Johor sendiri. Apa yang perlu ditekankan ialah selagi ada perundangan dan mekanisme yang telus serta pelaksanaan tegas, soal kerjasama dua negara tidak perlu diragukan. Yang utama, suasana sama untung perlu dijayakan atas dasar keyakinan demi jangka panjang.
BAGAIMANA SINGAPURA MEMBUKTIKAN PEMILIKAN:

- Dalam 1847, kerajaan Britain di Singapura memutuskan untuk membina rumah api di Pulau Batu Putih (Pedra Branca). Sewaktu meletakkan batu asas di Rumah Api Horsburgh dalam 1851, pulau itu digambarkan sebagai 'bergantung kepada Singapura'.

- Dalam 1952 dan sekali lagi dalam 1974, Ketua Juruukur dan Jabatan Marin Singapura menulis bahawa Singapura berhak ke atas pemilikan laut di sekitar Pulau Batu Putih (Pedra Branca).

- Pada awal 1970-an, Pemerintah Singapura menimbangkan untuk menambak tanah sekitar Pulau Batu Putih (Pedra Branca). Ia juga mengeluarkan tender awam bagi kerja-kerja sedemikian dalam 1978.
- Malaysia tidak memberi respons terhadap langkah-langkah Singapura itu

BAGAIMANA MALAYSIA MELUCUTKAN PEMILIKAN:

- Dalam 1953, hasil respons kepada pertanyaan dari Singapura, kerajaan Johor menyatakan dalam sepucuk surat bahawa 'kerajaan Johor tidak menuntut pemilikan Pulau Batu Putih (Pedra Branca)'.

- Dalam 1962, Persekutuan Malaysia menerbitkan dua peta rasmi yang menganggap Pulau Batu Putih (Pedra Branca) milik Singapura.

- Dalam 1965 dan 1975, Malaysia sekali lagi menerbitkan peta menunjukkan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) sebagai milik Singapura.

Sumber: AF

1 comment:

Anonymous said...

Good Day every body, fine board I have found It very helpful & its helped me out tons
I hope to contribute and support other users like this message board has helped me

_________________
[url=http://iphoneusers.com]unlock iphone[/url]