Thursday, June 5, 2008

Jejak sejahtera rakyat Darul Aman (Siri 1)

oleh : Ibnubakrin

'KEDAH SEJAHTERA NIKMAT UNTUK SEMUA' sudah menghampiri keseratus hari slogan ini menjadi moto baru pemerintahan di negeri tertua yang terletak di utara semenanjung Malaysia.
Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata bagaimana rasa tergamam; teruja; tangisan; laungan; rintihan dan seumpamanya yang lahir daripada perasaan bercampur baur.
Apa tidaknya, sudah lebih 50 tahun Umno-BN menguasai kerajaan negeri yang melahirkan ramai tokoh dan pemimpin yang bukan saja masyhur di dalam negara malah hampir seantero dunia, tetapi akhirnya tumbang di tangan parti-parti Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS.
Terleburlah kurafat yang menyatakan hanya Umno-BN saja yang menjadi keyakinan rakyat dan mampu memerintah. Sejarah bertinta emas tercatat di dalam kamus pejuangan para pencinta kebenaran dan keadilan yang menggerakkan kuasa rakyat untuk membela hak yang telah lama dicabuli oleh rejim Umno-BN.
Pilihan raya ke-12 (PRU-12) menceritakan segala-galanya bagaimana rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama telah bersatu hati; bergandingan tangan; bersama-sama bekerja hanya untuk satu matlamat. Tiada lagi rasa perkauman yang membatasi.
Pertama kali dapat dilihat pemuda-pemuda India dan Tionghua memakai t-shirt dan mengibar bendera hijau putih yang berlambangkan bulan purnama. Bergotong?royong bersama kaum melayu membina pondok panas Pakatan Rakyat.
Juga dapat dilihat perayu?perayu undi yang terdiri daripada kaum India dan Cina sambil memegang payung hijau putih berlambangkan bulan ke hulu?hilir merayu undi.
Ternyata, masyarakat majmuk dan semangat perkauman yang selama ini menjadi momokan dan senjata ampuh Umno-BN untuk menipu rakyat serta mengaburi kepincangan mereka, telah memakan diri.
Manakan tidak sehingga Ketua Pemuda Umno Malaysia terpaksa memohon maaf yang tiada salahnya hanya kerana menjulang keris bogel di dalam majlis orang Melayu di mana keris merupakan lambang bangsa Melayu. Hanya pengertian yang perlu dijelaskan bukannya persepsi yang dilayan. Bagaikan baru terjaga dari tidur selepas terjatuh dari katil yang empuk lalu melatah membogelkan diri.
Rakyat sudah tidak mudah untuk dibodohkan apatah lagi ditakut-takutkan. Kejahilan dan kezaliman tidak selama-lamanya dapat dipertahankan, kebenaran dan keadilan pasti menjelma menumpaskan kebatilan.
Tsunami politik yang tercipta hasil dari ledakan PRU-12, telah merubah lanskap politik negara dan melangkah ke era baru yang lebih mencabar serta menagih kedewasaan untuk melayari 'Bahtera Merdeka' yang hampir karam dinakhodai oleh Umno-BN.
Kerajaan pakatan rakyat di negeri Kedah merupakan yang paling awal membentuk kerajaan selepas PRU-12 yang lalu. Proses pembentukan yang lancar didukungi oleh hubungan baik di antara pihak Istana Kedah dengan pimpinan PAS Kedah yang telah terbina sekian lama semenjak Almarhum Al Fadhil Ustaz Dato' Fadhil Mohd. Nor menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah merangkap Ketua Pembangkang di DUN Kedah.

Sejarah juga tercatat apabila Almarhum menjadi Ketua Pembangkang yang pertama di Malaysia yang menerima anugerah darjah kebesaran Ke bawah Duli Tuanku Sultan Kedah yang membawa gelaran Dato'.Tidak cukup dengan itu, Kebawah Duli Tuanku turut mencemar duli menziarahi jenazah Almarhum selepas beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Al-Fatihah.
Sementara itu, hubungan akrab yang telah sedia terjalin diteruskan oleh Ustaz Azizan Abdul Razak setelah menerima amanah sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah yang dititipkan oleh Almarhum. Menyakini akan kemampuan yang dimiliki oleh Ustaz Azizan, almarhum juga turut menyerah tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang di DUN Kedah ketika majoriti 2/3 kerajaan pimpinan Umno-BN dinafikan dalam PRU-10.
PRU-11 merupakan ujian pertama yang dihadapi oleh Ustaz Azizan, beliau memimpin PAS Kedah mengharungi satu pilihan raya yang diakui oleh ramai pihak sebagai pilihan raya yang paling kotor dalam sejarah demokrasi di Malaysia. Kemenangan besar Umno-BN telah benar-benar mencabar kepimpinan Ustaz Azizan, banyak pihak menudingkan kesalahan kepada kepimpinan beliau.
Namun beliau kekal tabah dan terus memimpin PAS Kedah dalam penuh kepayahan akibat kelesuan dek kekalahan yang mengejutkan tatkala gerak kerja parti mensasar untuk menawan Kedah dengan tema semangat 'PAS Tawan Kedah'.
Suara-suara sumbang semakin jelas kedengaran meminta beliau mengundurkan diri sehingga mencetus beberapa insiden yang kurang menyenangkan namun semuanya dapat di atasi dengan penuh kesabaran.
Ketegasan beliau dalam memimpin turut dimanipulasi oleh segelintir pihak yang ingin menangguk di 'air yang keruh'. Pihak ini jugak yang paling awal mendekati dan merengek apabila beliau bergelar Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Kononnya menawarkan bantuan untuk mengukuhkan kerajaan dan parti. Maka belambaklah 'proposal' dan 'resume' yang diajukan namun senyuman dan kemesraan jua yang beliau hidangkan walaupun sudah beberapa kali beliau ditikam dari belakang oleh golongan oputunis ini. Pepatah Melayu menyatakan 'Hanya jauhari yang mengenal manikam'.
Di sebalik sikap beliau yang tegas dan garang, terselit sifat tawaduk dan terbuka. Sedia menerima saranan dan pandangan dari sesiapa saja asalkan berfakta. Namun sifat beliau yang suka berhujah bertujuan untuk menerbitkan fakta apabila ada pandangan atau saranan, sering disalah mengertikan. Penguasaan berbagai cabang ilmu ditambah pengalaman diperingkat nasional dan antarabangsa, telah memberi kelebihan kepada ketrampilan kepimpinan beliau sama ada sebagai Pesuruhjaya PAS maupun Ketua Pembangkang di DUN Kedah.
Dengan kehendak Allah S.W.T dan 'kuasa rakyat', PRU12 telah membuktikan segalanya.
'Tahaluf Siasi' yang dibentuk dengan Parti Keadilan Rakyat telah dipelopori dengan jayanya tanpa ketegangan yang memuncak. Strategi 'low profile' yang dirancang benar-benar membuahkan hasil setelah belajar dari kekalahan pada PRU11.
Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Kedah dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai kurang menyerlah berbanding tiga lagi negeri-negeri yang turut dikuasai oleh Pakatan Rakyat.Tiada kejutan atau propaganda yang dicetuskan; tiada erti pembalasan atau 'dendam kesumat' yang dilancarkan. Hanya pada awalnya, beberapa insiden kecil dicetuskan untuk mensabotaj kerajaan baru namun ianya dapat ditangani dengan penuh kebijaksanaan.
Tiada serangan-serangan yang boleh dikategorikan heavyweight dihalakan oleh Umno /BN terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah.

Di Selangor, Pulau Pinang dan Perak berbagai serangan yang berpelurukan perkauman dan kedaulatan raja-raja dihalakan bertubi-tubi kepada kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat. Pelik! Tapi itulah hakikatnya. Namun semua ini tidak melekakan kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat.
Pelbagai pendekatan awal yang mengambarkan sikap dan akhlak memimpin bercorak mesra rakyat dan berhemah ditonjolkan. Tiada apa-apa yang drastik atau tindakan bersifat politik kepartian dilaksanakan. Tujuan hanya satu, sebagai 'duta menyelamat' hak rakyat dan menyemai suasana berkasih sayang.
Hari-hari awal menerima kemenangan landaan tsunami itu, Ustaz Azizan membayangkan kaedah asas yang akan beliau gunakan untuk memimpin kerajaan baru dengan berpandukan sirah 'Fathul Makkah' oleh Rasulullah S.A.W.
Beliau berhasrat untuk menggunakan kuasa yang diamanahkan Allah SWT ini untuk meneruskan usaha dakwah mengajak sama ada masyarakat Islam mahu pun bukan Islam khususnya di Kedah memahami akan rahmat serta keindahan Islam dan bersama-sama menikmati kesejahteraan yang dijanjikan.
Beliau turut mendambakan agar ahli atau penyokong tegar Umno/BN akan beralih arah menyokong kerajaan baru yang dipimpin oleh PAS dalam PRU-13 yang akan datang dan seterusnya.
Krisis makanan yang melanda negara sebaik saja selesai PRU-12, benar-benar memberi kelebihan kepada kerajaan pakatan rakyat di negeri Kedah. Antara isu utama yang diperjuangkan oleh PAS Kedah samada sebelum atau semasa PRU-12, ialah Zon Industri Petroleum Yan ( ZIPY ) yang akan mengorbankan sebahagian besar kawasan sawah padi yang paling subur di Negeri Jelapang Padi, penyumbang utama bekalan beras negara.
'Food security' negara perlu dipertahan malah diperkukuhkan, bukan dirobek atas nama pembangunan sehingga meletak masa depan negara dan rakyat keseluruhan dihimpit oleh bahaya kebuluran.
Tindakan segera telah diambil dengan cadangan memindahkan projek tersebut ke lokasi yang lain sebaik sahaja kerajaan baru dibentuk.Walaupun pada awalnya kerajaan mencadangkan dipindahkan ke kawasan perindutrian berat di Gurun namun setelah rundingan diadakan bersama pelabur?pelabur, ZIPY dipindahkan ke pesisiran laut Yan. Natijahnya, jumlah pelaburan pada mulanya berada sekitar RM50 bilion telah meningkat kepada lebih RM80 bilion.
`Tuah ayam nampak dikaki tuah rakyat Kedah siapa yang tahu`.
Sektor sukan dan pelancongan juga dilihat sebagai sektor penting yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Kedah. Langkawi GeoPark yang telah dikenali sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia yang turut menjadi tumpuan penganjuran acara-acara sukan yang berprestij tinggi memainkan peranan utama sebagai pemangkin.
Pelancong Timur Tengah umumnya telah mendominasi jumlah pelancong yang menjadikan Langkawi sebagai pilihan percutian yang popular. Seterusnya membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baru khususnya kepada lepasan-lepasan pusat pengajian Islam yang semamang bersepah di negeri Kedah. Kolej Universiti Insaniah milik Kerajaan Negeri juga telah merancang untuk mengujudkan Fakulti Pelancongan di kampus barunya nanti.
Namun tumpuan tidak hanya berpusat di Langkawi sahaja, pusat-pusat atau produk-produk pelancongan yang lama dan baru di tanah besar semestinya turut dimajukan kerana terdapat banyak lokasi yang amat berpotensi besar terutamanya Gunung Jerai. Kedudukan negeri yang bersempadan dengan Thailand wajar dimanfaat semaksima mungkin sebagai pintu masuk utama pelancong-pelancong asing.

Ironinya sikap yang diperlihatkan oleh dua orang menteri dan kerajaan Umno-BN yang mengambil langkah ke belakang dengan beberapa tindakan?tindakan berciri diskriminasi terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat. Tindakan politik sempit yang tidak bertamadun inilah yang akan menjadi 'barah' negara yang akan merugikan rakyat keseluruhannya. Sebijaknya, selepas negara dilanda 'tsunami' politik dalam PRU yang lepas mampu menyentak lamunan panjang pemuka Umno-BN, hakikatnya tidak. Mereka masih terus dibuai kemasyhuran dan mabuk kekuasaan. Mereka hanya akan tersedar apabila mereka sudah tidak miliki apa-apa lagi.

No comments: