Thursday, June 19, 2008

Jejak Sejahtera Rakyat Darul Aman – siri 2


Oleh : Ibnu Bakrin

Riuh – rendah seluruh negara memperkatakan tentang 100 hari, yang tiba-tiba menjadi begitu penting dan istemewa.Ya..!, tetapi hanya sebagai mekanisma pengukur pencapaian maupun kelemahan untuk dinilai dan diguna-pakai walaupun tiada asas yang kukuh untuk diyakini.

Dalam kontek politik, penafsiran harus bergantung kepada suasana dan amalan setempat.Latar belakang dan dasar yang diperjuangkan oleh pengamal politik yang berkuasa merupakan faktor yang mempengaruhi. Adalah tidak tepat sekiranya prestasi yang diukur, dinilai secara objektif dan `stereo-type`. Persepsi atau fakta perlu dilihat dan berperanan didalam ruang lingkup yang berbeza.

Kerajaan baru di Kedah dikatakan yang paling tercorot pencapaian diantara 4 negeri yang bertukar peneraju pentadbiran kerajaan selepas PRU12.Mungkin benar tapi adakah bertepatan? Secara persepsi yang dipropagandakan ianya berkemungkinan!, sebab secara umumnya; `Politic is all about propagations, speculations and perceptions`.

Akan tetapi persepsi mesti bersandarkan kepada dasar; pendekatan; halatuju dan matlamat yang disasarkan oleh peneraju sesebuah kerajaan itu. Tidak bijak kiranya persepsi hanya disandarkan kepada kaca mata atau citarasa tertentu sahaja.

YAB Ust.Azizan telah menyatakan dihari-hari awal beliau mengambilalih pentadbiran kerajaan bahawa bukan penonjolan yang bersifat retorika atau populariti yang diingini.Berpaksi kepada dasar politik Islam yang diperjuangkan, pendekatan atau kaedah mesti berteraskan prinsip dan tatacara yang berpandukan hukum-hakam dan kehendak Islam yang menjanjikan kesejahteraan kepada semua makhluk yang menghuni di bumi Kedah secara khususnya. Ianya dijelaskan dengan pendirian, jangan sampai amanah yang diberikan kepada beliau menjadi `vehical` untuk membawanya ke neraka.Na`uzubillahiminzalik.

Beliau tidak membatasi pertimbangan dan tindakan beliau berdasarkan kehendak politik semata.Hak dan kebajikan rakyat secara jangka panjang lebih diutamakan.Ketenteraman dan keutuhan masyarakat yang menyumbang ke arah jaminan kemakmuran serta kesejahteraan negeri lebih penting berbanding sentimen politik kepartian.Kelestarian dasar perjuangan politik yang diperjuangkan akan di persembahkan kepada rakyat secara realiti dan dapat dirasai secara terus oleh setiap warga.

Secara umumnya tidak dinafikan, survival politik kepartian turut menjadi agenda untuk di tonjolkan tetapi pelaksanaannya mestilah berhemah dan bertanggungjawab bukan sekadar gimik atau gula-gula getah yang semakin lama dikunyah semakin tawar dan bersisa serta melecehkan.

Sebenarnya telah banyak tindakan yang positif dan beretika dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah. Cumanya ianya kurang diberikan liputan yang oleh media-media arus perdana dan sebahagian daripadanya tidak dihebohkan serta bersifat dalaman.Bersesuaian dengan polisi pentadbiran yang bersifat mesra rakyat dan berhemah dengan tidak menimbulkan sebarang keresahan atau mencetuskan sesuatu yang sensasi bagi memudahkan proses perubahan yang dirancang serta dilaksanakan tanpa banyak masalah remeh atau kerenah yang berpunca daripada sentimen yang tidak proaktif dan produktif.

Sebarang perubahan yang hendak dilakukan semestinya bertujuan untuk kebaikan negeri dan rakyat, oleh itu tidak wajar kiranya dibebankan dengan perkara- perkara yang bersifat kepentingan politik kepartian atau kelompok tertentu dan tertumpu pada skala jangka pendek.Perubahan harus tertumpu untuk penambah-baikan samada melalui proses pemulihan atau pembaharuan berlandaskan penilaian semula serta mengujud dan mempelbagaikan kaedah-kaedah yang lebih bersifat jangka panjang yang menyumbang manfaat secara terus kepada kesejahteraan negeri serta rakyat dipelbagai peringkat dan taraf hidup.

Dalam senario demokrasi yang diamalkan di Malaysia hari ini, tindakan – tindakan yang bersifat sensasi hampir tidak mungkin untuk dielakkan.Namun, apa yang menjadi fokus ialah memaksimakan kesan baik yang bakal diraih bukan `back fire` yang merimas dan menyesakkan nafas setiap warga yang bermastautin dibumi berrtuah ini.

Jika ukuran 100 hari masih ingin dijadikan kayu pengukur, kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah telah mengambil beberapa tindakan yang tidak kurang sensasi antaranya, memindahkan Zon Industri Petrolium Yan yang sebelumnya dicadangkan di kawasan yang mengorban sebahagian sawah padi ke pesisiran laut, terbukti membawa pulangan yang bukan sedikit berikutan peningkatan pelaburan sehingga lebih 50% dari pelaburan asal disamping kawasan sawah padi dapat diselamatkan disaat negara dilanda krisis makanan; penakrifan baru cukai tanah juga memberi kesan kesan secara langsung kepada kesejahteraan rakyat pelbagai peringkat; polisi memansuhkan kaedah runding-terus pengeluaran hasil balak kepada kaedah tender terbuka memperlihatkan pertanggungjawaban pentadbiran yang cekap dan bijak.

Terbaru YAB Ustaz Azizan mengumumkan langkah untuk membela hak rakyat Kedah yang cabuli dan menentang tindakan diskriminasi oleh kerajaan persekutuan yang enggan memberi pampasan kepada kerajaan negeri berikutan larangan pembalakan dikawasan tadahan hujan.

100 hari bukanlah ukuran yang menjadi keutamaan atau memberi kesan mengujakan kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah. Kesejahteraan negeri dan rakyat yang hakiki adalah agenda yang diberi tumpuan.

Berakit – rakit kehulu, berenang – renang ketepian;
Bersakit - sakit dahulu, bersenang - senang kemudian.

No comments: