Wednesday, June 25, 2008

Jejak Sejahtera Rakyat Darul Aman – ( Siri 3)

oleh: ibnubakrin

“Orang Berbudi Kita Berbahasa” Ungkapan yang sudah tidak asing lagi
bagi rakyat Malaysia, terutamanya kaum Melayu begitu juga kaum-kaum lain.Malah ianya sudah sebati sebagai akar tunjang budaya bangsa yang terkenal dengan kesantunan serta kesopanan dan dikagumi seantero dunia.

Nilai budaya amalan yang mulia ini sememangnya selari dengan kehendak Islam yang mendasari hala-tuju dan perjuangan PAS, parti yang menerajui Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah.Pendekatan yang diasaskan dari semangat budaya ini dijadikan landasan dan diterapkan semasa mengendali proses pengambilalihan pentadbiran dari tangan Umno-BN selepas menerima mandat dari pengundi pada 8 March yang lalu.

Dalam kontek demokrasi yang menjadi amalan di Malaysia, sangkaan popular dikalangan orang ramai ialah pasti akan berlaku ketegangan dan pemangsaan apabila peralihan kuasa politik berlaku.Satu kejutan setelah sebaliknya yang berlaku di negeri Kedah. Kebijaksanaan dan nilai etika tinggi yang dipamerkan amat disenangi dan disyukuri oleh warga Kedah keseluruhannya.

Dalam ucapan sulong YAB Ustaz Azizan Abdul Razak dimajlis ramah-mesra bersama kakitangan awam negeri `Kedah Civil Servant` (KCS), dengan jelas menyatakan bahawa beliau akan menghormati hak-hak semua rakyat yang dijamin oleh perlembagaan negara.Beliau tidak akan menghalang mereka daripada menyokong mana-mana ideologi politik; cuma mereka mesti bertanggungjawab dan menjaga tahap profeisionalisma semasa menjalankan tugas-tugas rasmi kerajaan negeri.Mereka bukan bekerja untuk mana-mana parti politik atau individu tertentu tetapi bekerja untuk rakyat negeri Kedah.

Rakyat Kedah a.k.a `Boss` telah `bersuara` dalam proses demokrasi yang berlangsung tanggal 8 March 2008 yang lalu, maka adalah menjadi tanggungjawab semua memikul amanah awam untuk menerima; menghormati dan mematuhinya. Ust.Azizan telah dimandatkan sebagai `Panglima` bersama barisan jeneral-jeneral nya untuk menetapkan polisi; mengatur strategi dan mengemudi jentera kerajaan negeri untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan negeri, semestinya mendapat kerjasama penuh; tanpa berbelah-bagi daripada semua kakitangan dipelbagai peringkat.

Mereka sewajarnya menyedari akan keperluan untuk tidak bertindak atau bersikap secara kontradik dengan polisi; hasrat dan kehendak pentadbiran baru khasnya dan rakyat keseluruhannya.Ini tidak bermakna mereka harus menjadi `robot`, boleh saja menegur; memberi pandangan; cadangan atau maklumbalas yang perlu tetapi mestilah dengan cara dan saluran yang betul; tepat dan dibenarkan.Bukannya dikedai-kedai kopi; ditepi-tepi jalan; kantin atau mengkritik dengan tidak membina apatah lagi yang berciri khianat dan sabotaj.

Kerahsian merupakan sesuatu yang paling utama untuk dipelihara; tiada kompromi berhubung perkara ini. Sebarang tindakan yang mengabaikan kerahsian, disifatkan sebagai paling tidak bermaruah, lebih hina jika dibandingkan dengan `anjing kurap`.Apatah lagi ianya dilakukan dengan memperdagangkan kepentingan dan keselamatan rakyat dan negeri.Bukan saja bersalah dan berdosa dengan pimpinan; rakyat dan Kebawah Duli Sultan tetapi menuntut pertanggungjawaban dihadapan Allah SWT di padang Mahsyar nanti.Secara moral, layak untuk digelar pengkhianat; pelaku maksiat; pelacur moral; pencabul atau seumpamanya.

Pun begitu tidak dinafikan, terdapat segelintir KCS yang mungkin `sakit jiwa` nya masih tidak mengerti malah mengambil kesempatan daripada pendekatan yang lunak ini. Mereka tanpa rasa bersalah telah bertindak diluar norma-norma kemanusian dan kesusilaan.Tanpa segan-silu malah bagaikan berbangga mempamerkan pertentangan persis `Mandaliar`. Samada menyedari atau tidak bahawa mereka telah menitiskan `racun` ke dalam periuk `sup` yang dihidangkan kepada anak-bini mereka.

Mereka perlu sedar, `air yang tenang jangan disangka tiada buaya`.Akan sampai ketikanya perbuatan mereka pasti akan menemui akibat.Malang, jika beranggapan orang disekililing tiada mata dan telinga atau tidak bermaruah dan rela dikembiri serta ditungangi seperti mereka. Jangan sampai menyesal dikemudian hari setelah terjerat; kemudian mendakwa mereka telah dianiaya.

No comments: