Thursday, June 12, 2008

Pendekatan Kerajaan Negeri Kedah Tangani Krisis Minyak


ALOR STAR, 12 Mei - Kerajaan Negeri Kedah mendahului keprihatinannya kepada kakitangan awam negeri dan rakyat negeri ini dengan mengambil langkah segera dalam menangani kesan kenaikan harga minyak yang melanda sekarang ini.
Dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat mingguan exco semalam di Wisma Darul Aman, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak menegaskan penguatkuasaan serta-merta kepada langkah yang diumumkan itu.
"Memandangkan kos pengangkutan yang sangat tinggi disebabkan kenaikan harga minyak, melibatkan kakitangan yang berulang dan kadang-kadang itu kedua-dua berkerja.
"Suami dok di Alor Star, isteri dok di Sungai Petani, nak berulang alik jauh. Jadi kita menawarkan kepada kakitangan negeri, mereka boleh memohon bertukar suka sama suka," ujar beliau.
Beliau memberikan contoh, kakitangan yang bekerja di Alor Star dan tinggal di Sungai Petani boleh bertukar dengan kakitangan yang bekerja di Sungai Petani tetapi tinggal di Alor Star.
"Ini supaya mereka dapat atasi kos pengangkutan sebaik mungkin," harapnya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan belanja berhemah dengan meminta pembekuan pada belanjawan yang telah diluluskan kecuali jika menyebabkan kesan negatif kepada rakyat.
"Misalnya menambah bangunan baru, pengubahsuaian bangunan, dibekukan. Jadi tidak ada perancangan baru, cuma meneruskan yang sedia ada. Hasilnya kita boleh selamatkan sebanyak RM 10 juta," maklum beliau.
Elaun-elaun Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan juga akan dipotong sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat, pun begitu menurut Ustaz Azizan potongan tersebut akan dimasukkan ke dalam Tabung Tengku Mahmud.
"Peratus potongan kita akan tentukan kemudian," jelas beliau.
Pada sidang tersebut, Ustaz Azizan turut mengumumkan bahawa bersempena 100 hari pemerintahan semua exco termasuk beliau akan mengisytiharkan harta masing-masing.
Menyentuh mengenai kelewatan pembayaran cukai tanah, Ustaz Azizan menjelaskan tiada denda yang akan dikenakan untuk tahun ini. - mks._

No comments: