Tuesday, June 24, 2008

Sudah Sampai Masanya Kerajaan Perkenalkan Polisi Baru Hiburan

Setelah lebih 100 hari memerintah, negeri Kedah dikiri bertuah kerana tidak dihimpit sebarang kontroversi atau serangan hebat dari parti lawan. Beberapa kritikan dijawab dengan hemah oleh pentadbiran yang diterajui YAB Menteri Besar Ustaz Azizan Razak walau pun ada sesetengahnya sengaja digembar-gemburkan media tidak beretika. Ada yang berbentuk fitnah dan ada juga khabar angin yang dikutip dari sumber-sumber pengecut yang tak berani perkenal nama.
Apa pun sekalung tahniah diucapkan kepada kerajaan baru yang berjaya mengharungi 100 hari pemerintahan yang mendebarkan dengan cabaran mudah. Mungkin kebanyakan rakyat masih tercari-cari apa yang telah dilakukan selepas 8 Mac hingga kini. Pendekatan bijaksana kerajaan negeri yang baru mendapat kuasa dan langkah yang berhati-hati semestinya menggusarkan para penyokong apatah lagi lawan yang menungu-nunggu kesilapan dilakukan.
Pun begitu beberapa perkara yang dikira agak perlu kalau tidak pun dilaksanakan, cukup sekadar diumum akan dikuatkuasa atau dijalankan oleh kerajaan. Sebagai sebuah parti yang bercita-cita untuk menyelamat maruah islam, PAS yang menerajui Pakatan Rakyat di Kedah amat dinanti untuk memperkenalkan dasar-dasar yang berlandaskan islam.
Kita masih ternanti-nanti sebagai contohnya polisi baru mengenai hiburan di negeri ini. Setelah beberapa kali diuji dengan konsert 'gege riuh', 'Hot FM' dan sebagainya, kerajaan negeri perlu memperkenalkan polisi baru hiburan yang sejajar dengan dasar parti. Walau pun ada jenis hiburan yang dibenarkan dalam islam, tetapi adalah kurang bijak jika terpaksa bergasak dengan penganjur yang diberi permit oleh pihak berkuasa tempatan disaat-saat akhir seperti apa yang disaksikan sebelum ini. Apa yang berlaku di Selangor janganlah dibiarkan berjangkit di sini.
Begitu juga dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, sudah sampai masanya cita rasa ditukar jika ditiadakan terus boleh mengguris hati pihak tertentu. Pemilihan artis-artis yang sesuai masih boleh ditolak ansur sekiranya mahukan hiburan.
Apa yang berlaku dalam suatu majlis di Seri Mentaloon beberapa minggu lalu perlu dipandang serius. Rata-rata jemputan majlis tersebut adalah dari kalangan ahli-ahli PAS yang sukar untuk menerima hiburan yang membingitkan telinga ketika sedang makan. Setelah baru 15 minit program berlangsung lebih 3/4 jemputan keluar meninggalkan dewan. Memang tidak manis dipandang apa lagi majlis turut diraikan tetamu diraja. Itu baru protes senyap dan kita tidak mahu MB dan EXCO membazir waktu menjawab kontroversi yang tidak perlu kerana banyak dan berat lagi tanggungjawab lain yang menunggu.

No comments: