Thursday, July 24, 2008

Unit Amal DPPKM bantu 'summer camp' di Dun Tanjong Dawai

Para peserta melakukan senaman regangan sebelum aktiviti 'jungle tracking'

PANGKALAN HULU, 21 Julai (Hrkh) � Usaha membina sahsiah unggul di kalangan remaja perlu didokong oleh semua pihak dan bukan hanya disandarkan kepada institusi pendidikan dan ibu bapa sahaja.
Sehubungan itu, baru-baru ini satu program ala 'summer-camp' diadakan di sini melibatkan penyertaan 80 orang pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjong Dawai, Kedah.
Menurut Koordinator Program, Ustaz Mahizan Mat Lazim, program dua hari satu malam itu telah mendedahkan pembinaan motivasi dan jati diri muslim di kalangan remaja dalam persediaan menghadapi cabaran akademik dan kehidupan.
Ujarnya, pihak beliau turut mendapat kerjasama daripada Unit Amal Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok (DPPKM) yang banyak membantu aktiviti 'outdoor' sepanjang program seperti menjelajahi Gua Gendang, riadah pagi dan slot setiakawan.
Jelas Ustaz Mahizan, kerjasama daripada DPPKM amat bermakna lebih-lebih lagi mereka telah memiliki pengalaman mengendalikan remaja untuk pembinaan jati diri melalui pengendalian Kelab Anak Soleh (KaSeH) sebelum ini.
Antara yang diadakan sepanjang program adalah slot ta'aruf, tazkirah, muhasabah diri dan sebagainya.

Sunday, July 13, 2008

PAS susun tarbiyah dengan perkasakan usrah

Usrah pembinaan utama pentarbiyyah di dalam PAS - gambar hiasan

Izwan Abdul Halim Sat Jul 12, 08 1:40:15 pm MYT
PANGKALAN KAKAP, 12 Julai (Hrkh) - PAS Kawasan Merbok menyusun kembali gerakerja pentarbiyahan di cawangan-cawangan dalam kawasan itu melalui pemerkasaan usrah.
Sehubungan itu, satu Liqa' Fikr diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Merbok di sini melibatkan semua Ketua dan Setiausaha PAS Cawangan-cawangan malam semalam.
Menurut Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Kawasan Merbok, Ustaz Fakharuddin Fakhrulrazi dalam ucapan aluannya menegaskan kepentingan usrah sebagai pembinaan utama pentarbiyahan di dalam PAS.
Melalui penyusunan itu, PAS Kawasan Merbok akan melaksanakan usrah mengikut zon cawangan-cawangan dengan naqib tetap yang dilantik.
Pada majlis itu, selain taujihat yang disampaikan oleh Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS Negeri Kedah, Ustaz Mohd Nizam Noh, para naqib turut menerima watikah pelantikan masing-masing.
Hadir sama Setiausaha PAS Kawasan Merbok, Ustaz Azizan Hamzah dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Merbok, Md Rawan Sudin. - mks. _

Thursday, July 10, 2008

TV3 Perlu diajar

Stesen televisyen swasta TV3 sekali lagi cuba menimbulkan kekeliruan apabila menyiarkan rakaman video yang dihantar oleh individu tertentu dan memaparkan berita yang sama sekali tidak benar dan berniat jahat. TV3 yang merupakan salah satu stesen popular dengan berbagai program hiburan itu mengutip sampah untuk tatapan umum. Apa yang disiarkan memang sampah kerana ia adalah rakaman dari luar pagar lapangan terbang di Alor Star yang mungkin dibuat oleh pengintip yang diupah mencari salah kerajaan negeri.
Semua rakyat perlu mengajar dengan memboikot stesen itu kerana ketika dunia yang penuh dengan pelbagai pilihan sumber berita, adalah tidak bijak jika kita masih memilih saluran tidak beretika sebegini.

Pesawat sewa khas yang dinaiki Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak semalam adalah bagi menyertai rombongan Diraja Kedah ke Brunei untuk menyembah titah mengundang Sultan Brunei ke majlis Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah pada Selasa ini.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Hilmi Khalid, berkata rombongan Diraja itu diketuai Tunku Bendahara Kedah yang disertai isterinya selain Ketua Istiadat Istana, Datuk Saad Endut dan isteri serta YAB Ustaz Azizan dan isteri.
Petikan berita tersebut menyiarkan rakaman rombongan itu menaiki pesawat dan menyebut seolah-olah Menteri Besar bersama rombongannya telah menaiki pesawat khas yang disewa bagi tujuan perjalanan rasmi. Kita minta selepas ini TV3 merujuk kepada sumber rasmi kerajaan negeri sebelum menyiarkan apa-apa berita yang boleh menimbulkan kontrovesi mengenai negeri Kedah. Gambar rakaman yang disiarkan dengan jelas menunjukkan payung berwarna kuning digunakan untuk mengiringi rombongan Diraja itu.
Ini merupakan satu penghinaan kepada istana dan kita menuntut supaya TV3 memohon maaf dan memperbetulkan persoalan yang telah sengaja ditimbulkan ini.

Tuesday, July 8, 2008

PROTES 678 : Kenyataan Ketua Pemuda Kedah

Pemuda PAS Kedah melahirkan rasa kesal dengan pengendalian Himpunan Protes Sejuta Rakyat yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya semalam. Bagi pemuda Kedah, himpunan semalam tidak mencapai tujuan asal gerakan Protes yang telah digerakkan sejak tahun lalu.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah (DPPNK), Ustaz Musoddak Ahmad, ramai kontingen pemuda dari kawasan-kawasan yang hadir ke himpunan berkenaan turut 'memprotes' pengendalian himpunan itu semalam."Pemuda-pemuda dari (Kawasan) Kuala Kedah, Pendang, Sik, Merbok, Padang Serai, Sungai Petani, Langkawi dan lain-lainnya pergi untuk menyatakan protes tetapi pulang awal kerana 'memprotes' cara himpunan itu.
"November lalu himpunan Bersih telah memasuki 'gear empat' suara rakyat dan sepatutnya gelombang itu menjadikan Protes memasuki 'gear lima' tetapi semalam himpunan jadi 'gear satu',". Rakyat sudah ada keberanian untuk turun ke jalan dan tidak bimbang kepada risiko berhadapan 'water-cannon' dan semburan kimia. Oleh itu, mengadakan himpunan di stadium seolah-olah berundur semula ke belakang.
"Bila buat himpunan macam ini, protes yang dinyatakan tidak tampak kepada umum apatah lagi pihak yang diprotes juga tidak akan rasa apa-apa," tambahnya lagi.
Beliau turut menyatakan kekesalannya kerana wujud konsert pada himpunan berkenaan.
"Rata-rata pemuda Kedah pulang setelah konsert diadakan, mereka menggelar himpunan itu bukan 'protes' tetapi 'karnival turun minyak'.
"Pemuda Kedah datang bukan untuk berhibur, mereka datang atas nama perjuangan. Jadi sebarang sekatan yang mungkin berlaku mereka sanggup hadapi,"
DPPNK akan menghantar nota bantahan kepada jawatankuasa penganjur himpunan itu.

Monday, July 7, 2008

PROTES 678 : Jangan Buat Dah Lagu Tu

Kalau setakat berhimpun dalam stadium, masih boleh dimaafkan walau pun 'effect' yang diharapkan melalui protes sejuta rakyat ini agak sukar untuk dirasai seperti siri-siri demonstrasi biasa. Tempat tertutup dan kawasan yang agak asing dari kesibukan Petaling Jaya masih boleh diterima kerana dunia akan dapat melihat ratusan ribu rakyat kalau pun tidak sejuta membanjiri lokasi himpunan untuk nyatakan rasa marah atas tindakan kerajaan yang menindas rakyat sendiri.
Puluhan wartawan dari pelbagai agensi sedikit sebanyak akan dapat mempamerkan rasa marah rakyat yang ditunjukan dalam himpunan tersebut.
Tetapi kita tidak faham kenapa penganjur buntu mencari jalan untuk menarik rakyat untuk hadir dan menghalang mereka yang hadir dari meninggalkan lapangan. Penganjur seolah-olah tidak dapat mengenal pasti kelompok mana yang akan lebih berani dahulu untuk tampil kehadapan dalam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penguasa seperti selalu.
Belum habis masyarakat berbicara mengenai Pemuda PAS Selangor membantah program hiburan sempena perlawanan bolasepak yang juga termasuk acara untuk menghiburkan orang ramai. Masih hendak adakan acara hiburan dalam program yang serius sebegini.
Mana boleh marah sambil menyanyi kerana bila ada nyanyian orang akan senyum terhibur dan tak mungkin nak dinyanyikan lagu sedih. Tak pernah dengar lagi lagu marah, kalau lirik nya marah pun penonton akan tersenyum.

Saya hadir tergesa-gesa kerana jam sudah pukul sebelas, risau tengok yang berlalu keluar lebih ramai dari yang baru sampai.
Di perkarangan stadium para peniaga memang meriah, minuman bertong-tong, t-shirt rasanya berguni-guni, tentunya lumayan mereka hari itu.
Dalam stadium suasana boleh tahan walau pun anggaran sekitar enam ke tujuh ribu masih setia bersedia untuk menyatakan protes. Sempat mendengar beberapa pidato antaranya dari Presiden MTUC dan YB Kuala Selangor ber'cepiu'. Masih kira ok sehingga terperasan satu 'drum set' dan beberapa buah gitar terpacak di pentas. Ada live band show la nampaknya selepas ini.
Program direhatkan kerana waktu zohor dan tidak tahu apa yang berlaku sehingga komputer dibuka pada malamnya.
Nasib baik balik cepat, kalau tidak tentu dapat berkongsi rasa marah terhadap penganjur, buang masa saja. Sekali fikir rugi pula tak tunggu, kalau tidak boleh tumpang baling botol air ke pentas.
Saya bagi pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok dengan ini ingin mengutuk sekeras-kerasnya kejadian yang berlaku di Stadium MPPJ pada senja hari Ahad 6 Julai 2008 dan izinkan kami untuk menasihatkan pimpinan tertinggi ' JANGAN BUAT DAH MACAM NI!.
Kerahkan saja kami untuk bawa ahli dan penyokong dari kawasan dan negeri kami dan tak perlu bergantung kepada sokongan orang lain untuk kerja buat seperti ini.

Thursday, July 3, 2008

Alhamdulillah, Tahniah Kedah

Sungai Petani: 3 Julai - Alhamdulillah, itu saja ucapan yang mampu diucapkan apabila kali pertama terpandang sebuah billboard baru di hadapan Kompleks SP Plaza di sini petang tadi. Kenalkah wajah siapa yang dipamerkan pada billboard di atas. Tidak lain dan tidak bukan itulah imej terbaru Cik Farah Fauzana, penyampai radio terhangat di Malaysia. Imej menutup aurat personaliti wanita terkenal itu turut diperlengkap lagi dengan tulisan jawi pada papan iklan tersebut.

Apa pun tahniah diucapkan kepada pengiklan, MPSPK dan kerajaan negeri Kedah yang memberi satu lagi kebanggaan kepada pengundi Pakatan Rakyat.

Seorang rakan memberitahu "Tak sia-sia aku pangkah PR, perubahan macam ni cukup untuk menyatakan rasa hormat pada islam dan langkah awal untuk meninggikan syiar Islam di negeri ini".
Kita harap selepas ini papan iklan yang sudah tamat tempoh diganti dengan imej baru sebegini sekiranya pengiklan masih berminat untuk menggunakan imej wanita sebagai daya penarik. Kita tidak mahu wanita diekspoitasikan seperti sebelum ini dan kita tidak berniat untuk merendahkan kaum wanita. Cuma lengkapkan sedikit penampilan imej dengan menutup aurat, sudah tentu akan menepati cita rasa sebuah negeri yang diterajui oleh sebuah parti islam.