Monday, July 7, 2008

PROTES 678 : Jangan Buat Dah Lagu Tu

Kalau setakat berhimpun dalam stadium, masih boleh dimaafkan walau pun 'effect' yang diharapkan melalui protes sejuta rakyat ini agak sukar untuk dirasai seperti siri-siri demonstrasi biasa. Tempat tertutup dan kawasan yang agak asing dari kesibukan Petaling Jaya masih boleh diterima kerana dunia akan dapat melihat ratusan ribu rakyat kalau pun tidak sejuta membanjiri lokasi himpunan untuk nyatakan rasa marah atas tindakan kerajaan yang menindas rakyat sendiri.
Puluhan wartawan dari pelbagai agensi sedikit sebanyak akan dapat mempamerkan rasa marah rakyat yang ditunjukan dalam himpunan tersebut.
Tetapi kita tidak faham kenapa penganjur buntu mencari jalan untuk menarik rakyat untuk hadir dan menghalang mereka yang hadir dari meninggalkan lapangan. Penganjur seolah-olah tidak dapat mengenal pasti kelompok mana yang akan lebih berani dahulu untuk tampil kehadapan dalam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penguasa seperti selalu.
Belum habis masyarakat berbicara mengenai Pemuda PAS Selangor membantah program hiburan sempena perlawanan bolasepak yang juga termasuk acara untuk menghiburkan orang ramai. Masih hendak adakan acara hiburan dalam program yang serius sebegini.
Mana boleh marah sambil menyanyi kerana bila ada nyanyian orang akan senyum terhibur dan tak mungkin nak dinyanyikan lagu sedih. Tak pernah dengar lagi lagu marah, kalau lirik nya marah pun penonton akan tersenyum.

Saya hadir tergesa-gesa kerana jam sudah pukul sebelas, risau tengok yang berlalu keluar lebih ramai dari yang baru sampai.
Di perkarangan stadium para peniaga memang meriah, minuman bertong-tong, t-shirt rasanya berguni-guni, tentunya lumayan mereka hari itu.
Dalam stadium suasana boleh tahan walau pun anggaran sekitar enam ke tujuh ribu masih setia bersedia untuk menyatakan protes. Sempat mendengar beberapa pidato antaranya dari Presiden MTUC dan YB Kuala Selangor ber'cepiu'. Masih kira ok sehingga terperasan satu 'drum set' dan beberapa buah gitar terpacak di pentas. Ada live band show la nampaknya selepas ini.
Program direhatkan kerana waktu zohor dan tidak tahu apa yang berlaku sehingga komputer dibuka pada malamnya.
Nasib baik balik cepat, kalau tidak tentu dapat berkongsi rasa marah terhadap penganjur, buang masa saja. Sekali fikir rugi pula tak tunggu, kalau tidak boleh tumpang baling botol air ke pentas.
Saya bagi pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok dengan ini ingin mengutuk sekeras-kerasnya kejadian yang berlaku di Stadium MPPJ pada senja hari Ahad 6 Julai 2008 dan izinkan kami untuk menasihatkan pimpinan tertinggi ' JANGAN BUAT DAH MACAM NI!.
Kerahkan saja kami untuk bawa ahli dan penyokong dari kawasan dan negeri kami dan tak perlu bergantung kepada sokongan orang lain untuk kerja buat seperti ini.

No comments: