Saturday, February 21, 2009

Pengerusi SPRM Tolong Diam

Kemelut dan kecelaruan yang sedang disaksikan dalam politik tanahair ketika ini mengundang rasa resah dari pelbagai pihak. Berbagai tafsiran, ulasan, telahan dan rumusan diberikan oleh banyak pihak dari pakar dan penganalisi politik sepenuh masa hinggalah ke pengulas politik dari meja-meja kedai kopi di seluruh pelusuk negara.
Banyak kebimbangan diluahkan hasil daripada apa yang berlaku dari peristiwa rampasan kuasa yang tidak bertamadun di Perak hinggalah perang tiga 'bukit' yang akan meletus tidak lama lagi.
Dalam kerancakan rakyat berbicara mengenai keburukan pemerintah yang penuh dengan dosa-dosa rasuahJustify Full dan penipuan sehingga berjaya menumbangkan empat kerajaan negeri walau pun telah dirampas satu, kerajaan telah berusaha mengambil hati menubuhkan satu suruhanjaya yang pada asalnya adalah bagi memerangi gejala rasuah.
Namun apa yang diperlihatkan ketika ini adalah suruhanjaya ini tidak lari jauh seperti suruhanjaya pilihanraya yang sepatutnya berfungsi menegakkan demokrasi sebaliknya menjadi dalang memenangkan parti pemerintah yang membayar gaji mereka.
Suruhanjaya yang ditubuh bagi mencegah amalan rasuah seharusnya melakukan kerja sebagai sebuah badan yang bermaruah. Tiada pilih kasih dan jangan sekali-kali dilihat menyalahgunakan kuasa yang ada menekan musuh pemerintah dan dalam masa yang sama melayan semesranya puak-puak yang memberi mereka jawatan hebat itu.
Apa yang rakyat sedang perhatikan kini seolah-olah laporan rasuah terhadap pemimpin kerajaan seperti pesakit luar dan laporan ke atas musuh-musuh politik mereka seperti pesakit tenat yang perlu pemeriksaan segera doktor pakar. Apa tidaknya laporan rasuah ke atas pemimpin-pemimpin kerajaan, berbagai alasan diberikan seperti sengaja melengahkan siasatan kes-kes tersebut.
Berkotak-kotak laporan dan bukti yang diserahkan melibatkan pembesar-pembesar tidak dapat diselesaikan atau sengaja tidak mahu diselesaikan atau takut hendak diselesaikan atau diperintah untuk tidak diselesaikan, kecuali beberapa kes tertentu yang mungkin mereka rasa kesannya kurang besar. Tetapi apabila ada saja dakwaan salah guna kuasa ke atas pemimpin parti pembangkang, baru saja letak telefon pegawai penyiasat sudah bergegas untuk menyiasat.
Beberapa hari lalu Pengerusi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia seperti yang disiarkan dalam berita sebuah televisyen dengan muka bangganya mengulas beberapa kes yang belum pun diperingkat pendakwaan tetapi dihebahkan bahawa SPRM mempunyai bukti kukuh.
Perlukah seorang pengerusi sebuah suruhanjaya yang dilebel bebas menghukum kesalahan musuh majikan mereka walaupun belum dibawa kepengadilan kes tersebut.
Tolonglah. Jangan bercakap terlalu banyak kerana banyak kesalahan akan terbit dari mulut tuan pengerusi. Kalau teringin sangat nak mengulas panjang dalam tv, sila ulas semua kes terutama yang berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin atasan. Jangan pilih-pilih, kalau tak sila tutup mulut anda.

No comments: