Saturday, February 20, 2010

TAMRIN QIYADI

Alhamdulillah, seluruh kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok telah berjaya mengikuti Tamrin Qiyadi 2010. Tamrin yang diadakan khusus kepada kepimpinan DPPKM ini telah bermula petang kelmarin (19.02.10) dan berakhir pada pagi tadi.
Walaupun tamrin ini hanya berlangsung selama satu malam sahaja di Chalet Terapung, namun ia sangat berkesan buat semua ajk DPPKM. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah solat berjamaah, perbincangan umum, memancing, BBQ, qiamullail dan tazkirah.
Chalet Terapung, Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok
Penginapan kami yang terapung di atas laut
Saudara Zul sedang menyediakan makan malam
Ust Mohd Zahir (Ketua Pemuda) sedang menunjukkan teknik memancing
Ajk DPPKM sedang menunggu hasil
Saudara Nasron berjaya menaikkan siakap seberat 1.5 kg
Tuah saudara Asri - dapat tapak sulaiman
Makhluk Allah yang jarang ditemui
BBQ hasil tangkapan
Ayam percik madu
Memang berselera menikmati hidangan di tengah laut
Qiamullail
Anak-anak dididik sejak kecil.

Thursday, February 18, 2010

SELAMAT DATANG RABI'UL AWAL

Lazimnya kedatangan bulan Rabiul Awal setiap tahun disambut meriah dengan perayaan Maulidur Rasul. Sebenarnya, pada bulan Rabiul Awal ini terdapat beberapa peristiwa penting yang lain yang telah berlaku dalam sejarah Islam.

Pengertian.

Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.

Maka nama bulan ini diambil sempena musim bunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.


PERISTIWA-PERISTIWA PENTING BULAN RABIULAWAL

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;


1.Kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad Rasulullah SAW

Terdapat dua pendapat tarikh kelahiran Nabi s.a.w:

a) Pada 12 Rabiul Awal (kebanyakan Ulama),tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur.

b) Pada 9 Rabiul Awal (Ulama Hadis dan Pakar Falaq).

Tarikh kelahiran dalam Masehi adalah 20 atau 21 atau 22 April 571 Masehi.

Diantara peristiwa yg menarik ketika baginda dilahirkan adalah bergegarnya Istana Kisra, gugurnya 14 serambi istana tersebut, keringnya air tasik sawa dan terpadamnya api sembahan orang-orang Majusi yang mana telah seribu tahun tidak pernah padam. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)



2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul.

Dibulan Rabiulawal inilah Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi Muhammad SAW berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.


3. Hijrah

Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika ini di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.


4. Peperangan.

Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah SAW diantara tentera islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyam.


5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah SAW.

Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah r.a dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.


6. Abu Bakar r.a Menjadi Khalifah

Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera melantik saidina Abu Bakar r.a di Dewan Bani Sa’idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ini adalah nadi sesebuah kerajaan dan sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah SAW yang diketuai oleh Saidina Ali.


7. Pembukaan Iraq

Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman Saidina Abu Bakar.


8. Pembukaan Baitul Muqaddis

Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.


9. Kejatuhan Empayer kerajaan Islam Sepanyol.

Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Tuesday, February 16, 2010

5 SEBAB MENJADIKAN BER"COUPLE" HARAM

Pada asasnya, hukum bercinta-kasih, berpasangan( couple) atau seumpamanya adalah harus. Akan tetapi terdapat beberapa perkara/tindakan yang boleh menyebabkannya menjadi HARAM. Antaranya :


PERTAMA: TIDAK MEMPUNYAI NIAT YANG BAIK ATAU SEBALIKNYA
Sesebuah perhubungan ˜istimewa" antara seorang lelaki dan wanita seharusnya didasari dengan niat yang baik seperti bertujuan untuk berkahwin. Justeru sebarang perhubungan yang tidak bertujuan seperti tersebut adalah tidak harus seperti bercouple untuk berhibur,
bersuka-suka dan sebagainya.

KEDUA: TIDAK MEMATUHI (MELAMPAUI) SYARIAT AGAMA
Lumrah bercouple seakan tidak dapat lari dari aktiviti seperti ber"dating", ber"shoping" dan sebagainya hatta ada yang sampai ke peringkat "membonceng". Tidak kurang juga (tanpa segan silu) menggunakan istilah-istilah yang kononnya menunjukkan sikap "caring" seperti memanggil darling kepada pasangannya. Paling tidak, pasti di dalam pertemuan(dating) akan berlaku pandangan mata yang tidak harus, perbicaraan yang tidak wajar dan seumpamanya. Semua perlakuan ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang mengharamkan perhubungan bebas di antara lelaki dan perempuan. Yang paling penting, apabila Syariat Islam mengharamkan sesuatu perkara/perbuatan, maka wasilah atau tindakan yang menuju kepada perkara yang diharamkan tersebut juga turut diharamkan. Kaedah Fiqh ada menyebutkan : sesuatu yang membawa kepada yang haram, maka ia juga menjadi haram. Justeru berdasarkan kaedah ini, maka bercouple yang membawa kepada perlanggaran hukum syariat juga adalah haram.

KETIGA: MENJATUHKAN MARUAH (PERIBADI) SEORANG WANITA
Apabila pasangan yang bercouple berdating, maka peribadi seorang wanita muslimah akan dipersoalkan. Khalayak tidak akan berbicara tentang si lelaki yang bercouple tersebut, tetapi si perempuan. Masyarakat akan bertanya bagaimana begitu mudah si perempuan tersebut membiarkan dirinya diusung(maaf jika agak keterlaluan) ke sana-sini atau setidak-tidaknya umum akan menganggap bahawa perempuan tersebut telah dimiliki. Kesan buruk yang mungkin dihadapi ialah apabila berlaku perpisahan antara pasangan tersebut. Masyarakat akan mula membuat pelbagai tanggapan negatif terhadap si perempuan tersebut.


Prasangka-prasangka negatif akan direka dan dihebahkan. Akhirnya berlakulah tohmahan-tohmohan yang menjatuhkan maruah dan kehormatan seorang wanita. Ingatlah bahawa Islam amat memprihatinkan penjagaan maruah seorang wanita. Di atas dasar itulah adanya hukum Qazaf dan kerana tujuan tersebut jugalah Islam mengharamkan perhubungan yang di luar batasan. Sebabnya adalah kerana Islam memelihara kehormatan seorang wanita.


KEEMPAT: MEMBAZIRKAN WANG KEPADA PERKARA YANG TIDAK WAJAR
Di dalam budaya bercouple, biasanya pasangan lelaki akan banyak menghabis duit pinjaman PTPTN, JPA, yayasan negeri (bagi mahasiswa IPT) atau duit pemberian ibubapa untuk memenuhi kehendak pasangan wanitanya. Ajak saja dinner, lunch, breakfeast atau bershoping pasti si lelaki yang perlu mengeluarkan duit poketnya. Terdapat juga keadaan di mana si perempuan yang berbelanja si lelaki. Itu belum dikira dengan pembeliaan kad top-up handset yang out of control. Hanya kerana call untuk tanya khabar, dah makan ke belum, ada yang sanggup mentop up handset mereka beberapa kali dalam seminggu. Cuba bayangkan jumlah wang perlu dibazirkan hanya untuk perkara yang sangat remeh dan tidak perlu. Paling menyedihkan, wang tersebut adalah pemberian keluarga yang seharusnya digunakan bagi tujuan pengajian. Begitu juga wang pinjaman PTPTN, ia adalah hutang yang perlu dibayar selepas tamat pengajian. Justeru, penggunaan kedua-dua jenis wang ini kepada perkara yang tidak wajar adalah tidak harus dan ditegah oleh syarak. Perbuatan membazir dan menyalahgunakan harta juga adalah amalan syaitan.(Rujuk Al-Israa ayat 27)

KELIMA: MEMBUANG MASA KEPADA PERKARA YANG TIDAK SEWAJARNYA
Seperkara yang wajar diprihatinkan di sini ialah penggunaan waktu kepada perkara yangtidak bermanfaat. Lebih malang lagi, masa yang amat terhad sebagai seorang mahasiswa telah diisi dengan perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh Allah. Bukankah berdating, berbual telefon secara marathon dan lain-lain aktiviti rutin bercouple merupakan perbuatan yang menyimpang dari anjuran agama. Justeru setiap saat dan minit yang digunakan bagi tujuan tersebut akan dipersoal dan diperbicarakan di hadapan Allah. Perlu diingat bahawa Islam bukan mengharamkan secara total perkara yang dinyatakan di atas. Islam tidak menghalang perbuatan tersebut, tetapi meletakkan beberapa prasyarat yang perlu dipenuhi. Sekiranya kita gagal mengikut syarat-syarat tersebut, maka status perbuatan tersebut menjadi HARAM serta menjauhkan diri pelaku daripada kasih sayang dan cinta Allah.


(Rujuk kitab al-Halal wal Haram Fil Islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawi)

Thursday, February 4, 2010

HIWAR ISLAM DI KEDAH FM

DPPKM ingin mengajak semua umat Islam mengikuti rancangan "Hiwar Islam" di siaran radio Kedah FM setiap hari Khamis, jam 3.00-4.00 petang.

Program ini baru dilancarkan oleh Kedah FM pada awal Januari 2010. Setiap pendengar boleh mengemukakan sebarang persoalan kepada moderator khas yang mengendalikan slot ini iaitu Ust Zainul Asri b. Ramli, Setiausaha Dewan Ulama PAS Kedah ketika ini.

Eloklah rasanya kalau semua ahli PAS di negeri Kedah dan utara tanah air sama-sama memberi sokongan dengan cara menjadi pendengar setia kepada rancangan ini.



p/s : Jom tambah ilmu!