Wednesday, March 24, 2010

Pelancaran Dana Pendidikan Islam dan Khalifa Motor Oil

Khalifa Lube Enterprise telah mengadakan pelancaran serentak produk minyak pelincir Khalifa Motor Oil dan Dana Pendidikan Islam untuk Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

Majlis Pelancaran telah disempurnakan Exco Kerajaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib di Madrasah Zubaidiyah, Merbok pada 11 Mac lalu.

Dalam ucapannya, Dr Hamdan memuji usaha syarikat tersebut yang disifatkannya lebih awal mendahului saranan Perdana Menteri berkenaan ‘Corporated Services Responsibility’ (CSR) selain memperbanyakkan produk Muslim di pasaran.

Katanya, walaupun beliau maklum keuntungan diperolehi syarikat tersebut tidak berapa, namun peruntukan khas RM2 dari setiap botol jualan minyak pelincir oleh syarikat itu harus dipuji.

Beliau turut menyeru agar semua pihak berlumba membuat kebajikan sebagai bekalan bertemu dengan Allah dan segala sumbangan peribadi yang dilakukan dengan ikhlas pasti mendatangkan kepuasan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Mohamed Ismail yang telah menerima bahagian jualan bagi bulan Januari dan Februari produk Khalifa.

Pengurus Jualan Khalifa Motor Oil, Zulkeffle Mustafa, mempelawa khususnya Dewan Pemuda PAS dari seluruh negara untuk terlibat memasarkan produk berkenaan dan meluaskan penggunaannya di kalangan ahli PAS.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dari beliau dengan menghubungi talian 017-400 7704.

Tuesday, March 23, 2010

ISU ARAK DI PARLIMEN; REMBAU TERPAKU, PASIR SALAK TERDUDUK

Cubaan Ahli Parlimen (AP) Rembau yang juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memainkan isu arak dan judi di Dewan Rakyat ibarat meludah ke langit, terpercik di muka sendiri sebaik MP Machang, Saifudin Nasution diberi laluan untuk berucap.

Saifudin yang hanya menyatakan berhubung judi arak secara umum membuatkan beberapa MP Umno berasa kurang selesa termasuklah AP Pasir Salak yang kelihatan marah-marah dan hampir-hampir keluar dari tempat duduk asalnya.

Berikut ialah transkrip penuh ucapan Saifudin yang juga Setiausaha PKR sehingga membuatkan MP Umno tertekan di Dewan Rakyat.

"Dia (Khairy Jamaluddin) tak sukar kita memahami keberanian Rembau kebelakangan ini untuk dilihat berani mencabar Ketua Pembangkang."Sifirnya mudah, menang pemilihan parti (Umno), tak dapat jadi menteri, itu sahaja," katanya. Maknanya, tambah Saifudin, perbahasan ini sekarang, diikuti oleh Perdana Menteri (Najib Razak) jadi keberanian itu akan diberi markah dan peluang untuk dilantik jadi menteri, itu sahaja."Jadi, itu fakta. Adakah Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju, tak susah kita memahami budaya dalam politik Umno. Maknanya dosa besar dalam Umno, ialah menegur dan berkata benar kepada pemimpin Umno itu berdosa besar. Parti agama, bangsa, Negara. Judi ok, arak ok. Jangan cabar kita, kita boleh tunjuk berapa kerat dalam (Dewan Rakyat) ini. Berapa banyak botol arak dia togok dalam lawatan-lawatan pemuda Umno dulu. Jangan sebut, kita boleh sebut, jangan cabar kita, kita boleh sebut. Jangan cabar, kita tahu, pejabat pemimpin Umno mana yang ada tong arak dalam pejabat. Jangan cabar, waktu Wedding Anniversary, pemimpin pemuda Umno dihidangkan botol arak, jangan cabar kita,” kata Saifudin.

Ketika ini, beberapa pemimpin Umno merah padam walaupun Saifudin sekadar menyebut perkara itu secara umum sehingga Timbalan Yang Di Pertua (TYDP) Dewan Rakyat menegur sikap pemimpin Umno itu.

TYDP : Sudah lah Pasir Salak, Pasir Salak duduk dahulu, Rembau, Rembau duduk dahulu, saya pun mahu dengar apa yang Machang nak cakap.


Monday, March 22, 2010

6 TAHUN PEMERGIAN AS-SYAHID SYEIKH AHMAD YASSIN

DPPKM ingin mengajak umat Islam di seluruh dunia untuk mengenang satu peristiwa tragis yang berlaku pada 22 Mac 2004 di mana pada tarikh tersebut Syeikh Ahmad Yassin, seorang tokoh mujahid Palestin menemui syahidnya. Setelah enam tahun berlalu nama Syeikh Ahmad Yassin As-Syahid tetap harum dan terus hidup di dalam jiwa rakyat Palestin dan umat Islam yang tidak pernah berputus asa di dalam meneruskan jihad untuk membebaskan Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis dan bumi Palestin yang diberkati.

Syeikh Ahmad Yassin telah menggariskan beberapa prinsip yang terus memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menggalas tanggungjawab jihad di bumi Palestin. Di antara prinsip perjuangan yang sering beliau ucapkan ialah 'Kami telah memilih jalan ini (jalan jihad) dan ianya akan berakhir dengan syahid atau kemenangan'.


Itulah pilihan yang ada bagi mereka yang menyahut seruan jihad untuk membebaskan al-Aqsa. Tidak ada pilihan ketiga iaitu perundingan damai dan tolak ansur seperti yang sedang giat ditaja oleh golongan yang tidak yakin dengan jalan jihad. Golongan ini sanggup tunduk kepada tekanan Amerika dan kuasa-kuasa besar dan bertolak ansur dengan regim zionis Israel yang hanya mempunyai satu agenda iaitu mengekalkan pendudukan haram ke atas bumi Palestin dan mengambil alih Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa untuk tujuan-tujuan keji dan permusuhan.


Prinsip yang digariskan oleh Syeikh Ahmad Yassin terbukti tetap dipertahankan sehingga kini. Meski Israel terus melaksanakan operasi memburu pejuang-pejuang HAMAS dan pejuang-pejuang Palestin lainnya, kebangkitan (intifadah) tidak pernah terpadam dari jiwa dan sanubari rakyat Palestin. Bahkan semangat intifadhah terus membara meski rakyat Palestin khususnya di Gaza terus menerus berhadapan dengan kepungan Israel, sekatan ekonomi dan penutupan sempadan dari semua arah samada jalan darat, laut dan udara. Syekh Ahmad Yassin menegaskan 'Waktu akan membuktikan bahawa siri-siri pembunuhan ini tidak akan memusnahkan HAMAS. Pemimpin HAMAS mengharapkan syahid dan tidak takut kepada kematian. Jihad akan diteruskan dan kebangkitan akan terus disemarakkan sehingga kami mencapai kemenangan atau syahid kerananya.'


Syeikh Ahmad Yassin juga meletakkan satu lagi prinsip yang penting untuk dihayati iaitu mengekalkan kesatuan di kalangan umat Palestin yang berjuang menentang Israel. Meskipun HAMAS dan barisan pejuang Palestin berhadapan dengan kelompok-kelompok yang diterajui oleh PNA (Pihak Berkuasa Palestin) dengan FATAH sebagai fraksi terbesarnya, Syeikh Ahmad Yassin tetap menegaskan musuh umat Islam dan rakyat Palestin ialah Israel. Maka dengan itu segala pergeseran dan perseteruan di kalangan rakyat Palestin sendiri hendaklah dielakkan seboleh mungkin. Namun PNA yang diterajui oleh Yasser Arafat (al-Marhum) telah bertindak bagi pihak Israel dan memenjarakan pejuang-pejuang pembebasan Palestin yang tulen. Semua ini dilakukan kerana tunduk kepada kehendak Israel. Yasser Arafat yang sejak awal tidak pernah mahu berkompromi dengan Israel telah menjadi hamba yang setia kepada regim Zionis dan melaksanakan apa sahaja arahan Israel atas nama mempertahankan persetujuan damai yang dimeterai di Oslo pada tahun 1993. Sejak dari tarikh tersebut PNA yang diberi mandat oleh Israel untuk menjamin keselamatan negara haram Israel telah mengerahkan seluruh pasukan keselamatannya untuk memburu, menangkap dan memenjarakan pejuang-pejuang Palestin yang tulen dan ikhlas.


Untuk mengelakkan pertembungan sesama rakyat Palestin, Syeikh Ahmad Yassin telah mengarahkan semua pejuang supaya menunjukkan kesabaran yang tinggi serta tidak membalas perbuatan pihak berkuasa Palestin. Beliau menegaskan sikap yang wajib dipertahankan iaitu 'Anda boleh membunuh kami, tetapi kami sekali-kali tidak akan membunuh anda'. Bagi Syeikh Ahmad Yassin, musuh yang sebenarnya ialah Regim Zionis. Jangan sekali-kali rakyat Palestin termakan umpan yang sengaja ditawarkan kepada rakyat Palestin supaya mereka bertelagah sesama sendiri dan akhirnya melupakan objektif mereka untuk mengusir zionis dan mengakhiri pendudukan Israel ke atas tanah air mereka. Ternyata sikap kejantanan yang dipamerkan oleh HAMAS atas prinsip Syeikh Ahmad Yassin berjaya menangkis kemungkinan tercetusnya perang saudara di kalangan rakyat Palestin. Meskipun ratusan bahkan ribuan aktivis HAMAS dan keluarga mereka dipenjarakan dan diseksa namun ia tidak sedikitpun mengundang tindak balas dan dendam ke atas PNA dan kuncu-kuncunya.


Israel ternyata gagal untuk melemahkan rakyat Palestin melalui pendekatan adu-domba yang mereka rangka melalui agen-agen di kalangan rakyat Palestin yang belot dan khianat.Syeikh Ahmad Yassin juga menegaskan bahawa kebaculan tidak ada samasekali dalam kamus perjuangan rakyat Palestin. 'Kamu akan dapati kami akan mati menghadapi kamu dan bukan membelakangkan kamu.'


Lantaran itu kita tidak akan dapati pejuang Palestin melarikan diri dari medan perjuangan. Mereka akan hadapi musuh dengan penuh rasa 'izzah dan kemuliaan Islam. Sebaliknya anjing-anjing Zionislah yang ketakutan berselindung disebalik peralatan perang yang canggih. Mereka menyangka senjata-senjata itu boleh melindungi mereka. Bahkan mereka diberitakan berak-kencing dalam kereta kebal mereka lantaran takut berhadapan dengan pejuang-pejuang Palestin yang terdedah di luar sana tanpa sebarang perlindungan.


Pada 22 Mac 2004 berangkatlah As-syahid yang mulia menemui Tuhannya yang telah lama dirindui. Meski jasad as-syahid hancur namun jiwanya terbang menemui kekasihnya dengan penuh redha dan diredhai. Ini mengingatkan kita kepada seruan Rasulullah SAW selepas peperangan Badar apabila Nabi bertanya kepada mayat-mayat musyrikin yang dikumpulkan dalam sebuah lubang "Apakah kamu dapati janji Allah kepada kamu benar? Sesungguhnya kami dapati janji Allah kepada kami adalah benar.."


Berbahagialah As-Syahid Ahmad Yassin diberi rezeki oleh Allah tanpa batas. "Dan jangan kamu sangka mereka yang berjuang pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup dan diberi rezeki oleh Allah, sedang kamu tidak menyedarinya."


Israel menyangka dengan membedil jasad Syeikh yang mulia dengan beberapa peluru berpandu Hellfire, mereka bolih memadamkan ruh jihad di kalangan rakyat Palestin. Apa yang berlaku darah Syeikh yang melimpah dan membasahi bumi menyuburkan bumi mulia Al-Aqsa As-Syariff dengan rijal yang siap untuk menyahut seruan jihad. Kini sudah enam tahun berlalu dan Gaza tempat kancah perjuangan As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin sudah bertukar menjadi penjara terbesar di dunia. Hakikatnya kekuatan rakyat Palestin tidak pernah terjejas meski berhadapan dengan kepungan paling dahsyat yang pernah disaksikan dalam sejarah dunia.


Ketika hayatnya as-Syahid terbatas pergerakannya oleh kerusi roda. Ulama berkerusi roda ini mampu menggoncang hati musuh-musuh zionis sehingga ke dasarnya. Mereka begitu terancam sehingga untuk menghilangkan ketakutan itu mereka buru ulama kurang upaya ini dengan menggunakan helikopter Apachee dan menembaknya dengan beberapa butir peluru berpandu. Mereka mahu melenyapkan Syeikh Ahmad Yassin dari muka bumi ini tanpa meninggalkan sebarang bekas. Tetapi mereka silap As-Syahid kini terus hidup dalam jiwa-jiwa para pemuda-pemudi Palestin bahkan ruh itu turut hidup dalam jiwa umat Islam di seluruh dunia, membakar dhamir mereka agar bangkit menggalas tanggungjawab jihad di mana jua mereka berada.


As-Syahid Ahmad Yassin dilahirkan pada tahun 1938 berhampiran Askalan (kini Ashkalon yang dirampas Israel). Beliau berlindung di Gaza bersama keluarganya menyelamatkan diri dalam perang pencerobohan Israel yang pertama pada tahun 1948. Ketika berumur 12 tahun As-Syahid mengalami kecederaan yang membawa kepada kelumpuhan dan semenjak itu beliau hanya duduk di kerusi roda sehingga akhir hayat. Beliau dipenjarakan sebanyak dua kali oleh Israel dan beberapa kali dikenakan tahanan di rumah oleh pihak berkuasa Palestin. Beliau bersama as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantissi dan beberapa orang tokoh telah menubuhan HAMAS secara rasmi pada tahun 1987 sempena peristiwa intifadah pertama. Beliau menemui syahid pada usia beliau 66 tahun.

Monday, March 8, 2010

TOLAK PERPADUAN DENGAN UMNO UNTUK SAMPAIKAN ISLAM

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam bahkan perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam.

Dalam perutusan sempena dua tahun Pakatan Rakyat hari ini, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.

Berikut ialah perutusan penuh beliau.

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.


Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya:

1. Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2. Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3. Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4. Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5. Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.
Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya, maksudnya, "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).[al-Hujuraat, 49: 13]

Semoga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.


Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.