Tuesday, July 13, 2010

BUKIT SELAMBAU JUARA SULUNG PIALA MB

Bukit Selambau berjaya mencatatkan nama sebagai pasukan sulung yang menjuarai Liga Bola Sepak Piala Menteri Besar Kedah 2010 selepas menumpaskan Kota Siputeh menerusi sepakan penalti dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darulaman pada hari Sabtu, 10 Julai 2010 baru-baru ini.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa permainan sebenar berakhir dan memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan yang berkesudahan tanpa jaringan tambahan.

Penjaga gol Bukit Selambau menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pemain lawan yang membawa pasukannya menempa kejayaan tersebut.

Bukit Selambau membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan wang tunai RM5,000, manakala pasukan Kota Siputeh pula membawa pulang hadiah piala iringan dan wang tunai RM3,000.

Sementara itu, perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung di Stadium Suka Menanti, pada sebelah petangnya menyaksikan Kubang Rotan berpesta gol apabila menumpaskan lawannya Sungai Tiang 7-1.

Pasukan Kubang Rotan yang berada di tempat ketiga membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan Sungai Tiang pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Kejohanan yang julung- kalinya diadakan ini adalah anjuran Urusetia Belia Kerajaan Negeri Kedah dan disertai 36 pasukan Dewan Undangan Negeri (Dun) seluruh negeri.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.
p/s : DPPKM mengucapkan tahniah kepada pasukan Bukit Selambau & pasukan Sepanyol di atas kejayaan masing-masing.

No comments: