Tuesday, August 10, 2010

PAS bantu perbaharui insuran kenderaan usang

PAS hari ini melancarkan satu jawatankuasa bagi membantu rakyat yang memiliki kereta dan motosikal yang berusia 20 tahun ke atas yang mengalami masalah untuk memperbaharui polisi insurans kenderaan mereka. Jawatankuasa tersebut dinamakan sebagai Gerakan Bela Rakyat (BELA) selepas kejayaan mereka melancarkan Kempen anti-Saman Ekor (KASE) yang diketuai oleh ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Pengerusi BELA, Salahudin Ayub (kiri) berkata beliau menerima aduan bahawa pemilik kenderaan berkenaan terpaksa mengeluarkan "modal yang besar" untuk memperbaharui polisi insurans berkenaan.

"Isunya, mereka kena mengambil (polisi insurans) daripada Malaysia Motor Insurans Pool (MMIP). Sebelum ini mereka membelinya dengan mudah daripada syarikat-syarikat insurans (yang lain)," katanya dalam satu sidang media.

Selain MMIP, pemilik kenderaan juga hanya boleh mendapatkan perlindungan dengan Unit Asia.

Salahudin yang juga naib presiden PAS mendakwa kenaikan harga memperbaharui polisi insurans kenderaan terbabit mencecah 200 peratus hingga 300 peratus.

Beliau mendakwa soalan-soalan yang ditanya dalam borang insurans tersebut "menyusahkan orang kampung" dan harganya "membebankan rakyat".

Ekoran itu, katanya, ia menyebabkan pemilik kenderaan - dari golongan orang kampung dan berpendapatan rendah - terpaksa mengupah orang untuk mengisi borang tersebut dengan bayaran sebanyak RM20 hingga RM50.

Naik mendadak

"Kalau pergi kepada agen, mereka tidak ada jaminan untuk mendapatkan insurans yang murah sehingga dikenakan bayaran sehingga RM600. Selain itu, kenderaan mereka juga diperiksa di Puspakom dengan upah periksa sebanyak RM50.

"(Lihat bagaimana) beberapa kali beban yang dikena bagi (pemilik) kereta jenis ini. Bagi saya, ini sangat menyusahkan rakyat," katanya sambil menambah polisi insurans tersebut telah diamalkan sejak setahun yang lalu.

Dengan memberi contoh, Salahudin berkata, pemilik van jenis Nissan Vanette 1.5 yang dikeluarkan tahun 1980, pemiliknya terpaksa membayar lebih RM300 ringgit berbanding RM80 sebelum ini, untuk memperbaharui insurans kenderaan mereka.

Kereta jenis Kancil 850 pula, mereka perlu membayar RM216 berbanding RM90 sebelum ini, manakala pemilik motosikal terpaksa membayar RM100 berbanding RM50.

Salahudin mendakwa, masalah lain yang dihadapi oleh pemilik kenderaan terbabit ialah polisi insurans ini hanya boleh didapati di pekan besar sahaja dan tidak terdapat di kawasan kampung.

Menjawab solan, pihaknya setakat ini tidak mempunyai perangkaan yang tepat mengenai bilangan pemilikan kereta dan motosikal yang mempunyai kenderaan yang berusia lebih 20 tahun di seluruh negara.

Sehubungan itu, Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian akan membangkitkan perkara tersebut dalam sidang parlimen yang akan datang.

Salahudin berkata pihaknya akan mengadakan persidangan meja bulat dengan syarikat insurans, institusi penginsuranan, persatuan pengguna dan persatuan automobil bagi mendapatkan pandangan berhubung masalah yang dihadapi oleh pemilik kereta dan motosikal berkenaan.

Menurutnya, antara pihak tersebut adalah Persatuan Insurans Am Malaysia, Malaysia Insurans Institute, Malaysian Insurans dan Takaful Brokers Association, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Automobil Association of Malaysia serta wakil Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.

Persidangan meja bulat

Katanya, persidangan meja bulat itu akan diadakan dalam dalam tempoh sebulan bagi mengutip pandangan sekaligus mencari jalan penyelesaian berhubung masalah yang dihadapi oleh pemilik kenderaan berkenaan.

"Apabila bajet dibentangkan pada pertengahan Oktober ini, saya akan bawa perkara ini kepada pihak kerajaan, untuk kerajaan bertindak segera agar mereka mendapat skim atau polisi insurans yang mereka mampu membayar untuk mendapat perlindungan kepada kenderaan mereka," katanya.

Salahudin berkata kerajaan perlu mempunyai satu polisi yang jelas terhadap dasar automotif negara dan dasar insurans agar tidak meletakkan beban kepada rakyat.

"Kalau kerajaan nak ikut Singapura, kereta (yang digunakan selama) selama 10 tahun, kemudiannya dibuang. Jadi kerajaan (kena) ada satu mekanisme, berapa peratus akan diberikan kepada rakyat, untuk rakyat mendapat kereta yang baru.


"Kerajaan kena ada penyelesaian ini. Satu penyelesaian yang konstruktif yang kerajaan boleh terima (oleh rakyat)," tegasnya.

** Ini adalah salah satu usul DPPKM ke Muktamar DPPNK dan DPPP

2 comments:

Anonymous said...

Insurans jadi mahal ni sebab syarikat yg repair kereta eksidenlah. Dorang ni claim melampau2, eksiden sikit, claim sampai habis NCD, tukar barang terpakai tapi claim baru dgn syarikat insurans, ada yg rosak sikit tapi bila sampai kedai claim, dorang sengaja rosakkan lagi bagi lebih teruk supaya dapat claim lebih banyak. Yang ni saya lihat sendiri kat kereta bapa saudara saya, masa eksiden sikit je kena, tapi bila pegi tengok kat kedai insurans, bertambah banyak pulak benda yang rosak. Bila syarikat insurans rugi, dorang pulak charge extra kat pengguna

Anonymous said...

Insurans jadi mahal ni sebab syarikat yg repair kereta eksidenlah. Dorang ni claim melampau2, eksiden sikit, claim sampai habis NCD, tukar barang terpakai tapi claim baru dgn syarikat insurans, ada yg rosak sikit tapi bila sampai kedai claim, dorang sengaja rosakkan lagi bagi lebih teruk supaya dapat claim lebih banyak. Yang ni saya lihat sendiri kat kereta bapa saudara saya, masa eksiden sikit je kena, tapi bila pegi tengok kat kedai insurans, bertambah banyak pulak benda yang rosak. Bila syarikat insurans rugi, dorang pulak charge extra kat pengguna