Thursday, April 28, 2011

DPPKM SOKONG TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG KEKAL PRESIDEN



PAS Kedah akan terus menyokong dan mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden dalam pemilihan parti itu Jun ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Abdul Hadi adalah orang yang paling layak memimpin PAS ketika ini kerana berjaya membawa banyak perubahan kepada parti.

pas muktamar 130610 abdul hadi awang"Beliau telah membawa kejayaan besar kepada PAS. Di bawah beliau, kita dapat menawan Kedah...kita juga dapat mengekalkan Kelantan. Beliau juga berjaya meyakinkan ahli-ahli untuk bekerjasama dan berganding bahu di bawah Pakatan Rakyat.

"Dulu kita susah nak bekerjasama dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat," kata menteri besar Kedah itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Alor Star hari ini.

Ditanya sama ada beliau berhasrat bertanding jawatan tertinggi parti dalam pemilihan itu, Azizan berkata beliau menyerahkan kepada anggota parti untuk mencalonkannya bagi sebarang jawatan.

"Saya pernah jadi naib presiden tetapi kemudian pemilihan lepas saya tak bertanding. Saya hanya tunggu orang calonkan saya untuk saya bertanding," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan pemilihan kali ini akan menyaksikan pertandingan sengit, Azizan berkata pemilihan dalam PAS sengit sejak
dahulu lagi tetapi kurang mendapat perhatian media.

Beliau turut menafikan wujud kem dalam PAS berdasarkan keadaan semasa yang membayangkan banyak individu mahu merebut jawatan tertinggi dalam parti itu.

"Setakat yang saya tahu..tak ada kem-kem dalam PAS. Tapi kalau di luar pengetahuan saya, saya tak tahulah," katanya.

Wednesday, April 27, 2011

MB KEDAH AKAN HADIRI HIMPUNAN 30K PERKASA?

ALOR SETAR – Rakyat Kedah digemparkan dengan sistem pesanan ringkas (SMS) menyatakan Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak akan hadir ke Perhimpunan PERKASA di Stadium Suka Menanti 30 April ini.

SMS itu adalah seperti berikut, “Perhimpunan Melayu Kedah…pada 30April 2011 jam 3.00 petang di Stadium Suka Menanti Alor Setar, datang beramai. Kita gabungkan tiga pemimpin besar Melayu di satu pentas, YBhg Tun Mahathir, YAB Ustaz Azizan, YB Ibrahim Ali. DEMI KEDAULATAN MELAYU.”

Setiausaha akhbar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan, Helmi Khalid berkata, hebahan itu adalah tidak benar sama sekali dan Menteri Besar langsung tidak terlibat dengan perhimpunan ini.

Hebahan ini secara tempiasnya juga untuk menjatuhkan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan dan sebagai propaganda pembangkang mengaitkan beliau dengan PERKASA.

“Ustaz Azizan tak akan hadir sama sekali untuk sertai perhimpunan itu dan ini adalah taktik pembangkang untuk kaitkan beliau dengan PERKASA.

“Diminta rakyat jangan percaya dengan propaganda ini,” ujar beliau ketika dihubungi untuk mengulas isu ini.

Setiausaha politik YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor turut menafikan hebahan ini.

“Tajuk perhimpunan itu adalah Perpaduan Melayu Teras Kesejahteraan Negara, jadi mereka guna nama Ustaz Azizan untuk tarik orang ramai datang, ataupun jika beliau tak hadir maka isu lain timbul seperti Ustaz Azizan tak sokong Melayu, kalau hadir pun ada isu juga,” jelas beliau.

Ekspo Perdagangan Melayu PERKASA Kedah bertemakan Perpaduan Melayu Teras Kesejahteraan Negara akan diadakan pada 29 April hingga 30 April di Stadium Suka Menanti dan ucaptama perhimpunan disampaikan oleh mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohammad.

Sumber : Warta Darul Aman

Tuesday, April 26, 2011

HENTIKAN MEMPERBODOHKAN MINDA MELAYU



KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

26 April 2011 (Selasa)
Hentikan membodohkan minda melayu

Hari ini selasa 26hb April 2011, tajuk utama media cetak berbahasa Inggeris, New Straits Times memaparkan berita “Nasi lemak twice a week”. Akhbar The Star pula memaparkan berita “Deadly illegal – Growing trade in illicit cigaretts costing Govt billion”. Akhbar bebahasa Manderin seperti China Press dan Sin Chew pula memaparkan berita risiko suntikan menguruskan badan. Akhbar berbahasa tamil pula menceritakan tokoh agama yang cukup berpengaruh meninggal dunia.

Malangnya tajuk berita utama media cetak berbahasa Melayu, Utusan Malaysia memaparkan tajuk utama “Anwar Lelaki Y”, Berita Harian “Lelaki Y Anwar” dan Sinar Harian “Anwar Lelaki Y”. Akhbar bahasa Melayu mejoritinya mengambil kes liwat 2 Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tajuk utama. Apakah yang menjadi keutamaan kepada berita ini? Bukankah ia menceritakan keaiban orang Islam yang cukup meloyakan? Bukankah cerita seumpama itu sangat tidak sesuai dengan anak-anak sekolah? Bukankah cerita tersebut belum lagi diputuskan oleh mahkamah tetapi hanya dakwaan pihak pendakwa sahaja? Soalnya mengapa ia menjadi tajuk utama? Apakah agenda disebalik isu tersebut ?

Tiada halangan jika berita aib dan meloyakan ini dimasukkan dalam berita kecil dalam akhbar seperti New Strait Time yang memuatkan dalam muka surat 6 dan The Star dalam muka surat 10. Tetapi apabila tajuk liwat diletakkan berkali-kali sebagai tajuk utama maka sebenarnya media berbahasa Melayu seolah-olah mendoktrinisasi minda orang-orang Melayu dengan isu seks. Sebahagian besar pembaca media Utusan Melayu, Berita Harian dan Sinar Harian adalah kelompok orang Melayu berpendidikan rendah dan tinggal di pinggir dan luar bandar. Sesetengah daripada mereka tidak berpeluang mendapat pendedahan terhadap media baru.

Saya fikir lebih wajar media arus perdana berbahasa melayu meletakan tajuk utama mengenai dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Orang Melayu sudah berdepan dengan masalah sosial khususnya anak muda yang terlibat dengan masalah seks bebas, dadah, arak, anak luar nikah, sumbang mahram, VCD lucah dan lain-lain lagi. Akhbar berbahasa Melayu seolah-olah kurang sensitif terhadap isu sosial yang sedang dihadapi oleh orang Melayu sekarang.

Secara umumnya media berbahasa Inggeris, Manderin dan Tamil yang pembacanya terdiri daripada kelompok Melayu kelas menengah ke atas, masyarakat Cina dan masyarakat India tidak dihidangkan dengan cerita aib dan meloyakan seperti media berbahasa Melayu. Secara perbandingannya seolah-olah mereka dihidangkan dengan isu-isu yang lebih bertamadun daripada kelompok masyarakat Melayu berpendidikan rendah. Saya memohon agar media arus perdana berbahasa Melayu menghentikan agenda membodohkan minda orang-orang Melayu ini. Sudah cukuplah penjajah membodohkan orang Melayu lebih 400 tahun. Hidangkanlah minda semua rakyat Malaysia dengan perkara yang segar dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.

Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat.
(019 728 5174)

FOMCA & PPIM BANTAH e-Mel 1 MALAYSIA

SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan mengkaji semula projek e-mel 1Malaysia kerana dikhuatiri membazirkan dana wang rakyat.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah berkata, kekeliruan timbul dalam isu itu kerana tiada faedah tertentu kepada rakyat sekiranya e-mel baru ini dibuat

“Kita berharap pembaziran wang rakyat tidak berlaku lagi seperti mana projek WauMail yang telah digodam pada 2001.

“Sebarang pembiayaan oleh kerajaan yang menggunakan wang rakyat perlu dilakukan dengan telus dan penjelasan terperinci mengenai pembangunan yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata, projek itu dijangka memberi implikasi kepada rakyat kerana tahap keselamatan dan kemampuan email itu masih di khuatiri.

“Mengapa perlu diwujudkan e-mel baru se:dangkan rakyat kin:i mempunyai e-mel persendirian yang selamat dan efektif melalui laman sesawang lain dalam Internet, ”katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, kerajaan sepatutnya memberi projek e-mel yang dicadangkan itu kepada syarikat Telekom Malaysia Bhd berdasarkan keupayaannya mengendalikan pelbagai perkhidmatan Internet.

“Kepakaran Telekom Malaysia tidak diragui kerana berjaya menghasilkan perkhidmatan seperti Uni-fi, wi-fi dan lain-lain,” katanya.

Sunday, April 24, 2011

SUKANEKA PASTI MERBOK 2011









Kehebatan peserta-peserta cilik mengambil bahagian dalam acara sukan serta gelagat ibubapa yang tidak jemu-jemu memberi sokongan memeriahkan lagi acara sukaneka Pasti Merbok 2011 pada 23 April 2011, hari Sabtu baru-baru ini .Majlis dirasmikan oleh Adun Tanjung Dawai, Dato' Dr Hamdan Khalib. Ribuan terima kasih kepada pihak tuan rumah, Pasti Ibnu Sina (Tmn Ria Jaya) dan pihak surau yg bertungkus lumus menyediakan prasarana/makanan pada hari tersebut.

Ucapan tahniah dan penghargaan juga buat Majlis Guru Pasti (MGP) dan Dewan Pemuda Pas Kawasan Merbok yang bekerjasama menjayakan acara sukan yang penuh gemilang ini. Dan sekali lagi....jutaan terima kasih buat para ibubapa yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan kepercayaan kepada Pasti Merbok...!!

KENAPA PAS DIKRITIK?

Kenapa PAS dikritik pedas oleh beberapa orang penulis, penganalisis politik dan juga blogger sejurus selepas kegagalan parti menawan sebarang kerusi di Sarawak?

“Kerana kekecewaan yang amat sangat terhadap sistem politik negara, berleluasanya rasuah, salah tadbir, salahguna kuasa dan perlanggaran undang-undang dan peraturan yang terang-terang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, maka lahirnya pelbagai kritikan pedas beberapa penulis, penganalisis politik dan blogger terhadap PAS.

“Barangkali inilah juga yang menyebabkan terlahirnya pandangan pedas daripada Dr Aziz Bari, kerana keinginan melihat Barisan Nasional tumbang hari ini dan terlahirlah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang lebih baik,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas kritikan penganalisis politik, Dr Abdul Aziz Bari terhadap PAS dan Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata besar kemungkinan kerana Aziz lebih “menyayangi” (menaruh harapan tinggi) PAS serta kegagalan parti dalam beberapa pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri Sarawak dan didorong dengan kebosanan yang meluap-luap terhadap Barisan Nasional, Aziz telah mengkritik PAS dan Hadi sejurus kegagalan parti untuk menawan sebarang kerusi Dun di Bumi Kenyalang.

“Beliau tidak menyerang DAP atau PKR mungkin kerana beliau lebih sayangkan PAS berbanding parti lain.

“Sebagai seorang yang amat pakar dan matang dalam analisa politik negara, sebagai contoh, beliau tentu faham akan impak politik yang terpaksa dihadapi oleh PAS dan PKR di kawasan majoriti Melayu dan Islam apabila Umno dan BN memainkan isu perkauman, justeru Baru Bian diumumkan akan dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang.

“Akan tetapi, mungkin kerana kebosanannya kepada BN yang meluap-luap - sehinggakan beliau merasakan bahawa PAS tidak sepatutnya kalah dalam pertandingan ini. Apabila kita tewas, sudah tentu beliau kecewa kerana harapan tingginya pada PAS,” terangnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga menjelaskan adalah mudah untuk Tuan Guru Abdul Hadi menjadi tumpuan pengkritik apabila parti tidak dapat mencapai apa yang dihajatkan, namun beliau menasihatkan supaya para pengkritik turut menghargai jasa yang ditumpahkan oleh mereka dalam perjuangan PAS dan memberi cadangan penambaikan agar mereka yang tercedera tidak tersinggung dan mereka yang masih belum hilang kepenatan akan berasa sedikit terhibur.

“Tentulah mereka yang bertungkus-lumus berusaha untuk memenangi sebuah perjuangan tidak akan sama dengan mereka yang membuat ulasan selepas mengetahui keputusan,” katanya.

Tambahnya, penasihat yang baik ialah mereka yang mencadangkan sesuatu sebelum berlaku, dan pengkritik yang mengulas sesuatu selepas berakhir sesuatu pilihan raya dengan menyatakan, ‘sekiranya itu dan sekiranya ini’ walaupun penting, namun sudah tentu tidak banyak membantu jika dibandingkan dengan seorang penasihat.

“Yang pasti kritikan itu lahir kerana keghairahan yang tinggi untuk melihat tumbangnya BN,” ulasnya secara positif.