Wednesday, April 27, 2011

MB KEDAH AKAN HADIRI HIMPUNAN 30K PERKASA?

ALOR SETAR – Rakyat Kedah digemparkan dengan sistem pesanan ringkas (SMS) menyatakan Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak akan hadir ke Perhimpunan PERKASA di Stadium Suka Menanti 30 April ini.

SMS itu adalah seperti berikut, “Perhimpunan Melayu Kedah…pada 30April 2011 jam 3.00 petang di Stadium Suka Menanti Alor Setar, datang beramai. Kita gabungkan tiga pemimpin besar Melayu di satu pentas, YBhg Tun Mahathir, YAB Ustaz Azizan, YB Ibrahim Ali. DEMI KEDAULATAN MELAYU.”

Setiausaha akhbar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan, Helmi Khalid berkata, hebahan itu adalah tidak benar sama sekali dan Menteri Besar langsung tidak terlibat dengan perhimpunan ini.

Hebahan ini secara tempiasnya juga untuk menjatuhkan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan dan sebagai propaganda pembangkang mengaitkan beliau dengan PERKASA.

“Ustaz Azizan tak akan hadir sama sekali untuk sertai perhimpunan itu dan ini adalah taktik pembangkang untuk kaitkan beliau dengan PERKASA.

“Diminta rakyat jangan percaya dengan propaganda ini,” ujar beliau ketika dihubungi untuk mengulas isu ini.

Setiausaha politik YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor turut menafikan hebahan ini.

“Tajuk perhimpunan itu adalah Perpaduan Melayu Teras Kesejahteraan Negara, jadi mereka guna nama Ustaz Azizan untuk tarik orang ramai datang, ataupun jika beliau tak hadir maka isu lain timbul seperti Ustaz Azizan tak sokong Melayu, kalau hadir pun ada isu juga,” jelas beliau.

Ekspo Perdagangan Melayu PERKASA Kedah bertemakan Perpaduan Melayu Teras Kesejahteraan Negara akan diadakan pada 29 April hingga 30 April di Stadium Suka Menanti dan ucaptama perhimpunan disampaikan oleh mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohammad.

Sumber : Warta Darul Aman

No comments: