Monday, May 16, 2011

SELAMAT HARI GURU

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA~ Tema Hari Guru 2011.

Teratai Melati Melur Dan Mawar,
Bunga-Bungaan Harum Dan Wangi;
Guru Laksana Pelita Pelajar,
Penyuluh Kegelapan Penerang Hati.


16 MEI ~ Tarikh keramat buat Guru.Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Oleh itu, tanggal 16 Mei setiap tahun, warga guru diraikan dalam sambutan hari guru bagi menghargai dan mengenang jasa mereka yang mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Sememangnya guru adalah insan mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan olej Anas bin Malik r.a. :Maksudnya : "

Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan".


Sirah Rasulullah s.a.w. juga memaparkan kepada kita bahawa disamping menjadi guru, baginda s.a.w. juga adalah merupakan pelajar yang sentiasa menerima didikan dan asuhan dari Allah s.w.t, lantaran itu guru adalah sebagai pendidik dan pada masa yang sama guru juga merupakan pelajar yang sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan selaras dengan perkembangan semasa. Budaya menuntut ilmu sepanjang hayat seharusnya dihayati oleh setiap guru dan segenap lapisan masyarakat

Tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga mendidik anak bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat.Maka, dalam merialisasikan harapan yang tinggi ini, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam era pendidikan. Contohnya masalah gejala sosial dikalangan pelajar yang semakin parah, harapan yang mengunung daripada masyarakat kepada guru, sikap sebahagian ibu bapa yang menyerahkan tugas mendidik bulat-bulat kepada guru adalah merupakan cabaran semasa para guru. Namun biar sejuta cabaran mendatang, biar sejuta rintangan menghalang, bagi mereka yang bergelar guru tetap memikul tanggungjawab dengan penuh sabar dan tabah

Sekiranya kita berjaya mendidik anak-anak bangsa menjadi manusia yang berilmu, maka sudah tentu kita dapat melihat dan melahirkan wajah pemimpin negara dimasa akan datang. Sebagaimana seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah :Maksudnya : " Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang "


Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok (DPPKM) mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua insan yang menjadi pendidik bagi seluruh lapisan masyarakat. Semoga pengorbanan dan jasa kalian akan dinilai sebagai amal kebaikan di hadapan Rabbul Jalil nanti.

No comments: