Tuesday, June 28, 2011

HIKMAH PERISTIWA ISRAK & MIKRAJ

Bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya pertemuan dengan bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan al-mubarak. Namun, di penghujung Rejab yang mulia ini, kita terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa yang besar dan bermakna bagi seluruh umat. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan.

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.

Sungguhpun peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.

Israk bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’: 1).

Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.” (Q.S. An-Najm: 13-18).

Oleh itu, Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratulmuntaha. Pada mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa Alaihi Salam di langit keenam, Muhammad SAW menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan terlalu sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan itu. Ia pun kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sampai 9 kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi hanya 5 kali sehari semalam.

Adapun waktu-waktu solat yang telah ditentukan itu ialah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya. Waktu mengerjakan solat berkenaan diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Q.S. Hud: 114).

Bulan Rejab tahun ke-11 dari kerasulan baginda SAW, disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini berikutan dengan dua musibah berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu kehilangan dua insan tersayang berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang tercinta, yang kemudian disusuli pula dengan pemergian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraisy.

Musibah yang menimpa itu berpengaruh besar terhadap diri Rasulullah. Lantas Nabi merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan yang sedemikian mendorong Rasulullah untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Malangnya, segala harapan baginda hancur berkecai kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi, malah Nabi dicaci, dihina hatta dianiaya.

Lalu, Rasulullah kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa tanpa hasil. Dan dalam hal keadaan menanggung kesedihan dan kehampaan, Allah menganugerahkan Israk Mikraj, yang antara lain bertujuan menghibur dan mempertebal iman Nabi SAW.

Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati. Antara pengajaran berguna tersebut ialah:

1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.

2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.

3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.

4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

5. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.

Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru itu, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan tidaklah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), selain dari kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengatahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Monday, June 27, 2011

masih ingat dak lagiiii.......????!!!

Tarikh keramat 10 nov 2007...suatu hari 'peristiwa' yg tidak dapat dilupakan...

Saturday, June 25, 2011

WAJIB DENGAR !!!

"Hadirlah ke Himpunan Aman BERSIH nanti sebagai insan yang ikhlas ,sabar dan bertaqwa......." Us Zainal Asri b. Hj Ramly -S/U DUPNK.

Inilah adalah petikan ucapan beliau dalam Seminar Kepimpinan PAS Kawasan Merbok pada pagi tadi.

CERAMAH POLITIK












Penceramah : YB Salahuddin bin Ayub (Naib Presiden PAS)
YB Dato' Dr Hamdab bin Mohamed Khalib(YDP PAS Kawasan Merbok)
Ustaz Rodhi bin Abu Bakar
Tarikh : 1 Julai 2011
Tempat : Markaz PAS Pantai Cicar
Masa : 9 malam
Muslimin/muslimat dijemput hadir

Thursday, June 23, 2011

UST FADZIL DALAM INGATAN

Hari ini genap 8 tahun pemergian almarhum Ust Fadzil Noor. Ust Fadzil telah menuju ke tempat rehat di sisiNya pada 23 Jun 2002, di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi.
Jenazah pejuang sejati ini telah disemadikan di bumi barakah Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah. Tempat ini menjadi pilihan kerana telah diwasiatkan oleh almarhum sendiri.

Sudah pastinya tidak ada ahli PAS yang tidak merindui Ust Fadzil. Muktamar PAS Pusat yang baru sahaja berlangsung awal bulan lalu, sentiasa mengingatkan para perwakilan dan para hadirin kepada semangat dan jasa almarhum.

Himpunan BERSIH yang bakal berlangsung 9 Julai nanti juga mengingatkan kita kepada almarhum. Ust Fadzil juga sentiasa bersama dengan ahli dan penyokong PAS dalam setiap demonstrasi aman yang telah diadakan sebelum ini jika beliau tiada keuzuran.

Untuk menyingkap kembali sejarah hidup dan kisah-kisah perjuangan beliau, ia pasti akan menyentuh jiwa setiap ahli PAS yang sedang menyambung perjuangan yang telah ditinggalkannya.

Ingatan terhadap almarhum Ust Fadzil tak pernah luput dari ingatan dan jiwa para pejuang Islam di Malaysia.

Doa kami, semoga ustaz terus damai di sana. Kami akan menyusul ustaz setelah perjuangan kami di sini diterima oleh Rabbul Jalil.

Wednesday, June 22, 2011

Munajat Perdana sempena himpunan aman Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Dewan Ulama PAS Pusat menyeru diadakan Munajat Perdana di seluruh negara sempena himpunan aman Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini.

“Sempena himpunan aman Bersih 2.0 yang insya Allah akan diadakan 9 Julai ini, maka Dewan Ulama PAS Pusat menyeru supaya seluruh pendukung PAS pimpinan, ahli dan penyokong mengadakan munajat perdana secara besar-besaran di stadium, padang-padang, markaz atau di mana-mana lokasi yang sesuai,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Nazmi Nik Din dalam satu kenyataan.

Katanya, Dewan Ulama setiap negeri diberikan tugas untuk menggerakkan dan merealisasikan ketetapan itu.

“Seluruh ahli dan pendokong PAS diseru supaya berdoa dan memohon kepada Allah SWT dengan rasa rendah diri dan tawadhuk di atas luar keupayaan kita untuk menghadapi tipu daya dan kejahatan oleh pihak-pihak tertentu yang mencemarkan proses pilihan raya di negara ini.

“Sebelum ini kita telah mendengar pelbagai penyelewengan yang telah berlaku untuk mengkhianati suara rakyat yang mahukan perubahan terhadap negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku di Terengganu dalam pilihan raya tahun 2004 menyedarkan kita bahawa BN Umno sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan survival mereka terus kekal di Malaysia.

Manakala baru-baru ini, ujarnya kita telah dikejutkan dengan laporan yang menyatakan bahawa terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba menyalahgunakan pendatang-pendatang asing untuk mencemarkan kemurniaan dan ‘kebersihan’ pilihan raya di negara ini.

Dewan Ulama, katanya tidak akan merelakan perkara daripada terus berlaku di bumi Malaysia ini.

Beliau menambah, Dewan Ulama akan menggunakan keupayaan yang syarie dan berlandaskan undang-undang negara untuk menjadi benteng bersama sayap yang lain untuk mempertahankan kemurniaan ini.

Jelasnya, Dewan Ulama tidak akan membiarkan mana-mana pihak tertentu samada parti atau NGO untuk menangguk di air yang keruh bagi merosakkan hubungan yang harmoni di antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini.

“Dewan Ulama insya Allah akan memastikan agar himpunan Bersih 2.0 menjadi platform dan simbol perpaduan dan kesatuan rakyat dari pelbagai latar belakang,” ujarnya.


Haa tunggu lagi Ustaz Zahir, keluarkan arahan lekas..

Tuesday, June 21, 2011

Amaran pada Perkasa, Pemuda PAS jadi perisai

KUALA LUMPUR, 20 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memberi amaran kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan ahli-ahli pertubuhan itu agar menghentikan tindakan samseng mereka dan ugutan kepada rakyat Malaysia khususnya kalangan bukan Melayu yang mahu menyertai Himpunan Bersih 2.0.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor menegaskan, Pemuda PAS bersedia menjadi perisai kepada rakyat pelbagai kaum yang hadir dalam perhimpunan Bersih 2.0 sekaligus menolak sebarang tindakan provokatif yang cuba diadakan oleh Perkasa untuk menimbulkan suasana tegang dan huru-hara.

DPPP, katanya kesal dengan risalah perkauman yang diedarkan Perkasa yang menyebut "Awas!!! Ambiga Wanita Hindu yang Merbahaya".

“Ini sudah melampau dan jelas satu penghinaan kepada Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dan kaum lain,” tegasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

DPPP juga, ujarnya kesal kerana Ibrahim dalam ucapannya di Kelab Sultan Sulaiman turut memberikan amaran kepada Kaum Tionghua supaya membeli makanan tambahan untuk disimpan di rumah jika Himpunan Bersih 2.0 tidak dihentikan kerana Perkasa akan lakukan apa sahaja bagi menghentikannya.

“Mereka mahu lakukan apa? Pukul orang India, pecah rumah dan kedai orang Cina? Bakar rumah ibadat? Atau pijak kepala babi dan lembu di Dataran Merdeka?” soalnya.

Soalnya lagi, siapa Perkasa yang mahu melawan kebangkitan rakyat.

Tambahnya, apa tujuan mereka membuat ugutan kepada kaum bukan Melayu kerana negara ini milik semua dan rakyat berhak turun ke jalan raya untuk menyatakan tuntutan mereka secara aman.

Katanya, DPPP yakin bahawa Perkasa bekerja untuk Umno yang kini terdesak untuk menahan asakan Bersih 2.0.

Mereka, ujarnya memperkudakan Ibrahim dan ahli mereka dalam Perkasa untuk mewujudkan suasana huru hara.

Menurutnya, Perkasa cuba mengumpan supaya pihak polis membuat tangkap awal termasuk mengunakan akta ISA, malah mereka cuba mencabar polis untuk menangkap pemimpin mereka sendiri sebagai korban untuk menunjukkan keadilan polis dalam bertindak, walhal yang mahu membuat huru hara adalah pelampau Perkasa sendiri.

Beliau berkata, DPPP melihat Perkasa cuba untuk mewujudkan 13 Mei kedua, mereka mahu Operasi Lalang berulang.

Tambahnya, ugutan-ugutan ekstrim mereka menunjukan bahawa mereka memang kumpulan pelampau yang wajar diambil tindakan oleh pihak polis.

“Kenapa pihak polis berdiam bila Perkasa membuat ugutan?” tanya beliau.

Beliau mengharapkan polis tidak menutup mata dan telinga hanya kerana Perkasa melaungkan slogan yang kononnya mahu membantu Menteri Dalam Negeri di dalam menghadapi Bersih 2.0.

Pemuda PAS, katanya memberikan jaminan kepada orang-orang Melayu dan bukan Melayu bahawa Himpunan Bersih 2.0 akan berjalan dengan aman dan selamat.

Beliau mengingatkan semua peserta dilarang membawa sebarang senjata atau melakukan kerosakan dan provokasi.

Menurutnya, peserta Bersih 2.0 yang akan hadir diminta menghormati peniaga dan penduduk Kuala Lumpur serta menjaga kebersihan sepanjang himpunan berlangsung.

“Ayuh semua rakyat, semua anak muda. Jangan hirau, jangan takut pada pelampau Perkasa.

“Tunjukan kuasa rakyat, bersama kita perkukuhkan desakan rakyat untuk memastikan Pilihanraya Bersih dan Adil dilaksanakan di negara ini,” katanya.

Sunday, June 19, 2011

PRU 13 PADA NOVEMBER 2011?

TUMPAT, 18 Jun: Bayangan pilihan raya umum (PRU) ke-13 semakin hampir sekarang apabila Perhubungan Umno Negeri-Negeri difahamkan sudah diarah membuat persiapan.

Teki teka tarikh yang disebut banyak pihak sebelum ini iaitu November 2011 mungkin ada asasnya, memandangkan ketika itu Perdana Menteri baru selesai membentang Bajet 2012.

Bajet ‘gula-gula’ kepada penjawat awam dan beberapa kumpulan sasar lain dikatakan bakal menjadi modal bagi memancing hati rakyat.

Selain itu Perhimpunan Agung Umno juga selesai diadakan pada Oktober. Kemungkinan selepas Hari Raya Haji. Di pantai timur pula musim tengkujuh.

Malah Datuk Seri Najib Razak juga sudah mengadakan majlis pertunangan anaknya Nooryana Najwa dengan Daniyar Nazarbayev, kerabat kepada Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.

Majlis pertunangan secara inklusif itu dikatakan diadakan di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam. Ada laporan mendakwa majlis itu membabitkan kos agak tinggi.

Satu sumber menyebut pilihan angka 11 masih tidak dapat dipisahkan dengan Najib biar pun rakyat mulai meluah rasa tidak senang terhadap kepemimpinannya sekarang.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) kini hanya bergantung sepenuhnya kepada jentera kerajaan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pasukan keselamatan bagi mengekalkan kuasa.

Ini dibuktikan projek khas yang dikatakan dilaksana agensi kerajaan terutamanya JPN dan SPR di Selangor hampir selesai.

”Umno akan menggunakan apa cara sekali pun bagi memastikan Selangor dapat dirampas kembali pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

”Projek itu tidak mampu dihalang lagi kerana mana-mana pegawai kerajaan pusat di Selangor yang kurang memberi kerjasama ditukar,” katanya di sini.

Kaedah terbabit pernah diguna di Terengganu pada PRU 2004, di mana peratusan keluar mengundi hampir 100 peratus. Kemungkinan besar ia berulang di Selangor.

Keberkesanan kaedah tersebut menjadi senjata akhir di Selangor pada PRU ke-13 nanti, biar pun agak sukar di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Ini dapat dilihat apabila pembongkaran media oposisi mengenai sindiket mendaftar penduduk Sabah mengundi di Selangor begitu aktif dilakukan awal tahun ini dengan kerjasama rapat JPN dan SPR.

Malah penafian berulang kali menteri dan pemimpin Umno mengenai sindiket terbabit tidak mampu merungkai persoalan.

Suhu kemarahan rakyat mulai kelihatan ekoran kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus. Aada pengguna terpaksa membayar bil baru dengan kenaikan sehingga lebih 100 peratus.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, biar pun kenaikan tarif baru elektrik diumumkan mulai 1 Jun lalu, namun ada pengguna sudah menerima bil baru mencatat kenaikan begitu tinggi.

”Ada pengguna yang sebelum ini menerima bil elektrik sekitar RM250 sebulan sekarang menerima bil baru sehingga RM500. Sedangkan belum sampai sebulan tarikh kenaikan berkuatkuasa,” katanya.

Berucap merasmikan pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Tumpat di Pantai Sri Tujuh dekat sini malam tadi katanya, rakyat sudah merasai kesan kenaikan tarif elektrik sekarang.

Hadir sama pada program itu Yang Dipertua PAS Tumpat, Datuk Ahmad Yakob, timbalannya, Mohd Zaki Ibrahim, Naib YDP, Che Abdullah Mat Nawi, anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rusdi Wan Ibrahim.

Program tersebut bermula dengan solat Maghrib diikuti solat hajat dan Isyak. Setiap unit peti undi PAS di Tumpat menghantar seramai 15 petugas.

Amarah rakyat dijangka berganda tahun hadapan apabila banyak lagi kesan sampingan dirasai.

Bagi mengelaknya, November depan merupakan masa terbaik selepas kemarahan rakyat disejuk dengan Bajet yang menghidangkan pelbagai janji.


(Ikuti analisis lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran depan)

Thursday, June 16, 2011

Pemuda PAS kutuk Utusan hina hukum Allah

Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka mengutuk Utusan Malaysia kerana dengan terang-terang menghina dan mempersenda hukum Islam.

Ruangan kartun yang disiarkan oleh akhbar itu hari ini jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Aizat Baharuddin berkata, tindakan akhbar tersebut jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya daripada Allah.

"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam di tuduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan 4 orang saksi yang tidak fasiq,” katanya.

Namun, katanya dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam.

Tambahnya, ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa 4 orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.

Katanya lagi, kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis.

Aizat berkata tidak hairanlah apabila khutbah Jumaat di Selangor mengenai tentang qazaf dan fitnah, pemuda Umno pula buat laporan, kononnya agama politikkan.

“Mereka sebenarnya mahu membiarkan orang menjadi jahil dan buta agama seperti mereka.

"Inilah akibatnya apabila akhbar menjadi alat Umno. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda,” katanya.

Tegasnya, Utusan Malaysia perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam.

“Janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri," katanya.

Wednesday, June 15, 2011

MP BUKIT BENDERA : AKHIRNYA IMPIAN FADZIL NOOR TERCAPAI

Selepas pimpinan PAS mengumumkan Dokumen Negara Islam pada 2003, setelah dicabar oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad, ia menjadi salah satu faktor utama parti itu tewas teruk dalam pilihan raya umum 2004.

Daripada 27 kerusi Parlimen yang dimenanginya dalam PRU 1999, PAS hanya mampu kekalkan 6 kerusi Parlimen. Banyak pihak mengatakan PAS kehilangan undi bukan sahaja dari kalangan bukan Islam tetapi juga dari orang Melayu yang dikatakan “resah” dengan konsep negara Islam parti itu.

Sebenarnya Dokumen Negara Islam 2003 adalah kosep yang berlawanan dengan cadangan asal yang dibawakan oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor selaku Presiden PAS, sejak 2001 dalam bentuk Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia – Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21.

Di antara Disember 2001 dan Mac 2002, draf empat muka surat telah dibincangkan oleh sabahat-sabahat PAS termasuk aktivis NGO yang kemudiannya dibawakan oleh Fadzil dalam muktamar PAS ke-48 di Kota Bharu, Kelantan pada Mei 2002.

Fadzil yakin memorandum itu yang masih dalam peringkat persediaan itu mampu mencari titik pertemuan pelbagai peradaban, kepercayaan dan pegangan politik rakyat. Baginya, sifat pemerintahan Islam perlu ada syura, pemilihan dan demokrasi kerana pembinaan negara mesti berpaksikan kepada akhlak dan sistem nilai yang tinggi bertunjangkan sistem kepercayaan yang benar.

Beliau turut menjelaskan bahawa pentadbiran yang dicita-citakan PAS ialah yang mendukung kedaulatan undang-undang serta menekankan aspek khidmat dan kebajikan sehingga melahirkan “Negara Berkebajikan” yang diharapkannya dapat memakmurkan negara dengan kebajikan serta mengelakkan kerosakan, pembaziran dan kemusnahan.

Tujuh perkara asas dalam Memorandum itu adalah:

● Masyarakat madani

● Hak saksama (al-musaawah)

● Kedaulatan undang-undang berasaskan syariah yang luas makna dan ruang lingkupnya

● Keadilan (al-‘adalah)

● Meritokrasi (as-solahiyah)

● Negara berkebajikan

● Pentadbiran dinamik dan inovatif

Sayangnya, Fadzil meninggal dunia tidak lama selepas muktamar itu, pada 23 Jun 2002, yang mengakibatkan Memorandum itu tidak lagi menjadi keutamaan PAS.

Namun begitu, sebulan selepas perginya Fadzil, PAS menyusun semula Memorandum itu untuk dibincangkan bersama dengan rakan-rakan seperjuangan di luar parti di mana tujuh perkara asas dikekalkan dengan huraian yang lebih panjang.

Apa yang mengejutkan ialah satu dokumen yang berlainan sama sekali telah dikeluarkan pada November 2002 atas nama Dokumen Negara Islam yang direstui oleh Majlis Syura Ulama PAS.

Dokumen itu juga mempunyai tujuh prinsip, seperti mana Memorandum, tetapi ia berbeza dalam banyak segi.

Tujuh perkara asas Dokumen itu ialah:

● Negara undang-undang di mana dijelaskan bahawa hudud, qisasa dan takzir akan dikenakan kepada orang Islam sahaja tetapi yang bukan Islam boleh memilih sama ada menerima hukum itu atau common law

● Sistem khilafah di mana pemerintah mesti melaksanakan hukum Islam, jika tidak mereka dianggap pengkhianat amanah Allah

● Takwa

● Sistem syura (concensus) di mana ia akan membincangkan perkara-perkara yang boleh diijtihadkan sahaja, dan tidak boleh dalam hukum-hukum tetap Islam (qat’i)

● Keadilan dan kesamarataan (al-‘adaalah wal musaawaah) yang dijelaskan tidak sama dengan persamaan (equality) dan sama bahagian (fairness)

● Kebebasan (al-hurriyyah) yang tidak boleh bercanggah dengan syara’

● Ketuanan mutlak (as-siyaadah wal haakimiyah) atau sovereignty yang mana hak ketuanan adalah milik Allah dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.

Walau apa pun niat baik pimpinan PAS dalam menyediakan Dokumen ini, persepsi orang ramai terhadapnya telah menyebabkan parti itu ditolak dalam PRU 2004. Ia dlihat sebagai menakutkan orang bukan Islam dan orang Islam yang berpendirian sederhana.

Menjelang 2007 di mana pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lemah telah membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat, ramai pemimpin PAS terutamanya mereka yang bersikap sederhana telah menyertai gerakan-gerakan mobilisasi demokrasi seperti perhimpinan Bersih yang mendesak kerajaan Barisan Nasional supaya telus dan adil dalam pilihan raya.

Pada masa itu juga PAS mula kembali kepada idea asal Fadzil yang mahu parti itu menjadi lebih terbuka dan berarus perdana dalam menarik sokongan rakyat. Ia juga usaha sesetengah pemimpin PAS untuk membuktikan bahawa Islam bukan sempit ajarannya, Islam adalah untuk semua.

Kejayaan besar PAS bersama PKR dan DAP dalam PRU 2008 meyakinkan banyak pihak supaya parti itu berjuang bersama-sama dalam satu gabungan yang kemudiannya dinamakan Pakatan Rakyat.

Dengan adanya barisan baru PAS yang dipilih dalam muktamar PAS ke-57 di Kuala Lumpur hujung minggu lalu, hasrat Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk meluaskan usaha promosi Negara Berkebajikan dilihat akan membuahkan hasil.

Seperti yang dijelaskan oleh Hadi, Negara Berkebajikan adalah konsep yang berteraskan Islam dan boleh diterima oleh semua orang tanpa mengira agama dan kaum. Ini bermakna PAS tetap boleh memperjuangkan agenda Islam yang benar-benar memberi manfaat kepada semua manusia.

Memetik kata-kata Hadi, “Kita mulakan dengan pelaksanaan Negara Berkebajikan. Ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut Negara Islam, ia sebut Negara Berkebajikan”, ia mengingatkan kita semua kepada apa yang diperjuangkan oleh almarhum Ustaz Fadzil untuk membawa imej Islam yang lebih demokratik, inklusif, terbuka dan adil tanpa mengorbankan prinsip perjuangan PAS.

Sejak 2004, PAS telah melalui jalan yang sukar dan penuh berduri. Rasa kurang keyakinan diri di kalangan pemimpin tertentu PAS juga membuatkan mereka serba-salah dengan tawaran UMNO untuk bersatu padu demi perpaduan Melayu.

Sekarang ternyata impian Fadzil sudah menjadi kenyataan. PAS dilihat sudah bersedia untuk kembali dengan penuh komitmen terhadap Pakatan Rakyat, selaras dengan impian Fadzil yang mahu menawarkan alternatif terbaik kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, untuk mengambil alih pentadbiran negara daripada UMNO dan BN. – Roketkini.com



Akhirnya impian Fadzil Noor tercapai - oleh Liew Chin Tong. Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera.

Friday, June 10, 2011

Pemuda PAS Sedia Bendung Rasuah Bolasepak

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Dewan Pemuda PAS kesal insiden buruk sukan rakyat terutama belia iaitu bolasepak kembali tercemar dengan unsur rasuah.

Ini bagi menetapkan keputusan perlawanan yang terjadi di dalam pertandingan Piala Presiden baru-baru ini sebagai berita malang buat rakyat kerana penyakit rasuah yang pernah melanda bolasepak era semi-pro tahun 90-an dahulu kembali merebak.

“Justeru, kami meminta tindakan tegas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di dalam membendung gejala rasuah bolasepak ini,” kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.

Pemuda PAS, katanya juga berhasrat bertemu dengan pihak FAM terutamanya dengan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang sudah menjangkakan insiden intu akan berlaku kembali dalam kancah bolasepak tanah air.

Beliau berharap dengan pelbagai pihak memberikan pandangan nanti akan membentuk satu fomula bagi mengatasi rasuah bolasepak ini.

“Pihak kami menawarkan diri melalui Jabatan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan (DACS) bersedia membantu bersama-sama FAM bagi membasmi gejala rasuah tersebut,” katanya.

Pihak Pemuda PAS, katanya sekali lagi mencadangkan kepada seluruh Persatuan Sukan dalam negara sebagai keperluan menempatkan seorang Kaunselor atau Pegawai Agama dalam setiap bahagian sukan sebagai motivasi jiwa bagi membendung peringkat awal membabitkan seluruh atlet.

Beliau yakin dengan pihak FAM yang pernah berdepan dengan kemelut itu akan mengatasinya secepat mungkin.

“Kami cukup bimbang kerana gejala rasuah kini melanda pemain-pemain belia yang tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

“Kami yakin kaedah yang sama juga kepada orang-orang politik dalam kancah yang sama, tetapi pendekatan yang berbeza boleh dilakukan bagi usaha mencegahnya kepada pemain-pemain sedia ada,” ujarnya.

Tuesday, June 7, 2011

Kabinet baru DPPP

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memenuhkan exconya dengan melantik ramai golongan profesional dalam kabinet yang dibentuknya.

Dewan itu melantik 20 ahli jawatankuasa (AJK) barunya sebagai tambahan kepada anggota yang telah dipilih di dalam Muktamar ke-52 dewan itu di Shah Alam baru-baru ini.

Majoriti yang dilantik untuk bersama kabinet baru itu adalah dari kalangan profesional dalam bidang masing-masing.

Mereka termasuklah dua orang bekas calon timbalan ketua yang tewas, Suhaizan Kaiat dan Firdaus Jaafar dan bekas calon Naib Ketua, Nasir Zakaria.

Ketiga-tiga mereka dilantik sebagai exco dewan itu.

Keputusan itu dibuat pada perbincangan hampir empat jam mesyuarat pertama kabinet baru dewan itu, pada 5 Jun lalu di Pejabat Dewan Pemuda PAS Malaysia, bangunan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Untuk Jawatankuasa Dewan Harian Pemuda PAS pula, Khairul Faizi Ahmad Kamil kekal sebagai setiausaha dewan itu manakala jawatan bendahari diisi oleh Ir Hj Muhd Khairil Nizam Khairudin.

Ketua penerangan dewan itu pula diamanahkan kepada Ustaz Riduan bin Mohamad Nor manakala pengarah pilihan raya disandang Mohd Sany Hamzan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan ketika diminta mengulas parlantikan AJK baru itu berpendapat dewan itu kini mempunyai kabinet berimbang setelah banyak pihak melihat keputusan pemilihan dewan itu dimenangi majoriti oleh kelompok ulama.

"Struktur organisasi DPP Malaysia sebagaimana biasa disusun dan dilengkapkan secara seimbang dan sepadu berasaskan kepelbagaian tahap upaya dan latar belakang disiplin penguasaan ilmu.

"Saya mengharapkan kabinet ini mampu menghadapi cabaran baru dalam iklim politik masa kini sekaligus menunaikan amanah anggota Dewan Pemuda PAS dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi," ulasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Katanya, biarpun sukar untuk memuaskan hati semua pihak, namun beliau yakin kabinet baru itu mampu menggalas tanggungjawab untuk memimpin kebangkitan anak muda dan mendepani Pilihanraya Umum (PRU) ke 13.

Dalam pada itu beliau juga menyatakan kesediaan untuk ditegur bukan sahaja oleh pimpinan parti malah semua pihak termasuk dari luar PAS.

"Dalam masa terdekat, insyaallah DPP Malaysia akan mengadakan retreat untuk memantapkan roadmap pemuda, mengatur strategi terkini dan menyesuai potfolio serta memperkasakan organisasi DPP Malaysia.

"Sungguhpun keputusan ini mungkin tidak mampu memuaskan hati semua pihak, saya mengharapkan ia adalah skuad yang boleh membantu parti dengan lebih baik dan insyaallah, lebih dari hari semalam," tegasnya.

Berikut adalah senarai penuh Ahli Jawatan Kuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat:

Ketua

Ustaz Nasruddin bin Hassan

Timbalan Ketua

Ustaz Nik Abduh Nik bin Abdul Aziz

Naib Ketua
Dr Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaacob


Ahli Jawatankuasa [Dipilih dalam muktamar]

1. Ustaz Riduan bin Mohamad Nor
2. Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
3. YB Ustaz Ahmad Baihaki bin Atiqullah
4. Sdr Mohd Adram bin Musa
5. Sdr Kamaruzaman bin Mohamad
6. Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari
7. Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
8. Ustaz Mohd Nazri bin Chik
9. Ustaz Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin
10. Sdr Mohd Sany bin Hamzan
11. Ustaz Mohd Yusni bin Mat Piah
12. YB Ustaz Mohd Nor bin Hamzah


Ahli Jawatankuasa [Dilantik dalam Mesyuarat Pertama]

1. Sdr Suhaizan bin Kaiat [ Exco ]
2. YB Ust Mohd Firdaus Jaafar [ Exco ]
3. YB Ust Nasir bin Zakaria [ Exco ]
4. Ir Hj Muhd Khairil Nizam bin Khairudin [ Exco ]
5. Sdr Nasaie bin Ismail [ Exco ]
6. Dr. Suhazeli bin Abdullah [ Exco ]
7. Dr. Zuhdi bin Marzuki [ Pengarah Jabatan ]
8. Dr. Aminurrasyid bin Yatiban [ Pengarah Jabatan ]
9. Herman Samsudee [ Pengarah Jabatan ]
10. Sdr Abang Ahmad Kerdee bin Abang Masagus [ Pengarah Jabatan]
11. Sdr Mohd Syahir bin Sulaiman [ Pengarah Jabatan ]
12. Sdr A. Halim B. Ahmad [ Pengarah Jabatan ]
13. Ustaz Ahmad Tarmizi Mohd Din [ Pengarah Jabatan ]
14. Sdr Mohd Idris Bin Mohd Yussoff [ Pengarah Jabatan ]
15. Sdr Wan Asrul Afendi Wan Mohamad [ Pengarah Jabatan ]
16. Sdr Ahmad Zamri bin Asa’ad Khuzaimi [ Pengarah Jabatan ]
17. Sdr Juhari Uthman [ Pengarah Jabatan ]
18. Sdr Hassan bin Aladi [ Pengarah Jabatan ]
19. Sdr Basri bin Din Kamar [ Pengarah Jabatan ]
20. Sdr Khairul Fahmi bin Mat Som [ Penolong Setiausaha ]


Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Ketua
Ustaz Nasruddin bin Hassan

Timbalan Ketua
Ustaz Nik Abduh Nik bin Abdul Aziz

Naib Ketua
Dr Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaacob

Setiausaha
Sdr Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Penolong Setiausaha 1: Sdr Kamaruzaman bin Mohamad
Penolong Setiausaha 2: Sdr Nasaie bin Ismail
Penolong Setiausaha 3: Sdr Khairul Fahmi

Bendahari
Ir Hj Muhd Khairil Nizam bin Khairudin

Ketua Penerangan
Ustaz Riduan bin Mohamad Nor

Pengarah Pilihanraya
Sdr Mohd Sany bin Hamzan