Thursday, July 21, 2011

JUMPA POPE BENEDICT XVI: PENGANUT KATOLIK SOKONG BN?


Kenyataan Media (20 Julai 2011)

Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) terpanggil mengulas pertemuan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan Pope Benedict XVI yang jelas membuktikan tindakan terdesak Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan penganut Katolik di Malaysia kerana dilihat di dalam masa yang sama, rombongan turut membawa juga seorang pemimpin Katolik Malaysia Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam ke Vatican sempena lawatan Perdana Menteri di sana. Bagi kami, tindakan tersebut jelas sepertimana dahulu juga ketika Perdana Menteri turut membuat lawatan ke Negara India dan China bagi tujuan meraih psikologi pengundi berbangsa India dan Cina di Malaysia menjelangnya Pilihanraya.

Juga suatu ketika dahulu, usaha Dato’ Seri Najib untuk membawa Sheikh Yusuf al-Qaradawi ke Malaysia kurang berkesan bagi tujuan yang sama untuk membina pengaruh umat Islam terhadap pemerintahan BN ketika itu. Bagi kami usaha membawa Ulama-Ulama luar negara untuk membela perbuatan Dato’ Seri Najib dan BN juga gagal. Kami melihat Dato’ Seri Najib terpaksa pergi membuat lawatan ke negara-negara maju seperti Negara Amerika, Britain dan negara-negara lain untuk menerangkan keadaan sebenar dari terus dikritik oleh negara maju yang ada yang mengecam Malaysia dalam krisis politik yang semangkin buruk selepas Perhimpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai yang lalu.

Bagi mengekalkan kuasa pemerintahan BN, Dato’ Seri Najib dipaksa bergerak keseluruh dunia bagi membuktikan BN masih mampu kekal memerintah. Dan tindakannya juga bertemu dengan tokoh Agama adalah langkah bagi memberikan keyakinan dan psikologi bagi membina sokongan terhadap BN menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 yang semangkin hampir berikutan kebangkitan rakyat pelbagai kaum dan Agama baru-baru ini yang menuntut satu sistem Pilihanraya di Malaysia yang telus dan terbaik. Kami juga melihat, Dato’ Seri Najib tidak layak untuk bercakap soal perpaduan dan Agama dengan Pope Benedict kerana pada hakikatnya beliaulah yang bertanggungjawap dalam perpecahan yang berlaku di Malaysia sekarang.

RAJA AHMAD AL-HISS

Naib Ketua,

Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Monday, July 18, 2011

Salam...

DPPKM mengajak semua pemuda Islam di kawasan Merbok dan pencinta-pencinta ilmu di seluruh Kedah untuk menjayakan program Kolokium Ulama Muda Kebangsaan (KokUM) pada 19 Julai 2011 hingga 23 Julai 2011 di Kolej Universiti Insaniah (INSANIAH), Alor Setar, Kedah.


Sila klik di bawah untuk maklumat lanjut :

Laman web rasmi.

Tentatif penuh.

AL-FATIHAH BUAT DR LO' LO'

Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ke rahmahtullah malam tadi.

Pemergian beliau sangat dirasai oleh seluruh ahli PAS dan juga rakyat, terutamanya penduduk-penduduk kawasan Titiwangsa yang mengenali beliau, kerana beliau merupakan seorang pejuang yang sangat gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam.

Ketabahan beliau menghadapi penderitaan kanser yang dihadapinya amat dikagumi sehingga di saat himpunan Bersih 2.0 minggu yang lalu, beliau masih memberikan semangat agar semua turun bagi memperjuangkan sistem pilihanraya yang adil dan bersih.

Kita doakan agar Allah mencucuri rahmat dan inayah-Nya kepada beliau dan juga kesabaran kepada seluruh anak-anak dan keluarga beliau di atas pemergiannya.

Sunday, July 17, 2011

HIBURAN DI BULAN RAMADHAN

Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok (DPPKM) menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk menguatkuasakan larangan pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadhan.

Kehadiran bulan Ramadhan yang bakal tiba hendaklah disambut dengan memperbanyakkan amalan ibadah dan bukannya dengan hiburan semata-mata.

DPPKM turut kesal sekiranya ada usaha-usaha memperlekehkan larangan tersebut kerana larangan itu tidak bermaksud buruk dan ianya baik untuk semua kaum dan agama.

Sewajar usaha seperti itu disokong dan dilaksanakan.

Kerajaan Negeri Kedah tidak pernah menghalang ataupun mengeluarkan kenyataan bahawa kedai makan bukan Islam hanya boleh beroperasi selepas jam tiga petang.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan berkata, kedai francais dan restoran antarabangsa seperti Kopitiam, kedai kopi Cina boleh beroperasi seperti biasa.

“Kita menguatkuasakan peraturan tersebut hanya kepada kedai milik orang Islam sahaja, dan ianya tidak melibatkan kedai makan bukan Islam kerana kita tidak kejam untuk tidak membenarkan orang bukan Islam makan. Perkara tersebut tersebut tidak pernah diputuskan dalam mesyuarat exco kerana peraturan berkenaan hanya membabitkan peniaga kedai makan Islam,” ujarnya.

Beliau hairan kerana isu ini dimanipulasikan oleh pihak tertentu sedangkan kerana kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan jika kedai makan tersebut milik Cina tetapi pekerjanya adalah orang Islam, mereka tetap boleh beroperasi kerana yang tidak dibenarkan adalah orang Islam makan ataupun menjual makanan sebelum jam tiga petang, bukannya bekerja.

Azizan berharap dengan penjelasan tersebut, tidak timbul lagi tanggapan negatif terhadap kerajaan negeri yang dikatakan tidak peka terhadap kehendak bukan Islam.

Berikut adalah peraturan yang dipersetujui oleh YAB Menteri Besar Kedah berhubung operasi hiburan di Kedah pada bulan Ramadhan:

1) Pemilik pusat hiburan Non Muslim boleh teruskan operasi, dengan syarat buka untuk pelanggan Non Muslim saja. Jika pemilik benarkan orang Islam masuk, maka lesen perniagaan akan ditarik serta merta.

2) Jika pemilik Muslim maka ia tidak dibenarkan beroperasi, sekalipun hanya dibuka untuk pelanggan Non Muslim.

Monday, July 11, 2011

TAHNIAH WIRA-WIRA MERBOK

Sekalung penghargaan & ucapan tahniah kepada semua wira dari Merbok yang telah menghadiri Himpunan Aman Bersih 2.0 dua hari lalu. Terlalu banyak cerita yang nak dikongsi bersama. Pelbagai pengalaman menarik suka nak diluahkan. Memang dahsyat Bersih 2.0 apabila dikotori oleh tindakan ganas FRU & Polis.

Saya tidak bercadang untuk mengulas semua kejadian yang telah berlaku. Walaupun pedihnya mata telah hilang akibat disembur gas pemedih mata, namun lenguh kaki belum hilang. Dikejar sakan oleh pegawai atasan Polis.

So, kami nak jemput Pemuda PAS di Merbok untuk sama-sama kongsi pengalaman & cerita di Bersih 2.0 pada :

Hari : Rabu

Tarikh : 13 Julai 2011

Masa : 9.30 malam

Tempat : Kedai makan Mat Nor, Sg Lalang (sebelah Tokong Cina, berhampiran SMK Aman Jaya).

Acara : Tayangan slide, kongsi pengalaman & jamuan ringan.


Pakat-pakat mai la no sambil kita minum teh tarik. Sumbangan anda semua amat kami alu-alukan.

Thursday, July 7, 2011

PEMIMPIN NEGARA TIDAK PATUH PADA ARAHAN KDYMM TUANKU AGONG

BERSIH 2.0 kecewa dengan cara Perdana Menteri dan ahli-ahli kabinet beliau berdolak dalik mengenai tawaran untuk menyediakan stadium bagi perhimpunan aman kami.

Sebagai ahli masyarakat madani, kami setia berpegang kepada prinsip integriti dan kami dengan sepenuh hati akan menuruti titah dan nasihat Tuanku DYMM SPB YDP Agong untuk berhimpun di stadium untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Kami memilih Stadium Merdeka sebagai tempat yang terbaik untuk acara ini kerana ianya simbolik dan terletak di lokasi yang munasabah. Kami tidak akan sekali-kali akan berubah niat dan tetap akan membuat himpunan yang aman di sana.

Jikalau Perdana Menteri seorang yang boleh dipegang katanya, beliau akan membuat tindakan yang sewajarnya agar acara ini dapat dilaksanakan secara aman di Stadium Merdeka.

Sama ada kerajaan berpegang kepada prinsip-prinsip mereka atau tidak, kami sebagai rakyat Malaysia akan berpegang kuat kepada prinsip-prinsip kami. Semangat kami untuk menggunakan hak perlembagaan kami untuk berkumpul secara aman dengan tujuan yang adil dan berpatutan tidak akan berbelah bagi.

Kenyataan-kenyataan akhir yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara menunjukkan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan terhadap kami sekiranya kami berbuat apa-apa selain daripada duduk di rumah masing-masing.

Kami sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air mahukan hak kami untuk memilih pemimpin kami dengan cara yang demokratik. Kami tidak akan ditakut-takutkan dengan penyalahgunaan kuasa yang tidak bermoral dan tidak adil. Tanggungjawab pertama kami adalah untuk masa depan kami dan anak-anak kami. Kami sudah memasang tekad agar mereka tidak mewarisi negara yang diperintah berdasarkan ketakutan dan tidak berpandukan prinsip-prinsip keadilan.

Kami rakyat Malaysia akan tetap berkumpul secara aman untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil di Stadium Merdeka pada 9 Julai, 2 petang. Kami akan datang untuk berkumpul beramai-ramai, dan bersama-sama kita membina Malaysia.



Kenyataan daripada, Ahli Jawatankuasa Induk Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)


Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0 terdiri daripada: Dato' Ambiga Sreenevasan (Pengerusi), Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato' Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato' Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.

Wednesday, July 6, 2011

YA ALLAH ! BERKATILAH KDYMM TUANKU & PERMAISURI

Semoga Allah memperkenankan doa keberkatan ke atas KDYMM...

Mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air pada 10 Julai 2011.

Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah diberi ampuni untuk mengadap KDYMM Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihan raya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya.

Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia.

Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihan raya yang adil tidak akan mendatangkan huru-hara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.

Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik.

Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata.

Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibu bapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah.

Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.

Patik yang menjunjung kasih,

YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Al-Mursyidul Am

Parti Islam Semalaysia (PAS).

Bertarikh: 3 Syaaban 1432H bersamaan 5 Julai 2011M


p/s : Amin...Ya Rabbal A'lamin, semoga bumi Malaysia terus diberkati & dirahmati Allah di bawah pemerintahan pimpinan yang adil dan bersih.

Tuesday, July 5, 2011

PRA BERSIH 2.0 DI MESIR

Walaupun tekanan terhadap peserta-peserta BERSIH 2.0 yang bakal berhimpun pada 9 Julai nanti semakin kuat, namun ini tidak mematahkan semangat semua rakyat Malaysia yang cintakan kepada keadilan dan pilihanraya yang bersih.

Sebahagian rakyat Malaysia yang berada di Mesir ketika ini telah mengadakan Roadtour Pra BERSIH 2.0 pada 2 Julai lalu. Sungguhpun mereka berada jauh beribu batu dari tanah air yang sedang 'hangat' ketika ini, mereka tetap menyokong himpunan aman BERSIH 2.0.




Untuk maklumat lanjut dan gambar-gambar menarik, sila klik di sini