Tuesday, August 9, 2011

JOM PELIHARA KUALITI PUASA KITA

RAMADAN Al-Mubarak penuh dengan keberkatan, keampunan dan ganjaran syurga yang dijanjikan untuk orang bertakwa. Pada bulan ini, sahabat dan As-Salafus Shalih terdahulu selalu berlumba-lumba melakukan kebaikan, menambahkan amal ibadat dan memberikan infaq kepada anak yatim serta golongan memerlukan.

Namun, masih ada antara kita kurang peka atau sedikit jahil terhadap amalan dan tindakan yang merugikan amal puasa kita.



Antara perkara yang mengurangkan pahala puasa ialah:

1. Berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga tetapi tidak sanggup menunaikan solat. Ada yang berpuasa, tetapi meninggalkan solat atau hanya solat ketika Ramadan saja. Kita bimbang nanti puasa dan sedekahnya tidak bermanfaat kepadanya kerana solat adalah tiang agama. Ada juga di kalangan kita menyuruh anak berpuasa tetapi membiarkan mereka tidak melakukan solat.

2. Tidak menjaga batas agama seperti pergaulan lelaki dan wanita serta menutup aurat. Kaum lelaki masih berseluar pendek ketika membeli juadah berbuka puasa dan ada pula wanita yang tidak bertudung malah memakai baju tidur kelawar semasa mencari juadah. Ada juga wanita yang tidak berpuasa kerana uzur syar’ie (haid dan nifas), mereka tidak menghormati bulan Ramadan kerana berani makan di khalayak tanpa segan silu.

3. Menghabiskan masa menonton televisyen, video cakera padat (VCD) sedangkan hari dan malam yang datang setahun sekali itu patut digunakan bagi memperbaiki amalan serta mengingati kesalahan lalu. Sepatutnya pada bulan ini kita gandakan bacaan Al-Quran, cuba menghafal beberapa surah pendek dan sentiasa pasangkan niat berkhidmat kepada insan yang lebih memerlukan.

4. Merebut peluang mencari duit dengan berniaga tetapi meninggalkan peluang mendapat pahala berganda. Ada di antara kita hanya berniaga sambilan dalam bulan ramadhan. Berniaga tidak salah tetapi berniaga sambilan khusus dalam bulan puasa saja membina perspektif yang lain dan ia memberi kesan terhadap fokus kita pada ibadat puasa. Kualiti amal kita akan berkurangan kerana tambahan beban tetapi jika kita berjaya bermujahadah dan mengimbangkan antara dwikerjaya tadi dan ibadat, itulah yang terbaik. Ramadan adalah bulan ujian terhadap kesabaran dan keampuhan jiwa. Apabila perut kosong, tekak dahaga dan badan letih kerana puasa, perasaan kita mudah tersentuh dan emosi kita mudah terusik. Tahap keampuhan kita sangat minimum. Ada antara kita cepat naik darah dan mudah marah. Apabila kita berjaya mengawal kemarahan dan banyak bersabar, kita mendapat ganjaran pahala kerana 'sabar' yang berganda. Jika sebaliknya kita hanya akan dapat lapar, letih , dahaga dan permusuhan sesama insan.

5. Membazir ketika berbuka puasa disebabkan nafsu membeli yang tinggi. Semuanya dirasakan hendak dibeli tetapi apabila tiba masa berbuka, makanan yang dibeli tidak dihabiskan.

6. Tidak mengeluarkan zakat fitrah bukan kerana tidak mampu tetapi kurang pendedahan terhadap betapa pentingnya zakat dan kewajipan membayar zakat. Ada yang tidak tahu di mana hendak membayar zakat fitrah, walhal setiap surau, masjid malah di kompleks beli-belah ada menyediakan kaunter pembayaran zakat. Mungkin kerana nilainya terlalu sedikit kita mengambil ringan mengenainya.

7. Membiarkan anak bermain mercun sehingga mengakibatkan gangguan kepada jemaah yang menunaikan solat Tarawih di masjid atau surau berdekatan. Sebaiknya galakkan anak-anak solat tarawih dan tilawah al-Quran bersama.

8. Hanya puasa makan dan minum saja tetapi tidak menjaga anggota pancaindera seperti mata, lidah dan telinga ketika berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak mengharapkan puasanya dari makan dan minum." (Hadis riwayat Al-Bukhari).

9. Meninggalkan amalan bersahur. Menurut wasiat Rasulullah yang bersabda maksudnya: “Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Abu Hurairah berkata, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma." (Hadis riwayat Ibnu Hibban & Baihaqi).


Semoga Allah menjadikan kita sebagai orang-orang yang berjaya dalam latihan ramadhan kali ini, amin ya rabb !

No comments: