Monday, October 3, 2011

HUDUD TAK RELEVAN DI MALAYSIA?

Sesuaikah hudud di Malaysia ?

Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim menekankan usaha ke arah merealisasikan undang-undang hudud boleh dilaksanakan melalui kehendak politik yang kuat dengan mengambil kita penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada sebelum ini.


Perspektif syariah dan sejarah

Dr Abd Halim El-Muhammady (Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia) menjelaskan secara umumnya, perlaksanaan hudud merupakan satu tuntutan syariat dan aqidah bagi umat Islam. “Perintah perlaksanaan hudud adalah bersifat qati’e atau mutlak iaitu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

"Oleh itu proses dan usaha ke arah melaksanakan undang-undang hudud perlu diberikan perhatian serius,” jelas beliau sambil menambah walaupun tidak disepakati secara ijma’, perlaksanaan syariah Islam merupakan salah satu komponen atau ciri sebuah negara Islam.

Dari segi perspektif sejarah pula menurut Dr Ab Halim lagi, undang-undang hudud sebenarnya telah dilaksanakan sejak zaman Melaka.


Hudud dalam konteks perlembagaan

Prof Dr Abd Aziz Bari mengatakan perlembagaan meletakkan Islam di tempat yang istimewa.

“Perlembagaan Malaysia tidak bersifat sekular. Perkara 3 yang menyatakan Islam adalah agama persekutuan perlu juga dibaca dengan Perkara 11, 12 dan beberapa peruntukan yang lain jelas menunjukkan kedudukan istimewa Islam di dalam perlembagaan. Pandangan mengatakan perlembagaan Malaysia adalah sekular adalah tersasar dari pentafsiran sebenar perlembagaan,” jelas pakar perlembagaan di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Aplikasi undang-undang

Pengamal undang-undang syariah, Musa Awang undang-undang tidak seharusnya dijadikan halangan dalam merealisasikan hukuman Hudud.

“Walaupun diakui terdapat beberapa halangan dari sudut undang-undang umpamanya Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1988) yang menghadkan bidang kuasa mahkamah syariah kepada hanya boleh mengenakan hukuman sebanyak 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan, halangan seumpaman ini sebenarnya tidak boleh dijadikan alasan yang tidak membolehkan ianya dipinda atau dimansuhkan.

"Bahkan, pindaan undang-undang tersebut boleh dilaksanakan oleh eksekutif tanpa perlu melalui proses mendapatkan mandat 2/3 majoriti yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan,” jelas Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).


harakahdaily

No comments: